December 15, 2017
You can use WP menu builder to build menus


Ini hanyalah permulaan. Namun langkah pertama inilah membawa harapan seterusnya…

Perjuangan sebenar Pakatan Harapan (PH) sudah jelas namun
masih banyak perkara yang perlu difikir, dinilai dan dijadikan dasar sebenar pakatan itu  dalam meyakinkan rakyat bahawa inilah pakatan sebenar yang mampu memerintah Malaysia selepas Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Dengan logo rasmi PH diumumkan melambangkan puncak gunung,
ia menggambarkan berapa gabungan berwarna merah dengan perkataan “HARAPAN” yang
dibahagikan oleh sebuah segitiga di tengahnya merupakan lambang  harapan sebuah perjuangan
dalam mememuhi kehendak dan tuntutan rakyat.
Ia daripada HARAPAN untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Inilah
kunci sebenar perjuangan PH.
Warna merah digunakan itu sebenarnya adalah warna asas tiga
parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan
DAP, kecuali AMANAH yang menggunakan warna oren.
Namun  segi tiga
digunakan oleh AMANAH untuk logonya dan pastinya kombinasi warna dan ‘A’ yang
dibesarkan itu menjadi satu gunung puncak yang tinggi – melambangkan perjuangan
padu dan bersasar PH.
Logo baharu itu jika diluluskan pendaftaranya akan
digunakan buat kali pertama oleh pembangkang pada pilihan raya umum. Dijangkakan
logo akan didaftarkan dengan  Jabatan
Pendaftar Pertubuhan (RoS)  selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu dari
sekarang.
Ini satu perkembangan menggalakan berbanding Pakatan
Rakyat yang kini dibubarkan sebelum ini,  menyertai pilihan raya dengan logo
masing-masing.
Yang nyata, setidak-tidaknya, semalam tiga (bukan dua) perkara
asas sudah dipersetujui dalam PH
Isu kepimpinan PH dan logo yang diperkatakan dengan
meluas oleh pengkritik PH sudah dapat diselesaikan malam semalam. Juga mengenai
isu pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Struktur dan logo PH itu  akhirnya berjaya dimuktamadkan selepas
mesyuarat majlis presiden bersidang lebih empat jam yang  berlansung di ibu pejabat PKR di Petaling
Jaya.
Kejayaan ini pastinya mengejutkan Barian Nasional (BN) yang
sebelum ini menggunakan berbagai cara – media sosial dan kenyataan pemimpin
mereka –  untuk pecahbelahkan PH dengan
berbagai perang saraf mereka kononnya wujud perebutan kepimpinan, selain
memperlekehkan mengenai logo PH yang diviralkan sebelum ini.
Namun usaha itu ternyata gagal dan cita-cita pemimpin BN
untuk memporak-perandakan pakatan kepimpinan dalam PH,  jelas gagal.
Pastinya ‘pemikir strategi BN’ ketika ini sedang merangka
strategi baru untuk cuba melaga-lagakan PKR dan PPBM  agar berlaku pula perselisihan lain, termasuk
isu siapa bakal Perdana Menteri selepas PRU14.
Pemimpin atasan PKR dan PPBM perlu pastikan pemimpin bawahan
mereka serta penyokong tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan keadaan
demi kerancakan PH menggempur BN.
Mereka perlu akur dan mendapatkan maklumat jelas mengenai
sesuatu isu dan tidak percaya dengan sebarang maklumat tidak sahih dan yang
cuba di’spin’kan oleh musuh mereka.
Untuk AMANAH dan DAP, mereka  perlu berusaha untuk menjamin penyokong mereka
dapat menerima lantikan ini dengan baik kerana Setiausaha Agong DAP serta
Presiden dan Timbalan Presiden AMANAH, turut berada dalam kedudukan penting.
Sejauh ini secara ringkas PH sudah mengatakan dengan
jelas bahawa dalam masa 100 hari selepas membentuk kerajaan sekiranya menang
pilihan raya umum akan datang, akan memberi fokus kepada usaha meringankan
beban rakyat.
Perkara ini menjadi perjuangan asas semua parti gabungan
PH sebelum ini, termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)
yang mula dilaksanakan pada April 2015.
Selain itu PH juga komited  komited untuk melaksanakan perkara-perkara
berikut:
·        1. Memulakan proses reformasi institusi secara
menyeluruh;
·        2. Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
·        3. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja skandal
1MDB;
·        4. Memulihkan FELDA, serta.
·        5. Menstabilkan harga petrol.
Apa yang menarik di sebalik persetujuan mengenai struktur
dan logo PH, PH juga berikrar memberi komitmen bahawa proses memohon
pengampunan dan pembebasan Anwar akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas
PH membentuk kerajaan.
Daripada kenyataan yang 
dibacakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PH, amat nyata
pakatan itu akan mengemukakan permohonan baru untuk mendapatkan pengampunan
bagi Anwar (Anwar  dilarang bertanding
sebagai calon pilihan raya selepas dijatuhkan hukuman lima  tahun penjara pada 2015 dan amat nyata beliau
akan terlepas untuk bertanding pada PRU14.)
Malah, membaca kenyataan PH yang ditandatangani pemimpin
tertinggi PKR, DAP, AMANAH dan PPBM, Dr Mahathir menyatakan bahawa: “Permohonan
yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan…Yang
di-Pertuan Agong, akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula
dalam politik negara sepenuhnya.”
Sama ada struktur baharu itu merestui Anwar sebagai calon
perdana menteri atau sebaliknya, Dr Mahathir menjelaskan semalam, yang penting
Anwar mendapat pengampunan pengampunan diraja dan selepas itu sebarang tindakan
perlu melalui proses undang-undang.
Soal siapa Perdana Menteri PH sekiranya menang PRU14
pernah diperkatakan dengan meluas sebelum ini di mana timbul beberapa desakan
supaya Dr Mahathir menjawat perdana menteri yang kemudian  melantik Anwar.
Yang nyata, dalam isu ini, masih banyak perkara perlu
dilakukan. Kerana itu Dr Mahathir mengatakan
“Yang itu kita akan isytihar tak lama lagi.”
Malah beliau mengakui isu Anwar sebagai Perdana Menteri
ini  sesuatu yang tidak dapat dilakukan
serta merta “kerana perdana menteri yang akan mengambil alih ini mempunyai
tugas yang banyak”.
Apapun, selepas perkara asas PH dapat diselesaikan
semalam, tugas mereka ialah menjamin apa yang dirancang berjalan lancer.
Sewajarnya rakyat dan penyokong PH perlu yakin dengan
pencapaian ini. Tugas selanjutnya tidak begitu sukar dirancang dan dilaksanakan
memandangkan mereka yang memimpin PH kini bukan calang-calang pemimpin.
Selain berpengalaman dalam politik dan pentadbiran, organisasi
PH dan pemimpinnya  dilihat  mampu menjayakan harapan rakyat.
Struktur dipersetujui semalam selepas dirundingkan
beberapa bulan selain Dr Mahathir ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua
Umum, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.
Tiga Timbalan Presidan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin
(PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (AMANAH).
Empat naib presiden daripada setiap parti ialah Timbalan
Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri
Mukhriz Mahathir , Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Timbalan Presiden
AMANAH,  Salahuddin Ayub.
Bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah dilantik
sebagai ketua setiausaha, manakala ahli Parlimen DAP, M Kula Segaran
sebagai  bendahari.
Pengumuman ini menamatkan spekulasi sebelum ini bahawa
Muhyiddin dilantik sebagai presiden, sementara Anwar sebagai  penasihat dan Wan Azizah sebagai timbalan
pengerusi. Azmin pula disepekulasikan  sebagai timbalan presiden, manakala Guan Eng
dan Mohamad Sabu pula sekadar menjadi naib presiden Pakatan Harapan.
Malah persetujuan dan pengumuman semalam juga pastinya
akan merancakkan lagi momentum menekan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak
apabila rasuah dan penyelewengan akan dijadikan antara perkara penting dalam
strategi PH menundukkan BN.
Di sebalik kejayaan awal ini, pastinya rakyat lega dengan
‘kesepaduan’ itu pastinya mahu melihat dan mengetahui apa yang akan ditawarkan
seterusnya oleh pakaran ini menjelang PRU14. nanti.

Melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, AMANAH dan
PPBM yang sudah tercapai kini, ia akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat
untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan jauh lebih baik
daripada BN.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons