November 23, 2017
You can use WP menu builder to build menus


ROM 31 Okt. – Jurulatih Chelsea, Antonio Conte memberi kelonggaran kepada pemain tengah Perancis, N’Golo Kante untuk membuat keputusan sama ada mahu diturunkan atau sebaliknya dalam aksi Kumpulan C Liga Juara-Juara menentang Roma di Stadio Olympico awal pagi esok (waktu Malaysia).

Kante terpaksa diketepikan sejak awal bulan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi bersama skuad kebangsaannya.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu dilihat menyertai latihan bersama Chelsea namun tidak diturunkan ketika The Blues menewaskan Bournemouth 1-0. Kante turut dibawa bersama pasukan ke Rom.

“(Danny) Drinkwater dan Kante sudah pulih. (Victor) Moses masih perlukan masa. Penting untuk kami mengatasi kesukaran ini pada waktu yang genting. Pemain penting kami perlu pulih dengan segera.

“Kante sudah berlatih bersama kami. Penting buat masa ini untuk bercakap dengan pemain dan kehadirannya (Kante) amat mustahak.

“Saya bekas pemain dan saya tahu bagaimana rasanya selepas cedera dengan masalah otot serta kecederaan yang teruk jadi penting untuk mendengar suara pemain dan pastikan dia membuat keputusan yang tepat untuk dirinya dan pasukan.

“Sudah pasti kami akan membuat keputusan yang terbaik. Mustahak untuk kami mengatasi perkara sensitif seperti ini, anda tidak boleh selesaikan masalah ini semalaman sebaliknya cuba cari jalan penyelesaian yang ada,” kata Conte.

Dalam pada itu, Conte menjangkakan pertembungan sengit dalam pertemuan esok selepas mereka terikat 3-3 di London dua minggu lalu.

“Kumpulan kami sukar dengan adanya Atletico Madrid dan Roma, mereka dalah pasukan yang hebat. Prestasi Roma sedang memuncak jadi kami perlu berusaha untuk kekal di tangga teratas kumpulan.

“Sebelum bertemu Roma, kami tewas dalam beberapa aksi liga dan sekarang kami sudah menang tiga kali berturut-turut. Ada dua perlawanan penting sebelum rehat antarabangsa, menentang Roma esok dan (Manchester) United pada Ahad ini.

“Penting untuk kami mengambil perlawanan satu demi satu, esok adalah aksi penting untuk pasukan. Kami perlu memberikan yang terbaik untuk mendapatkan keputusan positif dan selepas itu baru kami fikir aksi liga yang juga sukar untuk kami,” kata pengendali dari Itali itu lagi. – AFP



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons