November 23, 2017
You can use WP menu builder to build menus


Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyifatkan Bajet 2018 adalah yang terbaik pernah diperkenalkan di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, sepanjang menjadi Menteri Kewangan dari 2009 hingga 2016, beliau berpandangan bajet kali ini terbaik kerana ia menyeluruh (holistik).

Katanya, beliau melihat kerajaan mempunyai rancangan yang jelas untuk menstruktur ekonomi dalam suasana gelombang ekonomi yang semakin mencabar dan persaingan begitu tinggi.

“Ini adalah bajet holistik, satu yang kita perlu buat untuk menstruktur semula ekonomi kita, apa yang perlu di struktur? Kita buat bajet dengan menyediakan ruang dan peluang supaya pihak swasta membangun dengan lebih hebat menerusi insentif cukai dan peruntukan.

“Kita perlu mentransformasi ekonomi. Kita tidak boleh duduk dalam ruang sekarang. Sebab itu kerajaan memberi pelbagai insentif cukai dan peruntukan, supaya dapat menukar ekonomi sekarang kepada ekonomi digital, automasi dan kreativiti,” katanya membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli dewan dilihat memberikan tumpuan penuh ketika Ahmad Husni berbahas.

Sepanjang perbahasan lebih 20 minit itu hanya seorang ahli Parlimen yang mencelah meminta penjelasan perbahasannya.

Ahmad Husni berkata, insentif yang diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu kerana industri itu menyumbang enam juta pekerja dengan hasil 27 peratus kepada pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, Malaysia perlu menukarkan rantaian perbekalan dalam bentuk yang lebih besar dan tidak lagi di peringkat bawahan kerana dunia sudah menumpukan kepada aspek berkenaan.

Menyentuh mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST) katanya, masalah kenaikan harga bukan disebabkan cukai itu.

Katanya, kajian Bank Negara mendapati kenaikan harga barang disebabkan peningkatan harga barang di peringkat perbekalan selain kesan tiadanya kenaikan gaji pekerja.

“Bajet dalam rangka tranformasi ini mahu menaikkan gaji pekerja walaupun kenaikan harga barang di pasaran terus tinggi.

Beliau turut menegur sikap pembangkang yang hanya tahu menghina bajet kerajaan tanpa memberikan cadangan yang lebih baik yang disifatkan sebagai tindakan yang tidak matang.

“Matanglah sikit kerana kita semua mahu negara ini membangun dan maju. Saya lihat kita di dewan ini perbincangannya emosional. Sepatutnya bila tidak setuju dengan pelan kerajaan mereka kena kemukakan pelan yang meyakinkan mampu mengatasi pelan kerajaan buat,” katanya

Dalam pada itu beliau turut menyentuh mengenai senario politik pembangkang yang katanya tidak mungkin boleh bersatu dan membawa Malaysia ke arah lebih baik.

katanya pemimpin pembangkang yang parti mereka bergabung ketika ini tidak mampu bersatu di bawah satu bumbung bagi membawa Malaysia ke tahap lebih baik.

Tambahnya lagi , beliau sama sekali tidak percaya Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta Mohamad Sabu, mampu bersatu.

“Kamu tahu Tun M (Dr Mahathir) siapa? Saya tahu sebab saya (bekas) Menteri Kewangan II. Kamu tahu apa yang berlaku ketika beli Pos Malaysia dan PERWAJA? Saya tahu. Kamu tahu Muhyiddin Yassin, kamu tidak tahu tapi saya tahu.

“Kamu tahu Anwar Ibrahim? saya ‘orang’ Anwar tapi saya tinggalkan dia lepas dia berhenti jadi Timbalan Perdana Menteri.

“Boleh ke kita ikut mereka? Kit Siang, Guan Eng dan Mat Sabu, semua enam orang ini boleh ke bawa Malaysia bersatu untuk membina masa depan Malaysia yang lebih baik? saya tidak percaya, sebab itu pilihan raya akan datang adalah BN untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata, dalam masyarakat Cina, ada satu falsafah kehidupan diamalkan iaitu mengikut satu kuda dan bukannya enam kuda.

“Saya ada kenalan dari kumpulan masyarakat Cina kebangsaan termasuk di Pulau Pinang, kalau kita mahu perubahan masa depan, kita bercakap 60 tahun Malaysia akan datang, kita kena ikut satu saja ‘kuda’. Kalau ‘kuda’ itu silap kita boleh betulkan.

“Saya apabila keluar Kabinet saya ada jumpa (Datuk Seri) Najib (Razak). Saya nyatakan, kita mesti tukar masa depan, sebab kini kita ada persekitaran yang berbeza. Kita perlu bawa satu usaha supaya rasuah dihapuskan sepenuhnya.

“Najib kata ya.. betul Husni. Saya kata, letak dalam semua komuniti, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) mesti ada situ, semua kementerian mesti letak SPRM dan dia kata sedang buat,” katanya.

Beliau juga yakin di bawah kepemimpinan Najib, usaha membanteras rasuah akan dapat dilakukan sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara ‘zero rasuah’ satu masa nanti.

Mengenai dakwaan Pulau Pinang boleh maju walaupun tiada pelan transformasi, katanya pembangunan sesebuah negeri tidak akan menjadi positif jika persekitarannya tidak positif.

“Pembangunan yang baik di Pulau Pinang dan Selangor kerana persekitaran ekonomi negara yang positif, ” katanya.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons