November 21, 2017
You can use WP menu builder to build menus


KUALA LUMPUR 1 Nov. – Penggiat industri kreatif negara digesa mengambil peluang melibatkan diri dalam program Pengakuan Sah Industri Kreatif bagi memastikan sasaran kerajaan untuk membangunkan pekerja mahir akan terlaksana.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, industri kandungan kreatif adalah antara industri penting yang berpotensi menjana ekonomi negara dan diyakini akan terus mencatatkan pertumbuhan baik pada masa depan.

“Saya percaya hasrat ini dapat direalisasi dengan lebih ramai lagi penglibatan penggiat-penggiat industri terutama daripada golongan muda yang mempunyai misi dan visi yang ingin melihat industri ini terus berkembang ke satu aras yang lebih baik.

“Ini merupakan usaha yang dilakukan oleh kerajaan bagi memartabatkan tahap dan kualiti pekerja mahir bukan sahaja di peringkat tempatan malah di persada antarabangsa,” katanya dalam Majlis Penyampaian Sijil Pengakuan Sah Industri Kreatif dan Pelancaran Buku Coffee Table Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib; Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob dan Pengerusi CCIG, Datuk Jurey Latiff Rosli.

Pada majlis tersebut, seramai 46 individu berjaya mendapat pengiktirafan Sijil Pengakuan Sah Industri Kreatif bagi bidang kerjaya masing-masing.

Mengulas lanjut, Salleh berkata, usaha untuk melahirkan tenaga mahir dalam industri kreatif perlu diperkasa memandangkan sektor itu mempunyai peluang kerjaya yang lebih luas dan berpotensi menembusi pasaran antarabangsa.

“Tidak dapat dinafikan industri kreatif merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi negara ini.

“Justeru, kerajaan berharap semua penggiat industri kandungan kreatif akan memberi sokongan dalam konteks penyusunan tenaga kerja mahir industri,” katanya.

Selain itu, kata beliau, pendedahan mengenai kemahiran industri kreatif amat signifikan dalam membantu menaikkan kualiti kemahiran pekerja dalam industri tersebut.

“Langkah itu turut membantu bidang pendidikan menghasilkan pelajar yang berdaya saing dan mempunyai kemahiran untuk memenuhi kehendak pasaran industri kreatif,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons