November 23, 2017
You can use WP menu builder to build menus


 

Tidak bolehkah parti-parti politik di bawah Pakatan
Harapan (PH) mengawal ‘mulut tempayan’, menghentikan membuat kenyataan, 
laporan dan latar belakang penulisan negatif mengenai pakatan itu di
kalangan pemimpin mereka?

Apakah mereka cuba mencari publisiti murahan? Atau memang mulut
mereka perlu disumbat agar tidak membuat kenyataan yang memeningkan kepala
rakyat, khususnya penyokong PH sendiri?
Baru-baru ini kecoh kenyataan oleh pemimpin PKR mengenai
siapa patut menjadi Perdana Menteri, termasuklah menjaja Datuk Seri Anwar Ibrahim
sebagai ‘Perdana Menteri ke 7’.
Kemudian akibat daripada ‘mulut tempayan’ juga, timbul
isu siapa akan memimpin PH sama ada jawatan Pengerusi, Presiden atau juga Ketua
Umum.
Malah ada juga ‘mulut tempayan’ yang mengatakan Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sewajarnya mengetuai PH yang menyebabkan timbul
perbahasan yang kurang enak.
Kenyataan oleh pemimpin DAP, khususnya oleh Setiausaha
Agung DAP, Lim Guan Eng, pada 14 Jun lalu yang menolak kemungkinan dua jawatan
utama Pakatan Harapan diisi tokoh PPBM juga bukan menghasilkan suasana yang
harmoni dalam kalangan PH.
Guan Eng menyatakan perkara itu ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua jawatan berkenaan
– yang belum diketahui kedudukannya – diisi oleh Pengerusi PPBM Tun Dr
Mahathir Mohamad dan presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mengapa menyatakan tidak setuju di luar mesyuarat
mengenai  jawatan pengerusi dan presiden PH sedangkan ia boleh
ditimbulkan dalam mesyuarat. Malah beliau sering diundang untuk hadir dalam
mesyuarat PH.
Rakyat melihat dengan meluat gelagat beberapa pemimpin
pembangkang yang seolah-oleh bercakaran.
Tidak cukupkah dengan  membiarkan pemimpin Barisan
Nasional (BN) khususnya UMNO membuat berbagai kenyataan spekulasi  akibat kebimbangan mereka terhadap
perkembangan PH yang mendapat perhatian rakyat berbanding BN?
Perlukah pemimpin PH ikut terpengaruh dengan tarian dan mainan BN  yang kemudiannya menyebabkan terjadinya perbincangan hangat di media sosial yang kelak merugi PH sendiri?
Kenapa mesti apa-apa keputusan mesyuarat PH boleh begitu
cepat pecah di luar?

Kenapa tidak amalkan budaya  ‘biar pecah di perut, jangan pecah di mulut’
di kalangan pemimpin tertentu dalam PH. 

Belajarlah daripada BN umpamanya dalam  isu RUU355, setiap komponen tidak membuat sebarang kenyataan
bercanggah dan menunjukkan solidariti mereka selepas bermesyuarat.

Yang baik mengenai pentadbiran BN perlu dipuji dan
dijadikan panduan.
Kegilaan mendapatkan publisiti murahan ini akan merugikan
PH yang akhirnya menyulitkan usaha menewaskan BN dan menjatuhkan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kelmarin ‘kegilaan mendapatkan publisiti’ terus belaku apabila Datuk Zaid
Ibrahim daripada DAP yang sudah berapa banyak parti disertainya sebelum ini membuat spekulasi dan
ramalan yang langsung tidak menguntungkan PH dengan kenyataannya berkaitan Perdana Menteri dan Kabinet Bayangan PH.
Memang penulis hormati keupayaan Zaid. Sesiapa pun
boleh menyatakan pandangan peribadi tetapi biarlah membawa kepada kebaikan PH,
bukan menimbulkan spekulasi  bersifat
tidak relevan.
Jangan kerana rapat dengan pemimpin tertinggi parti
tertentu Zaid merasakan dia berhak membuat berbagai spekulasi yang melibatkan kepentingan parti lain dalam PH.

Apa hak beliau untuk menyatakan siapa perlu diangkat daripada parti PKR, AMANAH, DAP dan juga PPBM?

Beliau ahli DAP dan tidak wajar cuba
menunjuk ajar pemimpin parti lain mengenai siapa yang wakar dilantik, walaupun
ia hanya Kabinet Bayangan.
Memanglah pemimpin tertinggi PH tidak ambil pusing
mengenai kenyataan Zaid tetapi rakyat di bawah akan jadi keliru. Ramai melihat ada
sahaja ‘perkara yang tidak kena’ dalam PH.

Persoalannya siapa Zaifd untuk umum Kabinet Bayangan PH? Difahamkan, beliau tidak terlibat langsung dalam mesyuarat penting
PH tetapi  sebaliknya beria-ia mengumumkan siapa layak itu dan ini.

Apa bukti dan alasan Zaid apabila mengatakan pengumumkan
senarai Kabinet Bayangan PH akan meredakan perbezaan parti gabungan terhadap
jumlah kerusi yang perlu ditandingi.
Apa lesen diberikan oleh PH untuk Zaid menyebut pemimpin
PH layak pegang itu dan ini?
Benarkah perbincangan isu pelantikan Kabinet lebih awal
akan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka bersedia membentuk kerajaan?
Tanpa menamakan ‘siapa memegang apa’ bermakna PH tidak
bersedia membentuk kerajaan?
Akibatnya? Menteri UMNO Datuk Seri Rahman Dahlan semalam
membidas Zaid seperti “terdesak” kerana mendesak Dr Mahathir sekali lagi
memegang tampuk kekuasaan dan memimpin negara.
Ahli majlis tertinggi UMNO itu yang disediakan peluru
oleh Zaid berjaya menembak bukan sahaja Zaid tetapi menembak PH dengan mengatakan “cadangan meletakkan seorang
tua ke kedudukan tinggi itu seolah mengatakan PH tiada pemimpin lain untuk
memimpin negara”.
Malah, alasan Zaid yang mengatakan pengumuman awal itu
akan mengelakkan pertikaian baru daripada meletus di kalangan semua pihak, yang
hanya akan melemahkan pakatan rapuh berkenaan,  juga tidak tepat.
PH pun belum bersedia berdepan pilihan raya dengan satu
logo dan satu manifesto tetapi sudah mempunyai Kabinet Bayangan?
Memang tidak salah mengucapkan terima kasih kepada
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak menawarkan diri sebagai
calon Perdana Menteri PH tetapi jangan mengheret kedudukan itu sebagai lesen
untuk beliau memandai-mandai  mengumumkan
jawatan penting dalam PH.
Sebenarnya sudah cukup perbahasan mengenai cadangan
supaya Dr Mahathir sebagai calon layak untuk menduduki jawatan
perdana menteri.
Malah kenyataannya bahawa Perdana Menteri yang dilantik
perlu memastikan kesemua barisan kabinetnya melakukan kerja dengan betul dan
jujur serta memecat mereka jika gagal menjalankan tanggungjawab masing-masing,
bagaikan mahu mengajar siapa juga bakal Perdana Menteri yang akan dilantik
nanti.
Malah kenyataannya bahawa jawatan timbalan perdana
menteri perlu dibiarkan kosong sebagai isyarat kuat kepada Anwar yang kini
dalam penjara bahawa jawatan tersebut disimpan untuk beliau,  juga boleh
mendatangkan banyak telahan kelak.
Menamakan terus seperti Penasihat DAP, Lim Kit Siang
sebagai Menteri Pendidikan dan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik
sebagai Menteri Tenaga dan Minyak manakala Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri
Azmin Ali memegang jawatan Menteri Kewangan juga cadangan yang tidak dibuktikan
dengan kesesuaian dan bukan hasil daripada persetujuan rundingan.
Semua itu akan menyulitkan perundingan kemudian hari. Ia juga berkemungkinan akan membawa kepada pertelingkahan sesama parti dalam PH.
Kenapa Zaid tidak sabar dan tidak boleh tunggu keputusan
dibuat oleh Majlis Presiden PH atau mesyuarat khusus mengenainya sebelum
pilihan raya?.
Zaid berpendapat sementara menunggu pemimpin pembangkang
untuk bersetuju siapa yang patut menjadi perdana menteri, mengapa tidak selami
senarai beliau mengenai anggota kabinet dalam kerajaan baru.

Soalannya apakah perkara ini lebih penting daripada memantapkan dulu gabungan dan gagasan PH untuk berdepan pilihan raya?

Dalam beliau mengemukakan siapa yang wajar dilantik,kenapa pula beberapa nama tercicir umpamanya di mana kedududkan Guan Eng dan Datuk Seri Mukhriz
Mahathir?

Apa pula peranan 
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kerajaan PH selepas Pilihan
Raya Umum ke-14 nanti?
Apakah mereka tidak penting dalam barisan Kabinet
Bayangan Zaid?
Atau mereka memang tidak penting dalam kepimpinan PH
ketika ini dan akan datang?


Kerana itu antara perkara penting dalam menjaga keharmonian dalam PH ialah seperti disebut oleh Muhyiddin pada 8 Jun lalu meminta supaya ‘Jangan bocorkan rahsia kita’.

Menurut beliau, banyak lebih baik tidak dibincangkan secara terbuka. Kerana ia akan menimbulkan pelbagai salah faham atau kekeliruan.

“Ia akan memberi tanggapan bahawa pembangkang ini tidak bersatu. Mereka (rakyat) nak sokong kita tapi ada tanggapan yang kita ini tidak bersatu. Lebih baik kita duduk dan bincang, jangan bocorkan rahsia kita,” katanya.

Malah, sewajarnya cadangan  Lim Kit Siang kelmarin yang mahukan pemimpin
pembangkang berhenti bercakap dengan media selama sebulan berkenaan rundingan
dan mesyuarat di kalangan anggota Pakatan Harapan, dipatuhi.

Ia suatu moratorium bagi mengelakkan kenyataan
negatif dan pemberian maklumat yang boleh dieksploitasi parti musuh.
“Terlalu banyak yang melahirkan rasa tidak yakin
dan kecewa masyarakat tentang perubahan politik dan pilihan raya negara,” kata Kit Siang.
Sebaik-baiknya Kit Siang juga menegur Zaid jangan
membuat kenyataan yang boleh menimbulkan berbagai spekulasi kerana yang penting
bagi PH ialah bertindak balas secara positif terhadap rintihan rakyat Malaysia
tanpa mengira kaum, agama atau kawasan.


Tugas ini akan memudahkan kepimpinan PH
merancang untuk mengubah dan memulihkan semula dasar dan arahan pembangunan
negara.

Peluang yang terdedah itu jika digunakan sepenuhnya akan meyakinkan rakyat bahawa PHlah
sebenarnya yang boleh menggantikan BN di atas faktor dan dasar BN yang lemah dan menyusahkan rakyat ramai ketika ini.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons