November 24, 2017
You can use WP menu builder to build menus


Setelah bertaichi dan berdolak dalih menafikan yang beliau tidak pernah menanam cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia, hari ini Lim Kit Siang berkata Perdana Menteri boleh disandang oleh bukan Melayu.


Beliau juga berharap Malaysia tidak akan mengambil masa yang terlalu lama ke arah itu.

“Saya harap Malaysia tidak memerlukan 230 tahun (seperti Amerika Syarikat yang tertubuh pada 1776) sebelum orang bukan Melayu boleh menjadi perdana menteri, tetapi saya tidak menjangka ia akan berlaku pada abad ke-21 ini. 

“Sama ada (ia akan terlaksana) pada abad ke-22 atau abad ke-23 bergantung sama ada politik identiti tidak lagi menjadi unsur penting dalam landskap politik Malaysia, seperti hari ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh portal pembangkang.

Tidak menghairankan apabila dalam saat-saat rakyat mempersoalkan isu Lim Kit Siang dan jawatan Perdana Menteri, bapa Lim Guan Eng ini sengaja membangkitkan satu lagi polemik politik yang turut berbau perkauman.

Beliau dilihat sengaja ‘menguji pasaran’ dengan topik ini yang pastinya akan menjadi perbualan hangat dan bakal terpampang di dalam media massa.

Tambahan pula, kita faham bahawa Melayu dan Bumiputera yang lain boleh dilantik sebagai Perdana Menteri, tidak perlu tunggu abad-22 atau abad-23.

Cuma yang memalukan apabila Lim Kit Siang hanya memberi contoh kemenangan Barack Obama sebagai presiden Amerika Syarikat pada 2009 sebagai perbandingan tanpa mahu menerangkan bagaimana politik, komposisi kaum, agama dan fakta keseluruhan negara Amerika yang sebenarnya sehinggakan Obama boleh menjadi Presiden.

Kenyataan Kit Siang ini juga begitu sedap didengar bagi mereka yang mengharap tetapi yang sebenarnya tidak sebegitu mudah untuk dilaksanakan. Bagaimana pun, Kit Siang boleh memulakannya, itu pun jika beliau benar-benar berani.

Ada 2 perkara besar yang Kit Siang perlu lakukan jika Obama mahu dijadikan contoh.

1. Memang benar bahawa landskap politik Malaysia masih lagi bergantung kepada politik identiti dan kaum. Parti DAP sendiri adalah parti milik satu dinasti dan rasis apabila tidak ada satu pun calon Melayu yang menang semasa pemilihan CEC DAP. Parti Dr Mahathir adalah parti perkauman.

Amerika Syarikat pula adalah sebuah negara republik berperlembagaan persekutuan dan berdasarkan kepada sistem 2 parti iaitu Parti Demokrat dan Parti Konversatif.

  • Persoalannya, apakah Lim Kit Siang juga mahukan Malaysia menjadi negara Republik Perlembagaan?

Kerana ironinya, di antara dasar-dasar parti DAP yang pernah didedahkan oleh pemimpinnya sendiri ialah menukar negara Malaysia sebagai negara Republik dan menolak sistem Raja Perlembagaan.

  • Apakah Kit Siang dan Tun Dr Mahathir sanggup membubarkan parti masing-masing dan menubuhkan hanya satu parti sahaja?

Tetapi bukan itu sahaja.

Kita juga tahu bahawa penerimaan seorang Afrika Amerika sebagai Presiden Amerika bukan datang bergolek begitu sahaja tetapi turut dipupuk sejak lama dahulu melalui sistem pendidikan Amerika Syarikat.

2. Negara Amerika Syarikat memiliki hanya satu sistem pendidikan yang dibahagikan kepada kumpulan usia. Mereka hanya menggunakan bahasa Inggeris sahaja sebagai bahasa pegantarnya.

Malaysia pula mempunyai sistem pendidikan venakular yang bukan sahaja dibahagikan kepada kumpulan usia tetapi juga kaum. Kita ada sekolah kebangsaan dan sekolah Jenis Kebangsaan. Dan perbezaan antara dua jenis sekolah ini ialah bahasa pengantar yang digunakan.

Maksudnya, tiada sekolah kebangsaan jenis Cina dan India di Amerika Syarikat.

  • Persoalannya sekarang, apakah Lim Kit Siang sanggup menyuarakan hari ini bahawa beliau mahu sistem pendidikan venakular negara ini dimansuhkan supaya sama dengan sistem pendidikan Amerika Syarikat?

Sanggupkah Lim Kit Siang?

Jika tidak sanggup, kita menyarankan kepada Lim Kit Siang supaya jangan bertindak bodoh dengan hanya menyatakan perkara yang enak di dengar sahaja.

Dan tidak mengejutkan jika kenyataan Lim Kit Siang ini akan disambut oleh Dr Mahathir dalam masa sehari dua lagi. Mereka berdua sudah menjadi sparring partner yang saling sambut menyambut.

Kita tunggu dan lihat.

SHARE ARTICLE :



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons