November 23, 2017
You can use WP menu builder to build menus


MELAKA 2 Nov. – Kerajaan negeri bercadang mewujudkan sebuah terminal bersepadu yang mempunyai rangkaian lengkap menghubungkan sistem pengangkutan awam di seluruh negeri ini di tapak lama Pasar Besar Melaka di Melaka Sentral di sini menjelang tahun 2026.

Perancangan mewujudkan terminal tersebut dibuat dengan kos anggaran kira-kira RM300 juta merangkumi pembinaan sebuah kompleks tujuh tingkat yang mempunyai kemudahan laluan keluar masuk bas awam dan ekspres, pasar raya, pasar basah dan kering serta premis beli-belah.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, idea mewujudkan terminal bersepadu itu timbul bagi menaiktaraf tapak lama bangunan Pasar Besar Melaka yang terpaksa ditutup berikutan struktur bangunannya yang diisytihar sebagai tidak selamat, baru-baru ini.

“Kita akan robohkan bangunan di tapak Pasar Besar Melaka Sentral dan menguji semula kekuatan dan keutuhan struktur tanah sama ada sesuai untuk membina pasar lebih moden.

“Kerajaan negeri mengambil contoh konsep moden terminal bersepadu yang digunakan di Taiwan apabila ia menyediakan laluan bas keluar masuk tetapi hanya untuk menurunkan dan mengambil penumpang dalam tempoh tiga minit saja di terminal itu dan ia bakal mengurangkan kesesakan kerana kecepatan sistem pengangkutan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Idris berkata, perancangan itu akan turut merangkumi laluan pengangkutan awam mengelilingi bangunan kompleks itu yang menghubungkan pusat bandar raya Melaka, stesen Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka di Batu Berendam dan pelabuhan antarabangsa Melaka di Melaka Gateway.

“Semua ini sedang dirancang dan saya tidak nampak perancangan kerajaan negeri salah kerana ia untuk kegunaan generasi akan datang. Jika rakyat memberikan mandat untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memerintah, kita akan buat sistem terminal ini dan saya masih menunggu maklumat lanjut mengenai perancangan ini,” katanya sambil memberitahu projek itu melibatkan usahasama antara pihak awam dan swasta melalui perjanjian perkongsian pintar.

Dalam pada itu menurut Idris, lebih 300 peniaga di Pasar Besar Melaka mula berpindah secara berperingkat-peringkat ke pasar baharu sementara di Bachang, yang sudah siap dengan kos pembinaan kira-kira RM8 juta.

“Pasar sementara ini diharap dapat memudahkan para peniaga yang sebelum ini terpaksa berniaga di luar tapak yang panas. Kita akan perbaiki segala kelemahan dari semasa ke semasa dan harap mereka bersabar,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons