December 15, 2017
You can use WP menu builder to build menus


Kerajaan Malaysia dicabar mengambil tindakan undang-undang terhadap Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat jika dakwaan itu berunsur fitnah.

Mahfuz Omar Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan itu sangat penting untuk membersihkan nama Malaysia dan mengembalikan keyakinan dunia serta memulihkan ekonomi negara.


“Apa pun respon yang berlaku, Malaysia hanya sekadar menyatakan ini adalah ‘campur tangan Amerika’ seperti kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

“Manakala Peguam Negara dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan tiada bukti yang mensabitkan perdana menteri.

“Kenyataan balas sebegini tidak berupaya membersihkan nama Malaysia dan Datuk Seri Najib Razak yang telah menjadi bahan ketawa antarabangsa serta dihina,” katanya.

DoJ dalam usaha untuk merampas pelbagai aset mewah bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa dibiayai wang dilesapkan daripada 1MDB.

DoJ memfailkan permohonan merampas aset yang didakwa diperolehi menerusi dana yang diseleweng daripada 1MDB, antaranya lukisan, kapal layar dan barang kemas.

Dokumen lebih 200 muka surat turut menyenaraikan 27 barang kemas yang dihadiahkan kepada isteri “Malaysian Official 1” (MO1) berjumlah AS$1.3 juta (RM5.5 juta) daripada taikun kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho, atau Jho Low, yang kini dipercayai berada di China.

Dokumen yang dikeluarkan DOJ minggu ini merupakan rentetan daripada kertas siasatan yang diumumkan pada Julai tahun lalu dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) membuat permohonan menyita aset yang dikaitkan dengan wang 1MDB berjumlah lebih AS$1 bilion. dalam kenyataan media, semalam. Khamis lalu, DOJ memberitahu siasatannya mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) telah berlaku dalam syarikat pelaburan milik kerajaan itu.

Justeru, kata Mahfuz, kerajaan perlu menghantar wakil dari Jabatan Peguam Negara bagi menyemak dokumen pendedahan DoJ serta prosiding perundangan di Amerika Syarikat untuk tindakan undang-undang terhadap fitnah DoJ ke atas Malaysia.

“Kerajaan Malaysia juga boleh menggunakan tindakan diplomatik dengan menghantar nota bantahan terhadap kerajaan Amerika Syarikat yang didakwa oleh Malaysia sebagai campur tangan asing di Malaysia dan buktikan tiada transaksi wang tersebut seperti dakwaan DOJ,” katanya. -MD


Kari pedas untuk Najib
‘Kari’ Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) semakin pedas. Kita sudah dengar macam mana dalam saman sivilnya yang kedua ia menceritakan perihal berlian, permata, emas suasa AS$27 juta (kira-kira RM122 juta) milik isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Dan bagaimana sahabat akrab keluarga perdana menteri, Jho Low menghadiahkan emas permata bernilai hampir AS$10 juta (kira-kira RM45 juta) kepada bintang filem dan model Miranda Kerr daripada duit 1MDB.

Itu DOJ yang kata. Jadi kalau nak kerah peguam pantau dan saman, sasarannya bukanlah penggiat media sosial tetapi DOJ. Carilah salah DOJ dan samanlah sepuas-puas hati. Orang putih kata, to the heart’s content.

Cuma jangan jadi macam omong kosong “saman Selasa” Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak yang ancam nak saman Wall Street Journal pada Selasa 7 Julai 2015.

Dah lebih 700 hari berlalu, satu apa pun tak ada.

Anwar Ibrahim

Jadi biar kita tinggalkan pasangan mewah itu sementara dan bincang mengenai satu lagi perkembangan penting iaitu penarikan diri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang.

Pada 17 Jun, Anwar mengumumkan yang beliau menarik diri sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) dan sebaliknya akan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Dan terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon perdana menteri,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Keputusan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah langkah penting dalam proses membentuk kesepakatan di kalangan parti-parti pembangkang pusat iaitu PKR, AMANAH, Parti Peribumi Bersatu Malaysia dan DAP.

Tindakan baik hati (magnanimous) bekas timbalan perdana menteri era Tun Dr Mahthir itu membuka jalan kepada penyelesaian isu struktur kepemimpinan Pakatan Harapan dan mencerahkan harapan mendaftarkan PH sebagai pakatan rasmi sebelum PRU akan datang.

Bukan mudah membina konsensus di kalangan parti-parti PH kerana kesemua parti anggota berunding atas dasar sama rata, tidak seperti Barisan Nasional (BN) di mana Umno memaksakan hegemoninya ke atas parti-parti yang lain.

Asas perundingan di kalangan parti-parti PH adalah mewujudkan sebuah pakatan yang mantap dengan satu barisan kepemimpinan, satu perlembagaan, satu simbol dan satu manifesto.

Lawanlah DOJ

Berbalik kepada saman sivil ‘kari’ (Kleptocracy Asset Recovery Initiative/Inisiatif Dapatkan Balik Aset Yang dicuri Kerajaan) kedua oleh DOJ pada 15 Jun di Amerika, tujuannya ialah mendapatkan balik AS$540 juta (RM2.43 bilion) yang dicuri daripada 1MDB.

Antara harta yang dimohon untuk dirampas adalah permata merah jambu (pink diamond) 22 karat yang didakwa dibeli dengan duit songlap 1MDB dan gambar yang dihadiahkan kepada pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio.

Senarai lengkap harta curi Jho Low dan konco-konconya adalah seperti berikut:

1.Kapal mewah “The Equanimity” kegunaan Jho Low;

2. Sejumlah 2.5 saham (D Preferred Stock) syarikat Palantir Technologies, sebuah syarikat perisian komputer.

3.Semua hak milik dan kepentingan di dalam Electrum Group, syarikat pengurusan pelaburan;

4.Hak ke atas filem “Dumb and Dumber” terbitan by Red Granite Pictures (milik bersama Riza Abdul Aziz, anak Rosmah dengar suami pertama);

5.Hak ke atas filem “Daddy’s Home” terbitan Red Granite Pictures;

6.Poster litograf oleh pelukis Jerman Heinz Schulz-Neudamm untuk filem bisu (silent film) “Metropolis” tahun 1927;

7.Semua hak ke atas Fly Wheel Sports, rangkaian kelab kesihatan;

8.Sebutir permata 11.72 karat berbentuk jantung;

9.Sebiji loket permata 8.88 karat berwarna merah jambu dipagari oleh permata merah jambu terang 11 karat;

10.Satu set perhiasan mengandungi sebentuk cincin emas bertatah permata putih 18 karat, rantai, subang permata dan gelang bertatah permata;

11.Sepasang subang permata dan sebentuk cincin permata dengan 7.53 karat permata jenis 2A, 3.05 karat permata jenis 2A dan 3.08 karat permata jenis 2A;

12.Lukisan berjudul “Nature Morte au Crane de Taureau” (bahasa Perancis) oleh Pablo Picasso;

13.Sebuah kolaj berjudul “Redman One” oleh Jean-Michel Basquiat; dan

14.Gambar berjudul “Boy with the Toy Hand Grenade” oleh Diane Arbus;

Kalau ini cerita rekaan atau fitnah seperti kata konco-konco dedak perdana menteri masakan DOJ begitu teliti dan terperinci menyenaraikan barang-barang yang dibeli dengan duit curi itu?

Mereka ada bukan setakat empat saksi tetapi berpuluh malah beratus saksi. Ini bukan cerita standard Peguam Negara (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali. Ini penyiasatan dan pertuduhan standard Amerika ke atas jenayah berlaku di bumi Amerika di mana mengalihkan wang haram (termasuk wang negara yang dicuri) adalah kesalahan berat.

DOJ mempunyai maklumat yang begitu terperinci sehingga ia tahu bila dan di mana isteri MO1 membeli belah pertama berlian di New York pada tahun 2013 ketika perdana menteri menghadiri Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Konco-konco Najib dalam kerajaan dan para pemakan dedak siber beliau tak perlulah cuba buat alasan itu dan ini termasuk kononnya DOJ tak maklumkan kepada mereka.

Buat apa DOJ nak maklumkan. Itu hak mereka dan saman itu dibuat di negara mereka. Kalau bagi tahu atau minta tolong pun belum tentu Apandi akan bantu macam berlaku kepada Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber. Permintaannya tidak dilayan.

DATUK A KADIR JASIN bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press. Beliau kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons