December 18, 2017
You can use WP menu builder to build menus



Dokumen pembelaan editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown, yang telah difailkan dalam prosiding saman fitnah oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Mahkamah Tinggi London viral di laman sosial sejak tiga hari lepas.

Dalam kenyataan pembelaannya, Sarawak Report telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin PAS yang didakwanya telah menerima hasil dari wang sogokan 90 juta.

PAS sebelum ini berkali-kali menafikan menerima wang sogokan tersebut dan tindakan saman diambil bagi membuktikan ketegasan PAS untuk menghentikan fitnah yang tersebar.

Berikut adalah sebahagian yang disebut oleh Claire Rewcastle Brown dalam penghujahan balasnya tentang PAS seperti yang terkandung dalam dokumen tersebut;

Mukasurat 46; subtopik – Ulama kaya mula menguasai kepimpinan PAS.


1. Muktamar 2015 menyaksikan bagaimana kumpulan konservatif dalam PAS memenangi kesemua kedudukan tertinggi parti dan mengenepikan kesemua golongan profesional dan moderate di dalam PAS.


2. Kempen untuk memenangkan kumpulan ulama konservatif ini turut menggunakan ‘senarai chai’, yang mana tidak pernah menjadi kebiasaan di dalam PAS. Malahan turut disebarkan di page Dewan Ulama PAS.


3. Apabila kumpulan konservatif PAS menguasai kepimpinan parti, maka usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP diluluskan.


4. Bagi Najib dan UMNO ia merupakan berita baik kerana Pakatan berpecah.


5. Dipercayai wang daripada Najib dan UMNO digunakan untuk membiayai kumpulan konservatif PAS bagi meningkatkan pengaruh dan memenangi kedudukan dalam parti.

Mukasurat 47; subtopik – biayai sekolah agama kelolaan PAS


6. Bagi membeli sokongan, Najib memberikan sumbangan kepada sekolah agama kendalian PAS. Beberapa sumbangan dibuat sedangkan dasar UMNO adalah menentang sekolah aliran agama kerana ia membiakkan kumpulan radikal. Najib berterusan membantu sekolah aliran agama dengan peruntukan 80 juta pada April 2017, 30 juta lagi untuk membina sistem baru sekolah tahfiz, dan 21 juta untuk sekolah di Kelantan.


Mukasurat 48; subtopik – memanjangkan jangka hayat hudud


7. RUU355 digunakan secara politik bagi memecahkan lagi hubungan di antara PAS dan DAP. Usul persendirian yang dibawakan oleh pembangkang tak pernah berjaya dibawa untuk dibahas tetapi usul RUU355 bukan sahaja berjaya dibawa untuk dibahas malahan disokong oleh menteri. 


Mukasurat 49; subtopic – PAS semakin senyap


8. Sejak kumpulan konservatif mengambilalih tampuk kepimpinan PAS, parti itu dilihat cenderung ke UMNO. Memecahkan hubungan dengan DAP, namun berkerjasama dengan PKR. Seringkali membela Najib dan tidak mengkritik Najib dalam isu penyelewengan dan salah guna kuasa serta 1MDB.


9. Semasa pilihanraya kecil di Sungai Besar, Mahathir mendakwa PAS dibayar Najib untuk bekerjasama politik dengan UMNO dan dirinya.

10. Menjelang Julai 2016, hampir kesemua pihak difahamkan bahawanya Najib telah menyalurkan wang kepada PAS untuk memecahkan pembangkang dan mendiamkan PAS.


Mukasurat 50 – subtopik 90 juta


11. Ambiga menyatakan bahawanya PAS telah dibayar 90 juta berdasarkan kepada sumbernya yang diyakininya boleh dipercayai.


12. Pendekatan Najib ialah menggunakan wang dan pendekatan politik untuk membeli sokongan PAS. UMNO menyokong polisi agama yang dibawa PAS dan dalam masa yang sama memberikan wang kepada PAS.

Mukasurat 51; subtopik – rujukan, maklumat

13. Nasharuddin Mat Isa ialah sekutu Tuan Guru Hadi Awang dan adalah pendokong utama kerjasama PAS – UMNO. Pada tahun 2013, Nasharudin dipecat dari Majlis Ulama Syura kerana menganjurkan dan terlibat secara aktif membawa Najib ke GAZA sebelum pilihanraya umum ke 13. Meskipun hilang jawatan, Nasharudin tidak pernah dipecat dari ahli PAS.

14. Sejak 2014, jutaan ringgit dibayar kepada Nasharudin untuk diberikan kepada PAS. Tujuan pembayaran adalah untuk mempromosikan, membina pengaruh dan sokongan ulama konservatif di dalam PAS; membiayai beberapa pertemuan di Selangor, Kelantan, Kedah supaya pro konservatif yang juga kumpulan pro UMNO di dalam PAS mengambilalih kepimpinan parti pada 2015; 

i) memberikan Tuan Guru Hadi Awang kedudukan sebagai Naib Presiden Persatuan Ulama Sedunia;

ii) 10 juta dibelanjakan untuk menganjurkan pertemuan majlis ulama sedunia di Rusila pada mac 2015;


15. Pembiayaian rahsia itu diteruskan termasuklah untuk membiayai muktamar 2015; Himpunan Istiqomah Sampai Menuju Kemenangan; Himpunan Fastaqim; Himpunan Anak Muda Istiqomah; Himpunan Bantah TPPA; Himpunan pro RUU355; dan menganjurkan International Conference Of Muslims Unity di Kota Bharu.


16. Pemimpin PAS yang turut menerima bayaran selain dari Nasharuddin ialah;


i) Takiyuddin Bin Hassan – MP Kota Bharu


ii) Nik Muhammad Abduh – MP Pasir MAS


iii) Ahmad Samsuri Mokthar – Setiausaha Politik TGHH


17. Nasharudin telah menunjukkan kekayaan luar biasanya apabila membeli;


i) BMW 525 berharga 388,000 pada harga 230,000


ii) Toyota Vellfire pada harga 290,000

iii) Toyota Camry pada 150,000

iv) Toyota Fortuner pada 200,000

v) Rumah di Bangi yang bernilai 3,000,000

Kesemua pembelian dibuat secara tunai.

18. Beberapa pemimpin PAS yang lain didakwa membeli rumah, kereta mewah dan berkahwin dua, tiga; mereka membelanjakan wang secara bermewahan melebihi dari gaji mereka.


19. Nik Amar mempunyai rangkaian kenderaan mewah antaranya;


i) Range Rover
ii) Audi
iii) Toyota Vellfire
iv) Toyota Attis

Dan didakwa membina beberapa buah rumah untuk keluarganya.


20. Hashim Jasin pula didakwa membeli Porche Cayman; Khairuddin Aman Ghazali hadiahkan isteri keduanya kereta Audi Q7 yang berharga 500,000; Nasarudin Tantawi membeli Toyota Vellfire bernilai 300,000; Nik Muhammad Zawawi membeli kereta Mercedes dengan nombor plat PAS 9 yang bernilai 100,000 dan sebuah Audi; Takiyudin Bin Hassan membeli beberapa jenama kereta mewah termasuk motor antaranya Volkswagen Passat bernilai 160,000 dengan nombor plat TAK 11 yang bernilai 100,000; Muhammad Khalil membeli motor BMW; Mokthar Senik membeli Mercedes dan Toyota.


Kesemua hujah pembelaan Sarawak Report boleh diakses secara online di laman ini.


Untuk rekod, beberapa pemimpin PAS yang dinamakan dalam hujah pembelaan tersebut belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi tentang hal ini.


Bagaimanapun PAS sejak dari dulu lagi secara konsistennya menafikan menerima bayaran tertentu dari Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak bagi membeli sokongan parti itu. Malahan, mereka mendesak agar pihak-pihak yang menuduh mendedahkan bukti konkrit bagi membenarkan dakwaan yang dibuat ke atas PAS.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons