December 11, 2017
You can use WP menu builder to build menus


GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berterima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana menjawab panggilannya pada pukul 3.30 pagi Ahad bagi meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan banjir yang semakin buruk di negeri itu.

Guan Eng berkata, timbalan perdana menteri tersebut berjanji akan menghantar pasukan ATM untuk membantu menyelamatkan keadaan banjir di negeri itu.

“Saya berjaya hubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terima kasih kerana angkat panggilan saya hampir 3.30 pagi.

“Beliau berjanji akan menghantar ATM untuk selamatkan Pulau Pinang,” katanya dengan nada sebak menerusi sebuah video di laman sosialnya pada awal pagi Ahad.

Dalam pada itu, Guan Eng meminta semua penduduk Pulau Pinang bersabar sementara menunggu bantuan daripada pihak berkuasa.

“Harap semua terus bersabar… terus bersabar dan kita akan cuba pastikan bantuan… sabar. Jaga keselamatan anda dan keluarga anda,” katanya.

Menurut Guan Eng, keadaan banjir semakin buruk mencapai paras 10 kaki hingga 12 kaki, melepasi bumbung di Pulau Pinang.

Beliau menambah, pusat pemindahan juga tidak mempunyai bekalan elektrik akibat banjir.

Menerusi video berasingan di laman sosialnya pada pagi Ahad, Guan Eng berkata, seramai 1,968 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir membabitkan daerah Seberang Perai Tengah (1,125 orang), Seberang Perai Utara (615), daerah Timur Laut (70) dan daerah Barat Daya (158).

“Sehingga pukul 7 pagi tadi, hujan telah reda serta beberapa kawasan yang dinaiki air juga telah surut. Cuma sekarang ini, saya bimbang akan turun semula dan kawasan banjir (dinaiki air).

“Saya tidak menjangkakan…tidak pernah melihat angin sebegini kuat dan hujan sangat lebat. Saya harap semua dapat bersabar dan kami (Kerajaan Negeri dan pihak berwajib) sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menghantarkan bantuan,” ujarnya.

Guan Eng Beliau turut berterima kasih kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Bomba dan Penyelamat, polis dan pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi banjir sejak Sabtu.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons