December 15, 2017
You can use WP menu builder to build menus


Poliarisasi dan ketegangan
kaum di negara ini sepatutnya sudah menjadi sejarah.

Apa tidaknya, selepas
dilaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mulai awal 1970-an yang memakan masa 20
tahun, ia dianggap formula terbaik menyelesaikan masalah polarisasi kaum dalam masyarakat Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, 
Dengan matlamat serampang dua
mata – menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat – selain Rukun
Negara yang turut diperkenalkan, sewajarnya polarisasi kaum tidak lagi wujud,
apa lagi ketegangan kaum selepas pengajaran daripada peristiwa 13 Mei 1969.



Malah, dengan Perlembagaan Malaysia yang sering dipinda untuk bersesuaian dengan keadaan semasa, wajar sekali isu polarisasi kaum sudah lenyap dan bukan menjadi sesuatu yang menjadi ancaman kepada kestabilan negara.
Namun ternyata kini, malah
hari ini, isu polarisasi kaum ini bukan semakin terhakis. Malah, ia kembali
berpenyakit dalam kalangan masayarakat Malaysia.



Apakah ini menggambarkan bahawa Gagasan 1Malaysia tidak berkesan atau memerlukan lagi masa atau tempoh untuk merealisasikannya?


Juga apakah slogan ‘Sehati Sejiwa’ hanya ucapan semata-mata dan pada parktiknya ia untuk sokongan kepada kerajaan semata-mata?

Malah kini, kadangkala polarisasi kaum ini dikaitkan dengan isu agama dan semakin
menjadi-jadi, apa lagi apabila kerajaan sendiri nampaknya tidak jelas atau
bersungguh dalam menangani isu ini.

Lebih memburukkan keadaan,
 politik ketegangan kaum yang cuba
diredakan oleh pemuafakatan parti politik perkauman bermula dengan pakatan
pembangkang mulai pilihan raya 1990, kini dilihat semakin berkecai.
Namakanlah apa sahaja.
Sama ada ia Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif,
Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan – selain persefahaman bagi tujuan memenangi pilihan raya – matlamatnya ialah menuju ke arah pelupusan
‘konflik dan ketegangan’ antara kaum.
Namun, segala-galanya kini
jelas dengan parti pemerintah sendiri – Barisan Nasional (BN) – sering dilihat
turut memainkan sentimen perkauman dan agama menyebabkan masyarakat Malaysia menjadi
kacau-bilau dan haru-biru.
Formula politik BN yang
mulanya menenangkan masyarakat yang seketika dahulu meredakan ketegangan kaum,  kini sudah tidak lagi.



Akhir-akhir
ini akibat ‘perbalahan politik’ yang semakin memuncak. apa lagi BN, khususnya
Perdana Menteri  begitu bimbang akan
kehilangan kuasa, serangan berbentuk perkauman terhadap parti tertentu bersifat perkauman dan sentimen agama amat
menakutkan.



Malah tindakan The Star semalam yang menyiarkan gambar orang Islam sedang menunaikan solat di muka satunya beserta dengan tajuk utama ‘Malaysian Terrorist Leader’, membawa kesan negatif dan tanggapan buruk terhadap masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.


Ini bukan kali pertama kekhilafan seperti ini dilakukan  oleh The Star, menyebabkan sebilangan orang Islam merasakan ‘Islam semakin dipersendakan’ oleh media yang dikawal oleh pemilik bukan Melayu dan bukan Islam.


Memburukkan keadaan The Star dimiliki oleh MCA – sebuah parti komponen Barisan Nasional – yang sering melaung-laungkan pentingnya  perpaduan kaum menunjukkan sikap dan keputusan editorialnya yang boleh dipersoalkan.


Bayangkan jika media pembangkang melakukan kekhilafan seperti ini, apa akan dilakukan oleh kerajaan, parti-parti komponen BN dan pemimpin BN terhadap media berkenaan?.


Kekhilafan dapat diatasi sekiranya sidang pengarang The Star tidak merangkumkan kedua-duanya, iaitu gambar dan tajuk pada muka yang sama.


Namun, nasi sudah menjadi bubur.


Tekanan terhadap kerajaan agar tindakan keras diambil juga akan menguji sejauh mana sebenarnya kerajaan bersedia bertindak untuk kesilapan yang membawa ‘kemarahan orang Melayu dan Islam di negara ini’ dapat diredakan.

Sebaliknya, persoalan berkaitan ialah, apakah kerajaan akan menyalahkan orang Melayu dan Islam di negara ini berkaitan kekhilafan oleh The Star ini?


Atau apakah orang Melayu dan Islam akan ‘menerima sahaja’ apa sahaja keputusan Kementerian Dalam Negeri yang akan membuat keputusan hari ini atau sehari dua ini gara=gara kekhilafan ini?


Amaran atau mungkin sehingga amaran keras adalah tindakan yang biasa dikenakan kepada media yang nyata tidak sensitif kepada isu agam dan perkauman,  namun apa kesan yang tersirat dalam konteks hubungan kaum dan agama di negara ini?

Selain isu seperti ini,  dengan kedudukan di mana
penggunaan media sosial yang semakin sukar untuk dikawal, lebih-lebih lagi
serangan secara terang-terangan terhadap kaum tertentu yang dijangka akan
semakin memuncak apabila semakin dekatnya Pilihan Raya Umum ke-14, sangat
berbahaya kepada negara jika tidak segera dikawal.
Amat malang kerana pada
ketika Malaysia yang mempunyai berbagai jenis kumpulan etnik, banyak pengguna media sosial
berbagai kaum menggunakannya untuk tujuan salah – menunjukkan perasaan tidak
puas hati, kemarahan serta kebencian mereka,  selain kejengkelan terhadap kepercayaan
agama atau juga budaya kaum lain di laman media sosial.

Sewajarnya media sosial
digerakkan ke arah memupuk persefahaman dan meredakan pertelingkahan.
Memburukkan lagi keadaan
sama ada oleh parti pemerintah atau juga pembangkang ialah meraka saling salah
menyalahi antara satu dengan lain dan tiada ‘mediator’ dan pihak yang menyelesaikan ketegangan secara yang bersungguh-sungguh.



Masa sudah tiba supaya kumpulan ‘meredakan ketegangan’ diwujudkan..
Banyak kali beban
diletakkan di atas bahu kerajaan atau juga pembangkang namun siapa sebenarnya
yang sepatutnya mengambil peranan atau fungsi mengatasi isu polarisasi kaum
yang semakin membimbangkan ini?
Sering diperhatikan,
permasalahan atau tuduh menuduh walaupun seperti nampak lenyap tetapi tetap
‘membakar seperti api dalam sekam’.
Ironinya dan sangat menyedihkan ialah kedudukan dan keadaan kedua-dua pihak – kerajaan dan pembangkang – seperti
gembira menggunakan isu ketegangan kaum ini sebagai platform bagi meraih
undi.
Penulis bersetuju dengan
pendapat pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan di Universiti Tunku Abdul
Rahman, Perak,  Edwin Michael yang baru-baru ini bahawa
kebanyakan kita – kerajaan atau pembangkang – 
gagal memahami bahawa  segala
persepsi dan mentaliti anti sesuatu kaum itu kini kebanyakkanya dibentuk
melalui proses sosialisasi politik di media sosial.
Kesannya ialah,  akan semakin terhakislah kesepaduan sesama etnik
dan kaum akibat proses sosialisasi politik yang seperti terbiar ini
Yang pasti, sosialisasi
politik akan membentuk budaya politik dalam sesebuah kumpulan etnik. Keadaan
ini sudah pastinya akan membentuk pula hala tuju pemikiran rakyat dalam menilai
sesuatu perkara, termasuk dalam isu perpaduan kaum yang akan memberikan kesan
kepada budaya politik negeri dan negara.
Apa juga kejadian,
peristiwa atau insiden yang menyebabkan kepada ketegangan antara etnik dan kaum
pastinya akan merenggangkan hubungan antara rakyat. Akhirnya amalan dan pola
politik di kalangan rakyat akan menjadi tidak sihat.
Persoalan mudah,
sanggupkah kita melihat antara etnik dan kaum di negara ini tidak menghormati
lagi antara satu sama lain?
Sebagai pemerintah,  BN perlu membentuk pelan dan strategi
sosialisasi politik di kalangan rakyat, terutamanya kalangan golongan muda yang
bijak menggunakan media sosial ke arah perpaduan, bukannya ke arah kebencian.



Apalagi jika media sosial itu menjurus atau membawa kepada ketegangan budaya
dan agama.
Pembangkang yang dilihat
berkesan mencipta dan menggerakkan sosialisasi politik dalam kalangan
penyokongnya di media sosial, juga perlu mengelakkan pertembungan pendapat dan nilai
yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negara ini.
Banyak sudah insiden yang
mendatangkan kebimbangan kemungkinan akan berlakunya konflik antara kaum, Kerajaan
tidak boleh menganggapnya sebagai masalah sementara atau juga terpencil,
lebih-lebih lagi insiden seperti pergaduhan berhampiran sebuah surau di Taman
Austin Perdana, Johor Bahru, Jumaat lalu.
Ia sangat terkesan dan masih
ramai lagi yang belum lupa dengan insiden kes kecurian telefon di Plaza Low Yat
pada Julai 2015 yang hampir mencetuskan rusuhan apabila dilihat sebagai isu
perkauman.
Soalnya apa langkah segera
untuk mengawal keadaan ini?
Berikutan itu pandangan
pensyarah seni bina Islam di Universiti USCI, Dr Tajuddin Rasdi,  jangan dipandang sebelah mata.
Beliau memberikan cadangan
agar ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengenal pasti
punca ketegangan kaum yang ‘sedang membara’ di Malaysia ketika ini.
RCI berkenaan perlu
mengenal pasti segera apakah polarisasi kaum yang semakin memburuk kini kesan daripada
sistem pendidikan, ekonomi atau sistem kepartian yang terus mementingkan kaum
dan agama di negara ini>
Atau apakah ketegangan
diakibatkan oleh isu pentadbiran dan perancangan termasuk penguatkuasaan
terhadap harga barangan, pengedaran atau apa sahaja yang melibat kepentingan pengguna
dan budaya kepenggunaan.
Mungkin juga ada kes yang
perlu dilihat dalam aspek penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan, polis atau
pihak-pihak lain yang ada kena mengena dengan kepentingan masyarakat setempat.

Juga jangan lupa, tindakan
tegas perlu diambil terhadap sesiapa sahaja yang menyalahgunakan media sosial
seperti mengajak ke arah pertelingkahan yang boleh menghasilkan ketegangan
kaum.



Parti politik termasuk
kerajaan jangan pula membiarkan penyokong menghina kaum atau agama lain dalam kempen
atau kritikan mereka terhadap perjuangan atau arah tuju sesebuah parti dan
pemimpinnya.

Dengan kedudukan di mana
Perdana Menteri sendiri mengatakan masa depan Malaysia bergantung kepada
kestabilan politik dan sosial berterusan, iaitu prasyarat menjamin dasar Transaformasi Nasional 2050 (TN50)  berjaya dilaksanakan, selain memerlukan keharmonian antara
agama dalam kalangan rakyat Malaysia, adalah wajar parti pemerintah menjadi
contoh ke arah usaha ini.
Kenyataan pemimpin
kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, termasuk pemimpin politik dari BN
sewajarnya tidak melampui garis panduan dalam isu keharmonian kaum.
Kalaupun mahu ‘menyerang’
atau berbalas kenyataan dengan parti lawan, pastikan perkara yang menyentuh
agama dan budaya dielakkan.
Apa juga percakapan dan
tindakan, pastikannya ia tidak menghala serta mempengaruhi pemikiran rakyat
untuk membenci kaum atau agama selain kalangan mereka.
Yang penting, jika
tindakan tegas perlu diambil, bertindaklah.

Dan pastikan tindakan itu
adil, tidak bersifat berat sebelah dan dilihat tidak mengambil peluang untuk
menekan pihak lain.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons