December 15, 2017
You can use WP menu builder to build menus


Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Pada 5 November 2017 Di Komtar, George Town.

Tidak perlu untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengisytiharkan keadaan darurat bencana kerana keadaan buat masa ini adalah terkawal selepas wujudnya kerjasama dan bantuan daripada kerajaan Persekutuan untuk menangani bencana ribut kencang dan banjir yang paling teruk dalam sejarah Pulau Pinang. Darurat akan disytiharkan oleh kerajaan negeri sekiranya dianggap perlu selepas perundingan dan nasihat daripada kerajaan Persekutuan.

Gambar – Lim Guan Eng FB

Kerajaan negeri harap semua majikan boleh memberikan kelonggaran kepada pekerja mereka dengan memberikan masa untuk jalankan kerja pembersihan dan pembaikan semula atas hartanah mereka. Semua pihak agensi kerajaan negeri dan persekutuan akan berusaha untuk memulihkan keadaan secepat mungkin, khususnya sekolah-sekolah menengah yang akan menjalankan peperiksaan SPM esok.

Bencana yang paling teruk ini dicerminkan dengan kelebatan hujan yang amat tinggi di beberapa tempat dan yang paling tinggi yang pernah direkodkan ialah di Seberang Perai Utara sebanyak 372mm (Stesen Pajak Song). Ahli EXCO Tebatan Banjir YB Chow Kon Yeow akan berikan butiran lanjut. Adalah difahamkan Pulau Pinang mengalami tempias Taufan Damrey yang beberapa jam sebelum ini telahpun melanda Vietnam dan membunuh sekurang-kurangnya 19 orang di sana.

Jabatan Kaji Cuaca Malaysia telah memberikan amaran merah hujan amat lebat untuk Pulau Pinang dan Kedah. Kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada ahli keluarga untuk tiga orang dilaporkan mati dalam bencana angin ribut dan banjir semalam, seorang pekerja asing di Seberang Perai dan dua warga tua rakyat Malaysia di Jalan P. Ramlee. Kerajaan negeri juga sedih atas kehilangan dan kerugian yang dialami oleh bencana angin ribut dan banjir ini.

Dalam bencana semalam, angin ribut telah mengakibatkan pokok tumbang dalam 100 kawasan di seluruh negeri serta beberapa kes tanah runtuh dalam kawasan pulau. Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah Operasi Banjir Pulau Pinang Dato Seri Farizan Darus dan Dato Bandar MBPP akan memberikan butiran lanjut. Kerajaan negeri berterima kasih kepada pihak polis, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Perkhidmatan Bomba, semua pejabat daerah, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan agensi kerajaan negeri kerana bertungkus lumus tanpa kira penat lelah untuk menjalankan kerja penyelematan.

Tetapi dengan bencana angin ribut dan banjir yang begitu kuat, keadaan bertambah amat genting awal pagi tadi, sehingga kerajaan negeri terpaksa meminta bantuan daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu dan menyelamatkan keadaan.

Saya menghargai kesediaan Datuk Seri Ahmad Zahid kerana sudi menerima panggilan telefon saya sungguhpun pada waktu 3.30 pagi dan bertindak segera untuk mengerahkan ATM membantu Pulau Pinang. Beliau juga telah memanggil saya sekali lagi pada pagi ini untuk memberikan jaminan akan membantu Pulau Pinang dan apa yang diperlukan untuk keadaan pulih. Kami amat terima kasih kepada seorang pemimpin yang tidak kenal bulu politik dalam saat genting ini. Terima kasih juga kepada ATM yang bergegas datang ke Pulau Pinang.

LIM GUAN ENG



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons