December 15, 2017
You can use WP menu builder to build menus


GEORGE TOWN: Jumlah mangsa banjir di 5 daerah di Pulau Pinang hingga awal pagi ini terus meningkat kepada 5,845 berbanding 3,779 mangsa malam tadi yang ditempatkan di 62 pusat pemindahan.

Daerah Seberang Perai Utara mencatat jumlah mangsa paling ramai dengan 3,371 orang di 30 pusat pemindahan diikuti daerah Seberang Perai Tengah dengan 2,119 mangsa di 27 pusat pemindahan.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata bilangan mangsa banjir yang dipindahkan meningkat malam tadi berikutan hujan dan air pasang besar sehingga beberapa kawasan lagi turut dinaiki air.

Kawasan yang terlibat di Seberang Perai Utara ialah Sungai Dua, Nyior Sebatang, Lahar Yooi dan Desa Murni manakala di Seberang Perai Tengah ialah Kampung Tanjung Putus dan Permatang Tinggi.

Sejumlah 33 mangsa pula ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Seberang Perai Selatan manakala di Barat Daya 130 mangsa di 2 pusat pemindahan dan 192 mangsa di 2 pusat di daerah Timur Laut.

Sementara itu, agensi kerajaan persekutuan seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bomba bersedia sejak 6 pagi untuk membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke sekolah.

Keadaan cuaca di seberang pagi ini masih mendung dengan hujan di Seberang Perai Utara manakala di bahagian pulau cerah.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air di antara 2 dan 1 meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak 2 petang Khamis yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini meragut 7 nyawa.

Sementara di Kedah, jumlah mangsa yang dipindahkan setakat 7 pagi ini terus meningkat kepada 3,402 berbanding 2,721 mangsa yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Lt Kol (PA) Mohd Zul Khairi Shamsuddin berkata semua mangsa daripada 938 keluarga ditempatkan di 40 pusat pemindahan di Kuala Muda, Yan, Kulim, Bandar Baharu dan Baling.

Di Kuala Muda, 19 pusat pemindahan dibuka iaitu di surau Kampung Bongkok menempatkan 60 mangsa, Dewan Kampung Tengah Padang Temusu (70), Dewan Steang Wam Kowang (23), surau Kampung Padang Tok Sora (72), Dewan Kampung Bukit Belah Batu Dua (19), Dewan Kampung Lebai Ali (171), Dewan Taman Bedong Jaya (72), surau Taman Malinja (50) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Gedong (79).

Selain itu, Dewan Kampung Segantang Garam (38), Kampung Kilang Makau (40), surau Kampung Haji Ngah (8), surau Kampung Jawa (155), Dewan Kampung Baru (25), Dewan Kampung Bujang (86), Dewan Kampung Sungai Pial (171), surau Kampung Jilid 4/5 (70), Dewan Taman Setia Budi (61) dan surau Kampung Lebai Ali dengan 298 mangsa.

Di Yan, 4 pusat pemindahan dibuka iaitu Tadika KEMAS Kampung Perigi (18), surau Kampung Teroi Bukit (89), surau Kampung Lubok Boi (69) dan surau Kampung Kepala Bukit (75).

Di Kulim pula 15 pusat pemindahan dibuka iaitu Dewan Masjid Al-Muqtadin (149), Dewan Taman Saga (40), Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Selasih (150), Surau Al-Haq (30), Surau Taman Kancil (114), Dewan KEDA Naga (62), Dewan Masjid Sungai Limau (37), SK Permatang Tok Dik (563), SK Sungai Seluang (95), Tadika Kemas Padang Limau (199), Surau Al-Ikhlas Karangan (231), SK Sungai Karangan (14), Surau Al-Husna (26), Masjid Selarong Panjang (32) dan surau Kampung Baru Jemerli dengan 20 mangsa.

Sementara itu, 1 pusat pemindahan dibuka masing-masing di Bandar Baharu iaitu Dewan Sungai Batu yang menempatkan 25 mangsa dan di Baling di Masjid Kuala Bakong dengan 114 orang. – FMT



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons