December 18, 2017
You can use WP menu builder to build menus


HANYA tiga jam waktu beroperasi. Bermula pukul 11 pagi sehingga 3 petang. Namun, pelbagai ragam dan watak yang muncul dalam tempoh itu. Ada berpakaian kemas, comot, tua dan muda daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India, yang sudah cukup menggambarkan sebahagian wajah Malaysia.

Semuanya mahu menikmati hidangan percuma yang diberikan oleh Pengerusi Gabungan NGO 1Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos di kedai beliau yang terletak di Jalan Pahang di ibu negara.

Walaupun percuma, namun keenakan makanan tersebut tidak dapat dinafikan. Malah tidak keterlaluan jika rasanya lebih sedap berbanding kedai lain yang hanya gah pada nama. Mungkin inilah yang dikatakan ‘masak dengan rasa kasih sayang’.

Hari ini beberapa ahli Kelab Transformasi Nasional 2050 (TN50-Utusan) yang menjalankan kerja sukarela di restoran beliau turut berpeluang mengenali kakitangan serta pengunjung yang datang.

Banyak benda yang dapat dilihat dan dipelajari. Tidak kira apa bangsa sekalipun, rata-rata pengunjung benar-benar menghargai jasa dan sumbangan yang dilakukan Jamal.

Cuma satu perkara yang benar-benar menarik perhatian. Ada satu ketika saya perhatikan segelintir pengunjung yang tidak ‘mengenang budi’. Pinggan dan cawan yang sudah digunakan hanya dibiarkan di atas meja, seolah-olah makan di kedai ‘yang berbayar’ walaupun sudah jelas arahan yang tertera.

Malah ada juga yang tidak pandai berbudi bahasa dan berterima kasih. Namun itulah hakikatnya. Jika 3,000 yang datang, maka ada 3,000 karakter yang perlu dihadapi oleh Jamal dan juga sukarelawan lain yang tidak pernah kenal erti penat. Sedikit pun tiada keluhan dalam kalangan mereka!

Dalam pada itu, Jamal yang tidak pernah peduli kritikan dan cemuhan turut mengalu-alukan setiap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pelajar yang ingin menjalankan tugas sukarelawan di kedai tersebut.

Menurutnya, setakat ini pihaknya telah menerima bantuan berbentuk bahan mentah seperti beras dan ikan daripada NGO dan rakan korporat bagi memastikan kedai tersebut dapat terus beroperasi.

“Saya yakin rakyat Malaysia memang pemurah. Jika ada individu atau NGO yang ingin membantu, kami sentiasa mengalu-alukan sama ada tugasan memasak atau menyediakan makanan.

“Yang penting matlamat untuk bersedekah dan membantu golongan sasar tercapai. Kami sendiri tidak terima dan menggunakan wang daripada mana-mana pihak untuk memberi makanan secara percuma,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons