December 15, 2017
You can use WP menu builder to build menus


Anggaran dana RM1 bilion diperlukan bagi beberapa projek tebatan
banjir jangka panjang di Pulau Pinang, kata Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak.

Pejabat daerah, katanya, telah mengenal pasti 13 projek tebatan
banjir bagi menangani krisis banjir yang melanda pada 4 dan 5 Novemberr
lalu, yang melibatkan sekitar 80 peratus kawasan pulau dan tanah besar
di Seberang Perai.


“Setakat
ini, kerajaan pusat telah meluluskan sebanyak RM150 juta dalam projek
pembinaan tebatan banjir bagi fasa ketiga Lembangan Sungai Pinang.

“Kita akan lihat keadaan kewangan kita untuk membantu kerajaan negeri
untuk melaksanakan projek-projek ini,” katanya selepas melawat Pusat
Pemindahan Banjir di Sekolah Agama Rakyat Ar Ridwan di Tasek Gelugor.

Najib berkata kerajaan persekutuan sama sekali tidak akan
menganaktirikan Pulau Pinang dan akan tetap menyalurkan bantuan seperti
yang diberikan kepada Kelantan.

Beliau juga turut menasihatkan rakyat agar menjaga kebersihan seperti
tidak membuang sampah ke dalam longkang dan parit bagi mengelakkan ia
tersumbat dan akhirnya keadaan banjir menjadi lebih buruk.

Katanya apa yang berlaku di negeri ini yang menyebabkan banjir besar
berlaku, selain akibat taburan hujan yang lebat, ia juga boleh dikaitkan
dengan sikap manusia.


“Hujan yang turun pada Ahad lalu adalah hujan yang turun dalam sehari itu menyamai dengan sebulan hujan,” katanya.

Najib juga berkata keadaan bencana sekarang sudah bertukar akibat
perubahan cuaca dan berlaku kadang-kadang keadaan yang sukar dijangka
seperti banjir ini.

“Kita juga tidak terlepas daripada bencana seperti yang berlaku di
luar negara dan sebagai sebuah kerajaan kita akan memberi jaminan untuk
melindungi rakyat kita,” katanya.

“Saya yakin rakyat juga akan turut membantu agar tidak memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Setakat ini, lebih 3,000 orang telah dipindahkan ke 42 pusat
pemindahan manakala sekurang-kurangnya tujuh orang disahkan mati akibat
bencana itu.

Mengiringi Najib adalah isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew.

Mengenai kerjasama antara pegawai negeri dan persekutuan, Najib berkata ia “sangat baik”.


“Terjemahan kerjasama erat ini adalah baik sehingga mampu menangani masalah banjir ini dengan tersusun.

“Semua pihak bekerja sepanjang masa untuk membantu mangsa-mangsa
banjir dan perkara ini turut diakui Ketua Menteri, Lim Guan Eng,”
katanya.

Beliau berkata senario hubungan baik itu merupakan contoh terbaik
yang perlu diikuti semua pihak di negara ini ketika berlakunya bencana.

Mengulas desakan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) terhadap
kerajaan Pulau Pinang agar membatalkan pembangunan berisiko di
lereng-lereng bukit negeri ini, Najib berkata kerajaan negeri perlu
mengambil kira pandangan tersebut jika ia memberi kebaikan kepada semua
pihak.

“Sebarang projek pembangunan yang mahu dilakukan itu mesti ikut
peraturan kerana jangan sama sekali menjejaskan alam sekitar dan boleh
menyebabkan akan berlaku keadaan yang lebih buruk lagi.


“Kerajaan
persekutuan akan berbincang dengan kerajaan Pulau Pinang selepas ini
untuk melihat perkara ini kerana yang lebih penting untuk kita utamakan
adalah keselamatan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Najib juga berkata beberapa NGO akan turut turun padang membantu mangsa banjir di Pulau Pinang.
Pada majlis itu juga Yang Dipertua Pandu Puteri, Datin Seri Rosmah
Mansor menyampaikan bantuan sebanyak RM50,000 kepada mangsa banjir dan
RM60,000 kepada Majlis Keselamatan Negara Pulau Pinang.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons