December 18, 2017
You can use WP menu builder to build menus


Mahkamah Rayuan diberitahu bahawa bekas pelajar sarjana sebuah
universiti awam mengetahui kesemua 12 buah buku yang menjadi subjek
dalam pertuduhannya yang digunakan untuk penyelidikan ketika dalam
proses menyiapkan tesisnya mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh berhujah bahawa perayu
iaitu Siti Noor Aishah Atam juga tidak menafikan tentang pemilikan
kesemua 12 buah buku berkenaan.

Hujahnya tidak wujud kecacatan pada pertuduhan yang disabitkan
terhadap Siti Noor Aishah, 30, sehingga menjejaskan pembelaannya, dan
mahkamah perlu menilai sama ada pertuduhan yang disabitkan itu selamat
atau tidak.

“Walaupun pihak pembelaan membangkitkan isu pertuduhan yang
disabitkan terhadap perayu telah gagal dibuktikan, tetapi tiada sebarang
keterangan yang baharu dikemukakan,” hujahnya.

Beliau berhujah demikian pada kes rayuan pihak pembelaan berhubung
sabitan dan hukuman terhadap Siti Noor Aishah yang dijatuhi hukuman
penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah
memiliki 12 buah buku berkaitan kumpulan pengganas, pada 26 April lepas.

‘Buku untuk tujuan kajian’

Selain itu Faizah selaku responden berhujah bahawa keterangan
pembelaan yang diberikan oleh Siti Noor Aishah pada perbicaraan yang
lepas juga gagal membuktikan keraguan munasabah pada kes pihak
pendakwaan.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili perayu, berhujah
bahawa pemilikan buku untuk tujuan pembelajaran dan ilmu adalah satu
pemilikan yang tidak boleh dikaitkan dengan perbuatan pengganas dan
pertubuhan pengganas.

Beliau berhujah bahawa Siti Noor Aishah membeli kesemua buku itu dan
disimpan untuk tujuan kajian dan menambah pengetahuannya kerana
buku-buku tersebut relevan dengan tajuk tesisnya iaitu ‘Implikasi Tauhid
Dalam Pentadbiran Negara’.

“Kalau dilihat dari segi koleksi buku perayu, sememangnya perayu
memiliki banyak buku genre dan pelbagai tajuk, adalah sukar baginya
untuk tahu buku-buku itu boleh dikaitkan dengan pengganas,” hujahnya.

Pihak pendakwaan dan pembelaan berhujah di hadapan panel tiga hakim
Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan
Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Tangguh keputusan

Mahkamah menangguhkan keputusan terhadap rayuan berkenaan pada satu
tarikh yang akan ditetapkan kemudian bagi mengkaji beberapa isu
perundangan berhubung kes tersebut.

Wanita itu yang pernah menyambung pengajian di peringkat sarjana
dalam jurusan Akidah dan Pemikiran Islam di Universiti Malaya pada 2013,
diperintah menjalani hukuman lima tahun penjara bermula tarikh tangkap
dan dijangka dibebaskan pada 22 Julai 2019.

Pada 19 April 2016, Siti Noor Aishah, didakwa di Mahkamah Majistret
Kemaman, Terengganu, atas pertuduhan memiliki 12 buah buku berkaitan
kumpulan pengganas dan pada 25 Julai tahun sama, wanita itu mengaku
tidak bersalah di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan itu.

Wanita itu dituduh memiliki buku yang merupakan item berunsur
perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu
kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI), IS dan Al Qaeda (AQ).

Dia yang kini ditahan di Penjara Kajang didakwa melakukan perbuatan
itu di Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang Sura, Dungun, Terengganu pada
12.25 tengah hari, 22 Mac lepas, mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun
Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun
atau denda dan boleh dilucutkan mana-mana item tersebut, jika sabit
kesalahan.

Pada 29 September 2016, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan
Siti Noor Aishah daripada pertuduhan berkenaan setelah mendapati pihak
pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Bagaimanapun, pada 27 Mac 2017, Mahkamah Rayuan memerintahkan
tertuduh membela diri atas pertuduhan itu selepas membenarkan rayuan
pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan
membebaskan tertuduh.
-Bernama



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons