November 24, 2017
You can use WP menu builder to build menus



ULASAN | Rupanya menyuruh DAP
mengadakan pemilihan semula berkali-kali ini hanyalah untuk
memperlihatkan betapa parti itu hanya akan mengangkat orang Cina sebagai
pemimpin utama.

Selesai pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) semalam,
ulasan paling awal dikeluarkan anasir propaganda kerajaan ialah
persoalkan kenapa wajah Melayu yang masuk DAP tidak dilantik.

Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa, sepantas kilat menyerang
keputusan pemilihan itu sebagai bukti DAP bukan parti pelbagai kaum. DAP
parti Cina – walaupun dia langsung tidak berani menyebut demikian.

Annuar hanya sebut DAP “dikuasai kaum tertentu”. Macam parti dia
dikuasai kaum tertentu juga, tanpa menyebut Melayu. Kerana takut MCA dan
Gerakan berkecil hati.

“Lim Kit Siang boleh kelentong DAP parti pelbagai kaum. Sekarang apa
jadi. Kalau DAP pelbagai kaum kenapa tidak pilih Melayu?” kata dia.

Pertamanya, kita harus ingat bahawa proses semalam ialah pemilihan
semula yang diadakan untuk kali kedua setelah DAP akur kepada arahan
Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sebab itu Karpal pun ada

Pemilihan semula kali pertama diadakan pada 2013 apabila keputusan tahun sebelumnya disangkal ekoran kesilapan teknikal.

Setelah pemilihan semula 2013, ROS mendiamkan diri sehingga empat
tahun lamanya sebelum dicucuk Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk
Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad yang membawa kepada pemilihan
semula kali kedua, semalam.

Akur dengan arahan ROS, senarai calon CEC yang perlu dipilih oleh
perwakilan semalam ialah senarai yang sama digunakan pada 2012.

Senarai itu turut memuatkan nama mendiang Karpal Singh – yang
meninggal dunia dalam nahas jalan raya tiga tahun lalu – selain beberapa
individu yang meninggalkan parti, kalau pun tidak meninggal dunia.

Maka apabila beberapa pihak mempersoalkan kenapa nama-nama seperti
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said; pakar undang-undang perlembagaan,
Dr Aziz Bari; bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim; malah Mejar Zaidi
Ahmad – yang keluar PAS masuk DAP – tidak masuk CEC, kita hanya boleh
ketawa sambil menepuk dahi.


Dalam tidak sedar, mereka memberitahu satu dunia bahawa DAP
dianggotai nama-nama besar ini. Itu belum dikira lambakan anak muda
Melayu yang berbondong-bondong menyertai DAP pascapilihan raya kecil
Teluk Intan.

Barangkali mereka lupa fenomena itu.

Daripada cuma Dyana Sofya Mohd Daud, DAP menyaksikan kemasukan
wajah-wajah baru seperti Young Syefura Othman, Edry Faizal Yusof,
Jamaliah Jamaluddin, Syerleena Rashid yang masing-masing bekerja keras
sebagai ahli majlis kerajaan tempatan.

Tidak ketinggalan Sheikh Omar Ali di Johor, malah bekas peguam PAS,
Zulhazmi Shariff; Abdul Aziz Isa di Sarawak, Nurul Shifa di Perlis dan
ratusan lagi alumni Sekolah Demokrasi yang sedang bekerja di peringkat
akar rumput tanpa menonjolkan diri.

Fenomena Melayu masuk DAP inilah yang cuba dipadamkan dengan menyuruh
DAP mengadakan pemilihan semula berkali-kali dengan senarai dari lima
tahun lampau.

Cara ramaikan Melayu

United Malays National Organisation akan terus cuba memadam hakikat
bahawa DAP mempunyai dua anggota parlimen Melayu di Dewan Rakyat yang
mewakili Raub dan Bukit Bendera.

Kalau Mahdzir Ibrahim tidak tewas di Tanjung Piai pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, sudah ada tiga.

Umno akan cuba melupakan rakyat bahawa Tengku Zulpuri Shah Raja Puji
itu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP di Mentakab, merangkap
Ketua Pembangkang Pahang.

Itu belum dicampur nama-nama tokoh lampau seperti Fadzlan Yahya, Ahmad Nor, Ibrahim Singgeh, Ahmad Ton dan yang lain-lain.


Senator Dr Ariffin Omar yang terkeluar daripada senarai CEC semalam
juga tokoh besar dalam lapangan akademia Melayu. Itu juga DAP, tapi Umno
tak mahu anda tahu. Ariffin ialah naib pengerusi DAP kebangsaan sejak
2012.

Naratif “DAP parti Cina” ini adalah naratif lima tahun lalu. Drama
panjang ini cuba diulang tayang menghampiri pilihan raya kerana Umno
menyangka rakyat Malaysia tidak pandai menggunakan Google.

Maka cerita yang sama diulang-ulang, tanpa menyertakan maklumat tambahan.

Penyudahnya rakyat dibodohkan tanpa henti. Rakyat yang bodoh memang
disukai pemerintah supaya mereka boleh dicucuk hidungnya dan diheret ke
sana ke mari.

Disuruh baca tulisan Dr Kamarul Zaman Yusoff misalnya – yang kini
menulis di Harakah, lidah parti PAS yang dulu bersungguh-sungguh
mempertahankan DAP sebagai parti politik berbilang kaum.

Rakyat perlu diberitahu fakta. Ini pemilihan semula, dengan senarai
calon 2012 yang masih mengekalkan nama mendiang Karpal Singh.

DAP itu parti majoriti Cina kerana Melayu seperti anda tidak mahu mendekat dek termakan momokan Umno yang kini disokong PAS.

Mahu lebih ramai Melayu dalam CEC? Nah, isi borang DAP. Selesai masalah.


IZMIL AMRI ialah penulis dan pemerhati politik.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons