November 24, 2017
You can use WP menu builder to build menus


Sebenarnya baik Utusan Malaysia mahupun Berita Harian tidak membuat pendedahan tentang gelagat dan cara hidup anak cucu Dr. Mahathir. Sebaliknya, pendedahan itu dibuat oleh anak cucu Mahathir sendiri. Gaya hidup mewah dan mengalahkan selebriti sudah lama menjadi buah mulut di kalangan Netizen ekoran pendedahan daripada gambar-gambar yang disiarkan oleh tuan punya tubuh sendiri.

Justeru, apabila Mukhriz Mahathir mengancam untuk menyaman pihak yang menyebarkan gambar-gambar peribadi anak-anaknya, ia sebenarnya tidak lebih daripada sekadar satu manifestasi kekecewaan apabila taktik yang sama digunakan oleh pesaingnya.

Alasan kononnya ia adalah serangan peribadi, tidak kena langsung. Ini adalah kerana sebelum pendedahan tentang kehidupan mewah dan gaya hidup kebaratan yang keterlaluan membabitkan anak cucu Mahathir, terlebih dahulu Mahathir khususnya, telah menyerang peribadi Najib Abdul Razak dan Rosmah Mansor.

Apa yang tidak dikatakan terhadap Najib Abdul Razak. Malahan ‘jenaka’nya tentang ‘Lanun Bugis’ telah menyebabkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia tercalar. Apa pula yang tidak dikatakan tentang Rosmah Mansor. Malahan Rosmah Mansor dikatakan telah menyihir Najib Abdul Razak menggunakan bomoh selain penghinaan terhadap fizikal Rosmah Mansor. Itu belum lagi kata-katanya tentang majlis perkahwinan anak perempuan Najib-Rosmah.

Begitu juga penghinaan yang dibuat oleh Mukhriz Mahathir terhadap Menteri Besar Kedah, Ahmad Bashah Hanipa, sedangkan pada sebarang masa, Ahmad Bashah tidak pernah sekali pun berkata buruk tentang Mukhriz, apatah lagi menghina fizikalnya. Malahan, sewaktu Mukhriz dibawa balik ke dalam UMNO Kedah, Ahmad Bashah sanggup berundur dan memberikan ruang kepada Mukhriz. Mukhriz yang tidak tahu apa-apa tentang Kedah, diajar dan dibantu. Dan walaupun Mukhriz selaku Bendahari UMNO Kedah, yang mencari duit untuk pengurusan dan pentadbiran UMNO Kedah adalah Ahmad Bashah. Apa yang diterima oleh Shafie Apdal sewaktu mengetuai Kedah, itulah juga bantuan yang diberikan oleh Ahmad Bashah dan UMNO Kedah kepada Mukhriz.

Keadaan berterusan apabila Mukhriz dilantik sebagai Pengerusi UMNO Kedah dan seterusnya Menteri Besar Kedah. Orang yang dihina itulah yang menggalas tugas Mukhriz kerana Mukhriz terlalu sibuk berulang-alik antara KL-Alor Star dan kemudian bercuti ke luar negara bersama anak isterinya.

Sebenarnya orang tidak peduli pun apa gaya hidup yang hendak diamalkan oleh anak cucu Mahathir. Malahan walaupun ramai yang mempertikaikan asal usul kekayaan luar biasa anak beranak Mahathir, tetapi masing-masing boleh ‘menerimanya’ dan tidak mahu memanjangkan isu tersebut.

Tetapi apabila Mahathir banyak bercakap tentang orang lain, berlagak seolah-olah dia adalah wali suci yang bebas daripada rasuah dan kekayaan yang diperolehi oleh anak-anaknya sekarang diperolehi secara tiba-tiba dari perut bumi, dan kemudian mempertikaikan pihak lawannya, maka bermulalah episod pendedahan yang cukup meyakitkan.

Namun yang pasti ialah, segala pendedahan tentang kemewahan luar biasa yang dipertontonkan kepada orang ramai, bukannya dibuat oleh musuh-musuh Mahathir dan Mukhriz sebaliknya oleh ahli-ahli keluarga mereka sendiri!

Jadi, Mukhriz nak marah siapa sebenarnya?



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons