November 21, 2017
You can use WP menu builder to build menus



Oleh SM MOHAMED IDRIS 

 

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan
mengambil tindakan segera untuk membendung jumlah pesakit diabetes yang
terus meningkat di negara ini.

Di sebalik pelbagai kempen mengenai diabetes, kelazimannya terutama
Jenis 2, telah meningkat ke tahap menjadi satu wabak. Dianggarkan
terdapat kira-kira 4.2 juta penghidap diabetes, yang meletakkan Malaysia
antara negara dengan penghidap diabetes yang tertinggi dalam kelompok
negara ASEAN dan keenam di rantau Pasifik Barat.

Peningkatan diabetes pada kadar yang membimbangkan di Malaysia
memerlukan langkah tegas dari kerajaan untuk membendung wabak ini.

Kerajaan perlu memberikan amaran bahaya dalam menangani wabak diabetes sepertimana yang dilakukan dalam wabak taun dan denggi.

Kini diabetes telah menular menjadi satu wabak di seluruh dunia dan
perkara ini begitu membimbangkan sehingga mendorong Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO) dan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) untuk
mengisytiharkan 14 November sebagai Hari Diabetes Sedunia.

WHO menganggarkan terdapat lebih 200 juta penghidap diabetes di seluruh
dunia dan setiap tahun terdapat kira-kira tujuh juta orang penghidap
baharu penyakit ini.

Diabetes menyerang hampir semua lapisan masyarakat – tua, muda, lelaki, wanita dan kanak-kanak daripada pelbagai kaum.

Tinjauan menunjukkan bagi setiap dua penghidap diabetes yang dikenal
pasti, terdapat seorang lagi yang tidak didiagnosa dan tidak menerima
rawatan sehinggalah berlaku komplikasi yang sukar untuk dirawat. Lebih
buruk lagi, Diabetes Jenis 2 tidak lagi dilihat sebagai penyakit yang
cuma dialami oleh golongan tua atau usia pertengahan kerana kini sudah
terdapat kanak-kanak semuda 10 tahun menghidapnya.

Penyakit diabetes membebankan kerajaan kerana setiap tahun ia terpaksa
membelanjakan kira-kira RM2,684.24 untuk rawatan setiap pesakit. Ini
merupakan jumlah RM11.3 bilion untuk anggaran 4.2 juta pesakit diabetes
dalam negara. Bagi pesakit yang mengalami masalah ginjal pula, kerajaan
terpaksa membelanjakan antara RM1,400-RM3,200 setiap bulan untuk rawatan
haemodialisis.

Kerajaan bukan sahaja terpaksa menanggung kos yang tinggi dalam soal
penjagaan kesihatan malah turut terbeban dengan kehilangan produktiviti
pekerja yang menghidap diabetes.

Diabetes bukan sahaja menelan sumber negara malah ia menjejaskan hampir
setiap tisu tubuh dengan pesakit mengalami kerosakan dalam jangka
panjang. Misalnya ia membabitkan anggota tubuh (terpaksa dipotong),
hilang penglihatan (buta), kegagalan ginjal, kegagalan jantung dan
masalah saraf.

Di mana-mana di dunia, setiap:

– 10 saat dua orang mengembangkan diabetes
– 10 saat seorang meninggal kerana diabetes
– 30 saat satu anggota tubuh terpaksa dipotong kerana diabetes

Kadar kelaziman diabetes di Malaysia jauh lebih cepat daripada yang
dijangka, iaitu hampir dua kali ganda jumlahnya dalam dekad lalu.

Memandangkan obesiti menjadi penyumbang utama diabetes, keperluan untuk
membendung obesiti adalah penting demi untuk mengurangkan peningkatan
kadar diebetes dalam kalangan warga Malaysia. Menurut WHO, Malaysia
berada di tangga keenam dengan kadar penghidap diabetes dewasa yang
tinggi di rantau ASEAN.

Diabetes di Malaysia dijangka akan terus melonjak berikutan gaya hidup
tidak sihat dan tabiat pemakanan yang tidak seimbang dan tidak
menyihatkan.

Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Kesihatan supaya:

– Mendidik penduduk Malaysia mengenai bahaya obesiti dan diabetes;

– Mengenakan cukai 50 % ke atas makanan yang tidak berkhasiat iaitu yang
mengandungi banyak gula, lemak, dan bahan penambah dalam usaha untuk
tidak menggalakkan pengambilannya;

– Mengenakan cukai khas ke atas minuman ringan memandangkan ia menjadi
penyumbang utama kepada masalah obesiti yang dikaitkan dengan diabetes;

– Melarang penjualan minuman ringan bersaiz besar;

– Mengadakan sistem ‘lampu trafik’ pada label makanan untuk menunjukkan paras gula, garam dan lemak yang tidak selamat;

– Menyediakan kemudahan rekreasi yang mencukupi di semua kawasan kediaman penduduk;

– Menghentikan pemberian lesen perniagaan 24 jam kepada tempat-tempat makan;

– Menghentikan syif malam di kilang;

– Mengharamkan mesin minuman di sekolah, hospital, dan tempat awam yang lain;

– Mewajibkan pelabelan yang jelas mengenai kandungan lemak bagi semua makanan termasuk makanan segera;

– Menjalankan kempen berbentuk pendidikan untuk ibu bapa dan anak-anak mengenai bahaya obesiti dan diabetes;

– Menghentikan pusat hiburan yang beroperasi selepas tengah malam.

Sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah-langkah yang drastik untuk
membendung obesiti dan diabetes, Malaysia mungkin akhirnya akan menjadi
negara penghidap diabetes.

*SM Mohamed Idris, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang 



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons