November 21, 2017
You can use WP menu builder to build menus



Oleh : Free Malaysia Today


Naib presiden Amanah hari ini menyelar tindakan sebuah institut pemikir kerajaan mencemarkan nama baik beberapa tokoh dengan melabelkan mereka penyokong fahaman liberalisme, pluralisme serta lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dalam sebuah program terapi Islam. 

Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, program yang dikenali sebagai Transformasi Pemikiran Islam (Trapi) itu dianjurkan Institut Kajian Strategi Islam Malaysia (Iksim), sebuah institut yang bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). 

Ahli Parlimen Parit Buntar itu bimbang program transformasi pemikiran Islam itu lebih memfokuskan “pembunuhan watak” sesetengah tokoh berbanding menangani isu yang timbul. 

“Dalam beberapa program itu, salah satu sekularisme, liberalisme dan pluralisme menonjolkan nama-nama tokoh politik tertentu sebagai liberal dan memperjuangkan pluralisme, sedangkan tokoh ini dihormati masyarakat dan mempunyai nama baik dalam ilmu Islam. 

“Saya sedih. Daripada maklumat yang diterima, dipaparkan gambar saya, gambar-gambar pemimpin lain sebagai tokoh pluralisme dan liberalisme. 

“Fitnah apa yang nak dibawakan mereka? Seluruh Malaysia akan dengar, sedangkan kita tak pernah pun bawa fahaman tersebut. Ini bahaya,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Mujahid berkata, jika perlu, beliau akan mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak berkaitan.
“Jika ini berlaku di bawah Jakim, saya anggap Jakim bertanggungjawab atas fitnah besar. 

“Kalau nak jaga Islam, jaga betul-betul. Jangan guna kaedah untuk mencemarkan nama baik ahli politik yang tidak ada kena-mengena dengan fahaman ini.” 

Program anjuran Iksim yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom itu, menyatakan sekularisme, liberalisme dan kepelbagaian budaya sebagai elemen yang akan menghakis agenda Islam dan memusnahkan kedaulatan negara. 

Iksim diperbadankan pada 9 Disember 2014 dengan perkenan Majlis Raja-raja Melayu untuk menegakkan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Menurut laman web rasminya, Iksim ditubuhkan untuk menunaikan hasrat dan aspirasi umat Islam bagi mewujudkan sebuah institut pemikiran bebas khususnya dalam agenda memelihara kedaulatan raja Melayu serta Islam sebagai agama persekutuan. 

Penubuhan Iksim diluluskan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), Jakim, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri. 

Dalam pada itu, Mujahid turut mempersoalkan jika Iksim mendapat dana daripada peruntukan Jakim yang semakin bertambah daripada RM744 tahun ini kepada RM810 juta dalam Bajet 2018.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons