December 15, 2017
You can use WP menu builder to build menus


PERHIMPUNAN Agung UMNO 2017 (PAU 2017) yang berlangsung pada 5 sehingga 9
Disember seperti tradisinya bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC).

Seramai 5,739 perwakilan dijangka menghadiri perhimpunan lima hari yang bermula hari ini.

Ia membabitkan 2,761 perwakilan menghadiri PAU, 994 ke Perhimpunan
Agung Wanita, dan masing-masing 992 di Perhimpunan Agung Pemuda dan
Puteri.

PAU 2017 akan bermula dengan program taklimat presiden
dan diikuti majlis perasmian Perhimpunan Agung pergerakan sayap Wanita,
Pemuda dan Puteri UMNO.

Pada 6 Disember akan diadakan
persidangan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri serta mesyuarat
khas Majlis Tertinggi sementara pada 7 hingga 9 Disember Perhimpunan
Agung UMNO.

Perjumpaan setahun sekali ini boleh dikatakan
sambutan hari raya kepada semua perwakilan UMNO dari serata pelosok
dunia yang berjumpa setahun sekali dalam majlis penuh muhibbah dan
limpahan warna merah.

Sama seperti sambutan hari raya,
seolah-olah sanak saudara dalam satu keluarga besar, UMNO dilihat
pemangkin kepada keutuhan institusi Melayu sekali gus harus kekal
bersatu demi bangsa yang berjaya.

Minggu ini juga, gema lagu
UMNO seolah-olah menjadi azan setiap masa di PWTC mengajak umat Melayu
bersatu di bawah satu rumpun kaum yang sama.


Ia juga zikir keramat untuk dibawa di dalam setiap jiwa Melayu
menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan diadakan dalam
tempoh terdekat.

Namun realitinya UMNO masih berhadapan seteru
politik yang tidak pernah lupa menjejak strategi kemenangan parti dalam
setiap pilihan raya.

Musuh-musuh ini tidak pernah leka walau
sesaat untuk memerhati kelemahan UMNO dalam mana-mana sudut demi misi
menumbangkan parti.

Jika ada ruang, racun hasutan akan disuntik
untuk memastikan perbalahan Melayu berlaku dan perpecahan bangsa menjadi
semakin kronik.

Tiada gunanya jika perwakilan UMNO berbincang
mengenai kedudukan atau jawatan tinggi dalam parti jika tidak mendapat
mandat besar dalam PRU-14.

Paling penting bagi UMNO untuk menyedarkan rakyat terhadap jasa dan apa yang telah dilakukan kerajaan setakat ini.

Bukan terbuai dalam suasana syok sendiri dan akhirnya rebah tanpa disedari.

Tentunya apabila Presiden UMNO sendiri, Datuk Seri Najib Tun Razak
mengingatkan PAU 2017 merupakan persediaan menghadapi PRU-14, ia signal
untuk semua bersedia memperhebat usaha memenangi hati dan minda rakyat
untuk memastikan kemenangan lebih besar berbanding PRU-13.

Ia
merupakan ibu segala pilihan raya yang menjanjikan kemenangan atau
kekalahan untuk mana-mana parti berkuasa atau menjadi pembangkang
sekurang-kurangnya untuk 10 lagi PRU akan datang.

Pada tahun ini juga, sebanyak 826 usul diterima daripada 191 UMNO bahagian di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, 635 usul diterima untuk rujukan, 191 usul diterima tanpa bahas manakala tiada usul yang ditolak.

Daripada 635 usul yang diterima, 238 usul adalah politik, ekonomi (79),
agama (40), sosial (97), pendidikan (114), satu usul melibatkan pindaan
Perlembagaan dan 66 adalah lain-lain usul.

UMNO perlu memastikan perhimpunan yang diadakan kali ini bukan sekadar menampakkan feel good factor, inklusif tetapi juga ‘mentaliti kemenangan’ dalam kalangan ahli parti itu.

Sudah sampai masanya PAU 2017 memberikan tumpuan kepada aspek penyatuan orang Melayu.

Orang Melayu akan terus menjadi kaum yang kuat dan dihormati jika kita bersatu.

Jika begitu hebat kesan penyatuan orang Melayu yang ditiup UMNO, hairan mengapa ada pihak yang masih hendak menolaknya?

Ingatlah, bukan pada masa yang terlambat kelak, 3.64 juta ahli UMNO di
seluruh dunia akan menangis kerana melihat parti keramat orang Melayu
ini dipijak-pijak seolah-olah tidak membawa walau satu erti lagi.

Pada saat itu, lagu suntik semangat dan terapi brainwash ‘Anak
kecil main api’ yang acap kali menjadi penanda aras kekuatan parti
hanya layak disimpan dalam arkib sejarah UMNO dan tidak lagi mahu
didengar sesiapa.

Itu mimpi paling ngeri buat UMNO, jadi atau tidak terletak sepenuhnya di tangan pemimpin dan ahli parti itu sendiri. 



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons