December 15, 2017
You can use WP menu builder to build menus


Parlimen baru-baru ini didedahkan bahawa syarikat surat khabar milik
UMNO, Utusan Melayu (Malaysia) Sdn Bhd telah mendapat kontrak RM340 juta
bagi membekalkan komputer tablet bantuan mengajar kepada 430,000 guru
di seluruh negara.

Pendedahan itu diketahui melalui jawapan parlimen oleh Timbalan
Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan kepada soalan Ahli Parlimen
Bukit Mertajam, Steven Sim.

Menurut Timbalan Menteri itu lagi, setakat ini, sebanyak 182,712
tablet telah pun diagihkan dengan perbelanjaan sebanyak RM152 juta.

Persoalannya kata Steven ialah, bagaimana sebuah syarikat surat
khabar yang mengalami kerugian setiap tahun boleh diberi kontrak RM340
juta membekalkan peralatan bantuan mengajar tersebut?

“Bagaimana sebuah syarikat surat khabar yang telah mengalami kerugian
hampir RM220 juta boleh dilantik menjadi pembekal komputer tablet bagi
projek bernilai RM340 juta? Tambahan pula projek ini diberikan tanpa
tender terbuka.

“Daripada tahun 2013 sehingga ke suku ke-2 tahun 2017, Utusan telah kerugian hampir RM220 juta.

“Pada tahun 2016, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Zainuddin
Maidin telah menggelar Utusan sebagai sebuah syarikat yang sedang
“sakit” kerana kelewatan membayar gaji kepada pekerja,” katanya dalam
kenyataan hari ini.

Keadaan ini kata Steven membuktikan Utusan Malaysia yang merupakan
alat propaganda UMNO kini sedang ‘sakit tenat’ dan menunjukkan ‘tidak
pernah dan tidak berhasrat untuk berubah’.

“Pentadbiran UMNO-BN tetap berpaksikan 3K iaitu, Korupsi, Kronisme, Kleptokrasi,” katanya lagi.

Berdasarkan laporan Biro Audit Pengedaran pada Mei 2017, pengedaran
Utusan Malaysia telah merosot sebanyak 14 peratus atau pengurangan lebih
20,000 naskah manakala pengedaran Mingguan Malaysia pula mencatatakan
penurunan sebanyak 10 peratus iaitu sekitar 30,000 naskah. – Roketkini.com



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons