February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


LONDON 11 Dis. – Antonio Conte berkata, Chelsea harus berani menyahut cabaran menentang Barcelona dalam peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Kegagalan muncul juara kumpulan menyebabkan juara Liga Perdana Inggeris itu menerima laluan getir berdepan pendahulu La Liga, Barcelona dalam undian yang dilakukan di Nyon, hari ini.

“Kami harus menunjukkan reaksi positif.

“Seperti yang kita semua tahu, apabila tiba di peringkat ini anda kena bersedia berdepan sesiapa pun. Dalam kes ini, kami kena bersedia menentang Barcelona.

“Apabila anda bertemu Barcelona, anda kena berikan 120 peratus dalam perlawanan di tempat sendiri dan tempat lawan jika mahu melangkah ke pusingan seterusnya,” kata Conte kepada pemberita dalam sidang akhbar menjelang perlawanan Liga Perdana menentang Huddersfield Town di sini, hari ini.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu lima kali dalam peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, tetapi Conte menegaskan, keputusan yang dicatat pada masa lampau tidak harus diambil kira.

“Apa yang sudah berlalu biarpun berlalu. Kita harus fikirkan masa sekarang, ia cerita berbeza, sama sekali berbeza.

“Saya fikir dalam perlawanan seperti ini, ia memberi peluang terbaik kepada setiap pemain untuk membuktikan kemampuan. Semua pemain perlu memainkan peranan dengan betul,” katanya lagi.

Menjelang perlawanan peringkat pertama menentang Barcelona pada 20 Februari, 2018 Conte mahu pasukannya mengukuhkan prestasi dalam liga domestik terlebih dulu.

Kelab London itu ketika ini ditinggalkan 14 mata di belakang pendahulu, Manchester City selepas kalah 0-1 kepada West Ham, Sabtu lalu.

“Saya fikir keutamaan haruslah liga domestik. Kita kena bersaing untuk mendapatkan tempat dalam Liga Juara-Juara (kelompok empat terbaik).

“Kemudian, kita fikirkan tentang perlawanan menentang Barcelona. Kita akan fikirkan tentang strategi apabila perlawanan sudah semakin hampir,” katanya lagi. – AGENSI



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons