February 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Reman blogger Milosuam dilanjutkan, mengapa MB Johor belum disiasat?

Pakatan
Harapan Johor mempersoalkan mengapakah pihak polis masih belum membuat
siasatan ke atas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
dalam kes skandal hartanah Johor sedangkan blogger Milosuam yang
dikaitkan dengan kes yang sama telah dilanjutkan tempoh remannya.

“Kami melihat, langkah pihak polis memohon perlanjutan reman tersebut
sebagai tindakan yang cukup pantas dan tegas yang telah diambil oleh
pihak berkuasa ke atas blogger Milosuam.

“Malangnya, mengapakah sehingga kini masih tiada sebarang siasatan
dimulakan ke atas Khaled berikutan dakwaan rasuah mengaitkan nama beliau
seperti dibangkitkan Adun Senai semasa sidang Dun Johor pada 27
November 2017 lalu?” kata PH Johor dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama oleh lima pimpinan PH Johor iaitu,
Pengerusi Pakatan Harapan Johor Tan Sri  Muhyiddin Mohd Yassin,
Pengerusi Bersatu Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, Pengerusi AMANAH
Johor Aminulhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor Hassan Karim dan Pengerusi
DAP Johor Liew Chin Tong.

Pakatan Harapan Johor menurut kenyataan itu, rasa kecewa terhadap
berita perlanjutan tahanan reman ke atas blogger Yusof Al-Siddique
Suratman, atau lebih dikenali sebagai Milosuam berhubung kebocoran
kenyataan saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan
skandal hartanah Johor.

“Tindakan tersebut memperlihatkan isyarat ‘ada sesuatu yang tak kena’
apabila Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang kami
gelarkan sebagai Johor Official 1 (JO1) masih belum disiasat sehingga
hari ini.

“Apakah pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) sedang diperalatkan oleh JO1 demi menutup dakwaan
skandal rasuah yang timbul? Apakah SPRM telah menjadi perkakas untuk
kepentingan JO1?

“Isu ini amat serius. Kami berpendapat, respons Khaled semasa ucapan
penggulungan sidang Dun Johor Isnin lalu sebagai percubaan Khaled untuk
berlepas tangan. Bahkan ia merupakan suatu pembohongan,” kata kenyataan
itu lagi.

Dalam ucapan tersebut, menurut PH Johor, Khaled mendakwa pentadbiran
beliau ‘tidak menerima apa-apa suapan, tidak akan menerima apa-apa
suapan dan akan menentang segala usaha untuk memberi apa jua bentuk
suapan’ samada kepada diri beliau atau pentadbiran beliau.

“Khaled secara terang-terangan telah berbohong di Dewan Negeri.
Rakyat Johor masih tidak lupa bagaimana exco di bawah pentadbiran beliau
pada awal tahun ini, Datuk Abd Latiff Bandi telah didakwa atas tuduhan
rasuah berhubung isu hartanah Johor. Kami ulang, Latiff adalah ‘exco di
bawah pentadbiran beliau’.

“Kami mendesak agar pihak berkuasa khususnya SPRM tidak bersikap selektif dalam memgendalikan kes skandal hartanah di Johor ini.

“Kegagalan SPRM untuk memulakan siasatan terhadap Khaled hanyalah
akan menzahirkan sikap tidak adil serta pengabaian terhadap kepentingan
rakyat Johor keseluruhannya,” kata kenyataan itu.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons