February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


PETALING JAYA: McDonald’s Malaysia membuat laporan polis bagi melindungi keselamatan 12,000 pekerja dan keluarga mereka selepas pihak tertentu menuduh pengendali rangkaian itu, Gerbang Alaf Sdn Bhd, menyokong Israel di tengah-tengah kemarahan orang Islam memuncak dalam isu Baitulmaqdis.

Perkembangan ini selepas lebih 20 individu dan NGO baru-baru ini menyeru pemboikotan restoran McDonald’s Malaysia, yang didakwa menyalurkan dana kepada Israel.

Pengarah Urusan Azmir Jaafar membidas seruan boikot itu berasaskan kepada “maklumat tidak berasas” serta “tuduhan tidak benar, dusta, palsu dan fitnah”, dan menegaskan McDonald’s Malaysia sama sekali tidak terlibat dalam konflik itu.

“Sebagai sebuah syarikat kami tidak menyumbang, menyokong atau terlibat dalam sebarang konflik politik mahupun agama di mana-mana negara sekalipun,” kata Azmir dalam kenyataan hari ini.

Ini bukan kali pertama jenama terkenal Amerika Syarikat itu menjadi sasaran kumpulan tertentu di Malaysia apabila muncul isu dalam konflik Israel-Palestin yang berlarutan sejak 1948.

Pada Ogos 2014, sekumpulan orang ramai yang menyahut seruan boikot dilaporkan mengganggu premis McDonald’s di Dungun termasuk membaling objek keras dan menggoncang pintu kedai restoran itu.

Pada 8 Disember lepas, McDonald’s Malaysia sekali lagi menafikan dakwaan mereka menyalurkan dana kepada Israel.

“Walaupun jangkauan kenyataan rasmi kami telah beredar dengan meluas kepada rakyat, sesetengah individu dan kumpulan yang tidak bertanggungjawab masih memilih untuk mengabaikannya dan terus menyebar maklumat palsu mereka.”

“Tindakan yang kami ambil dengan membuat laporan polis adalah terutamanya untuk melindungi para pekerja kami dan ahli keluarga mereka, serta harta dan restoran kami dari ancaman kerosakan, dan sudah tentu perniagaan dan mata pencarian kami termasuk kesemua 12,000 pekerja McDonald’s Malaysia.”

Mcdonald’s Malaysia terpalit dakwaan kononnya McDonald’s Amerika Syarikat menyumbang kepada tabung Jewish United Fund (JUF) melalui program “pemberian sepadan”.

Pemberian sepadan merupakan inisiatif di pihak majikan bagi mengalakkan pekerja menderma kepada badan kebajikan yang dipilih pekerja berkenaan. Secara amnya, majikan akan menderma amaun yang sama yang disumbang pekerja berkenaan.

“Sepanjang 2014, terdapat lebih daripada 2,000 sumbangan derma pekerja kepada berbagai-bagai badan kebajikan yang dipadankan oleh McDonald’s AS,” kata Azmir, dan menambah bilangan derma kepada JUF adalah sangat kecil, iaitu 3 sahaja.

“Perlu diingat bahawa badan kebajikan adalah dipilih oleh para pekerja dan bukan oleh McDonald’s AS. Adalah satu fakta bahawa terdapat juga badan-badan kebajikan Islam yang telah menerima sumbangan derma pekerja yang dipadankan.”

Syarikat McDonald’s antarabangsa, McDonald’s Crop menjual hak francais dan memindahkan kepentingan mereka di restoran McDonald’s di Malaysia kepada Lionhorn Pte Ltd dari Arab Saudi pada 1 Disember lepas, dalam usaha melepaskan pemilikan langsung rangkaian itu di Asia.

Lionhorn diterajui Sheik Fahd dan Abdulrahman Alireza, pemegang francais untuk hampir 100 restoran McDonald’s di Arab Saudi.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons