February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Ahli akademik akui kos sara hidup tinggi

Selepas beberapa artis dan selebriti tanah air mengkritik tentang
tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat pada masa ini, ahli akademik
turut menyuarakan hal sama beserta fakta semasa.

Dr Ahmed Razman Abdul Latiff



Penganalisis ekonomi Putra Business School Universiti Putra Malaysia
(UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat peningkatan kos barangan
jauh melonjak berbanding kenaikan gaji yang perlahan.

Menurutnya, jurang pendapatan pula terlalu tinggi manakala sebahagian
pendapatan bulanan yang rendah diperoleh majoriti rakyat negara ini
terpaksa dihabiskan untuk perbelanjaan.

“Jika dilihat, kenaikan gaji di Malaysia tidak dapat menyaingi harga
barangan yang semakin meningkat, selain wujud jurang ketidaksamaan
antara gaji pengurusan tertinggi dengan pekerja peringkat bawahan.

“Malah, berdasarkan statistik juga purata perbelanjaan isi rumah di bandar dianggarkan kira-kira RM3,200 sebulan.

“Selain itu, sejumlah 89 peratus populasi pekerjaan di negara ini
juga merekodkan pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan,” dipetik
daripada akhbar Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) semalam berhubung penambahbaikan ke atas skim
dan polisi KWSP.

Mengulas empat langkah penambahbaikan tersebut yang berkuat kuasa 1
Januari 2018, Dr Ahmed berpendapat usaha KWSP itu dapat mengurangkan
beban pencarum dalam menangani kos sara hidup yang semakin tinggi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pencarum juga perlu berdisiplin
menguruskan kewangan dan bersedia untuk menghadapi tempoh persaraan
dengan wang mencukupi selain peranan kerajaan dan pihak swasta dalam
membantu ahli KWSP.

Semalam, KWSP mengumumkan polisi pengeluaran 55 tahun dan 60 tahun
yang dipermudahkan bagi membolehkan pencarum melakukan pengeluaran
sebahagian dalam sebarang jumlah pada bila-bila masa daripada akaun
mereka.

Polisi semasa hanya membenarkan pengeluaran tidak kurang RM2,000 setiap 30 hari.

Turut diumumkan, pilihan Amanah Raya Berhad sebagai penama/pentadbir
atau pemegang amanah kepada simpanan KWSP bagi memudahkan agihan
simpanan kepada waris terdekat apabila pencarum meninggal dunia.

Ahli KWSP juga boleh membuat gabungan pengeluaran sebahagian dan
bulanan pada bila-bila masa sehingga usia 100 tahun berbanding had umur
semasa 75 tahun.

Selain itu, had umur ahli dilanjutkan kepada 60 tahun berbanding 55
tahun pada masa ini untuk waris terdekat menuntut bantuan kematian
berjumlah RM2,500 jika pencarum meninggal dunia sebelum usia 55 tahun.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons