February 19, 2018
You can use WP menu builder to build menus


JOHOR BAHRU 17 Dis. – Seorang lelaki berusia 30-an maut selepas ditikam dan dilanggar sekumpulan empat lelaki menaiki kereta jenis BMW dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di sini sebentar tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, kejadian berlaku pukul 7.30 malam ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang mendakwa isteri mangsa sedang mengisi angin tayar kereta Volkswagen dinaiki mereka di stesen berkenaan.

“Secara tiba-tiba datang suspek dipercayai seramai empat orang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka, namun mangsa yang bergelut berjaya meloloskan diri.

“Suspek kemudian bertindak melanggar mangsa sebelum mengundur dan melanggar mangsa sekali lagi sebelum melarikan diri,” katanya ditemui di lokasi kejadian di sini.

Mohd. Khalil Kader berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan pemeriksaan mendapati terdapat kesan tikaman di dada kiri mangsa.

Katanya, pihaknya telah mengambil keterangan wanita warga asing berkenaan yang bertindak melarikan diri untuk meminta pertolongan, namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, motif kejadian masih disiasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini sedang mengesan pemilik kereta BMW bernombor pendaftaran WB 79 C berkenaan.

Video kejadian turut menjadi tular di laman sosial Facebook. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons