February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


AKHBAR RAKYAT

 
Oleh Yunus Tasim

Kekecohan tentang Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) sangat menarik perhatian.
Pada 15 Disember, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk
Mas Ermieyati Samsudin mengumumkan pelaksanaan IMAMS yang diwajibkan ke
atas semua operator umrah. Sehari kemudian, kerajaan menarik balik dan
membatalkan IMAMS.

Pelik bin Ajaib bila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
mengatakan melalui Twitter yang beliau tidak bersetuju dengan
pelaksanaan IMAMS dan pembatalannya adalah tepat.

Jika IMAMS terlaksana, bermakna setiap orang Islam yang hendak
melakukan umrah membayar kos tambahan sebanyak RM90.10, lebih daripada
sedia ada. Pecahan kepada kos itu ialah RM45 kerana menggunakan sistem
IMAMS dan RM40 untuk insuran setiap jemaah, manakala RM5.10 untuk GST.

Dengan lebih 200,000 ribu jemaah umrah Malaysia setiap tahun,
syarikat pengendali IMAMS dijangka meraih pendapatan sekitar RM18 juta
setahun hanya dengan “memaksa” IMAMS digunakan oleh semua operator
pengendali umrah.

Syarikat pengendali umrah kini terpaksa menerusi satu lagi lapisan
iaitu syarikat yang mengendali IMAMS untuk memperolehi visa umrah.

Sekarang ini operator umrah menguruskan visa peserta umrah terus
dengan Kedutaan Arab Saudi.
Lapisan tambahan ini belum tentu melicinkan
lagi pelaksanaan tersebut dan tentunya terdedah kepada banyak masalah
akibat pengendalian jumlah yang banyak.

Apa yang nyata, pelaksanaan IMAMS pastinya menambah kos kepada setiap
jemaah yang hendak melaksanakan umrah. Bukan itu sahaja, IMAMS
membuktikan kerakusan kerajaan yang ingin mengutip cukai GST daripada
pelaksanaan ibadah. Nak beribadah nak umrah pun kena GST!

Kalau dahulu apabila GST dilaksanakan, terdapat ultra Melayu dari
kalangan parti pemerintah menyatakan GST dilaksanakan khusus untuk orang
bukan melayu dan peniaga bukan melayu yang pintar mengelak daripada
membayar cukai pendapatan dan cukai korporat.

Kini IMAMS membuktikan kerajaan begitu rakus untuk menambah
“pendapatan” dan sanggup memangsakan orang Melayu Islam yang hendak
beribadah membayar cukai GST melalui IMAMS.

Lebih menghairankan bila Najib sendiri menghantar tweet mengatakan
yang beliau tidak setuju dengan IMAMS digunakan untuk visa umrah dan
pembatalannya adalah satu yang tepat. Apakah pelaksanaan IMAMS oleh
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak dibincangkan mesyuarat
Kabinet yang dipengerusikan Najib atau timbalannya Datuk Seri Ahmad
Zahid Hamidi?

Seolah-olah perdana menteri boleh terlepas pandang terhadap perkara yang sebegini besar melibatkan rakyat. Mustahil!

Apakah pelaksanaan ini hanya memikirkan tentang poket kerajaan dan
untuk mengaut keuntungan? Kalau untuk mengatasi jemaah umrah daripada
ditipu syarikat pengendali umrah, pastinya ada cara lain yang boleh
dilaksanakan. Dan IMAMS tidak seharusnya mengenakan caj tinggi atas
penggunaannya yang membebankan rakyat yang hendak beribadah.

Di sinilah rakyat sangsi keikhlasan kerajaan di sebalik pembatalan
IMAMS itu. Apakah pembatalan IMAMS bersifat sementara kerana pilihan
raya umum yang makin dekat?

Apakah ia hanya kerana tidak mahu undi Melayu dan Islam hilang daripada Umno/BN?

Ada pula yang mengatakan kerajaan takut orang Islam yang mengerjakan
umrah nanti akan mendoakan yang bukan-bukan di depan Kaabah. Rakyat
sangsi jika Barisan Nasional menang lagi di pilihan raya akan datang,
IMAMS akan dilaksanakan juga, mungkin dengan nama lain seperti BILALS,
SIAKS, MAKMUMS dan sebagainya.

Apakah kita tidak melihat lagu sumbang dikumandangkan berulang kali?



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons