February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Akal dan helah Mahathir tidak boleh dinafikan, memang pada kelas yang tersendiri. Bermula dari tahun 1969, kita dapat menyaksikan bagaimana kemarahan orang UMNO kepadanya, berjaya ditukarkan dan akhirnya kemarahan itu dihalakan kepada Tunku Abdul Rahman dengan cerita dongeng Mahathir tentang ketidakpedulian Tunku Abdul Rahman semasa Tragedi Berdarah 13 Mei tercetus. Dan akhirnya Tunku Abdul Rahman terpaksa meletak jawatan dan hidup menjauhi dunia politik walaupun pada 1988, Tunku turut terbabit bersama-sama Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan UMNO88 yang tidak diluluskan pendaftarannya oleh ROS kerana Mahathir mahu menubuhkan UMNO Baru yang akan menghilangkan jejak-jejak penjarahan ke atas harta-harta dan aset-aset tunai UMNO yang telah dibahagi-bahagikan kepada proksi-proksinya sebelum pengharaman UMNO asal.

Sehingga ke hari ini, sebahagian besar proksi-proksi Mahathir yang bermodalkan harta dan tunai UMNO, hidup mewah tetapi berlagak seolah-olah mereka memang lahir di atas talam emas, seperti Zaid Ibrahim dan anak-anak Mahathir sendiri!

Kemudian apabila Anwar Ibrahim mula mengisytiharkan perang terhadap Mahathir apabila menyatakan DANAHARTA dan KHAZANAH ditubuhkan semata-mata untuk bail-out syarikat-syarikat kroni dan anak-anaknya terutama Mirzan, akal dan helah Mahathir akhirnya menyaksikan tilam sebuah bilik di Tivolli Villa diangkut ke mahkamah untuk pembuktian wujudnya air mani Anwar Ibrahim bersama-sama air mani individu lain di atas tilam tersebut.

Kemarahan orang ramai terhadapnya, berjaya dikalahkan oleh akal dan helah Mahathir apabila dia membuat perjanjian gelap dengan Shuqui dan Dong Zhong sehingga menyebabkan sesiapa sahaja yang mempertikaikan kewujudan sekolah-sekolah aliran Cina, akan dikenakan hukuman di bawah Akta Hasutan.

Akal dan helah Mahathir juga digunakan untuk menjatuhkan Abdullah Badawi. Tidak sedikit orang yang percaya bahawa Abdullah Badawi tidak berkeupayaan sebagai Perdana Menteri (termasuklah penulis sendiri) kerana percaya dengan akal dan helah Mahathir. Jambatan bengkok dan keengganan Abdullah untuk meneruskan projek-projek mega Mahathir yang bersandarkan kepada konsep konsesi yang mana rakyat perlu membayar tol dan pampasan yang berjumlah besar pula perlu dibayar oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat konsesi, akhirnya menyebabkan Abdullah bukan sahaja tidak popular, tetapi juga dibenci.

Mahathir cuba menggunakan helah dan akal yang sama terhadap Najib Abdul Razak setelah kehendaknya tidak dipatuhi dan dipenuhi. Lebih-lebih lagi selepas anaknya yang langsung tidak berbakat dan tidak mempunyai sebarang kebolehan – Mukhriz Mahathir – gagal dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO mahupun sebagai Naib Presiden UMNO. Kemarahannya semakin bertambah apabila Ketua-Ketua Bahagian UMNO di Kedah bersama-sama ADUN UMNO-BN Kedah sepakat untuk mengundi keluar Mukhriz Mahathir daripada jawatan Menteri Besar Kedah yang digunakan sebagai kenderaan mudah bagi percutian di luar negara bersama-sama kaum keluarganya.

Pelbagai isu telah digunakan oleh Mahathir untuk membangkitkan persepsi dan sentimen kebencian terhadap Najib Abdul Razak. Bermula dengan 1MDB dan akhirnya Mahathir keluar dari UMNO untuk bersama-sama parti yang ditubuhkan oleh Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusinya. Pun begitu, helah dan akal tersebut tetap tidak dapat mewujudkan gelombang besar kebangkitan rakyat seperti yang diharapkan sehingga akhirnya, Mahathir terpaksa tunduk sujud kepada Lim Kit Siang dan DAP bagi memperolehi sokongan undi masyarakat Cina sebagaimana yang dilakukannya ketika PRU 1999 apabila dia bersetuju dengan kehendak Shuqui dan Dong Zhong.

Bagaimanapun, akal dan helah Mahathir itu tidak begitu memberangsangkan apabila DAP dan Pakatan sendiri sedang bergelut untuk menentukan siapakah yang paling dominan apatah lagi masih wujud kebencian besar terhadap Mahathir di kalangan para penyokong DAP dan Pakatan, khususnya PKR sendiri. Malah akal dan helah Mahathir untuk menggunakan pihak asing, termasuklah DOJ dan Sarawak Report yang suatu ketika dahulu merupakan ‘musuh utamanya’ ketika dia masih menjadi Perdana Menteri, turut tidak menjadi.

Terkini, akal dan helah Mahathir berfungsi lagi. Mahathir mempergunakan golongan artis dan penjawat awam yang memang diketahui sebelum ini bersuara kritis terhadap kerajaan. Jentera propaganda Mahathir menggunakan segala akal dan helah untuk cuba menggambarkan bagaimana kerajaan sekarang tidak berfungsi, zalim dan tidak peduli dengan rakyat kecuali menjerut rakyat dengan pelbagai cukai dan pembayaran yang perlu dilakukan oleh rakyat kononnya untuk membiayai hutang-hutang negara.

Ironinya, ramai yang terpengaruh dengan tohmanan-tohmahan tersebut biarpun pada masa yang sama, pelbagai penjelasan dan penerangan diberikan oleh pihak terbabit. Golongan artis yang ketika zaman Mahathir tidak dapat menikmati ‘kebebasan’ sebagaimana yang dinikmati pada era Najib Abdul Razak, telah digunakan oleh Mahathir untuk menjadi mesin propaganda bagi pihaknya. Manakala penjawat-penjawat awam yang sekarang ini menikmati faedah dan manfaat yang lebih besar termasuklah kadar upah dan gaji yang lebih tinggi berbanding zaman Mahathir, juga digunakan untuk mewujudkan persepsi bahawa pentadbiran dan pengurusan negara di bawah Najib Abdul Razak sangat teruk.

Kelonggaran undang-undang telah digunakan untuk menjayakan Plan C Mahathir dengan sebaik-baiknya. Kos sara hidup dan gaya hidup menjadi sumber utama serta modal utama untuk Mahathir mempergunakan golongan tersebut bagi menjayakan propagandanya. Pada masa yang sama, golongan artis dan penjawat awam yang terang-terang menyokong Kerajaan pula dilabelkan sebagai pemakan dedak dan penjilat bagi mewujudkan rasa bersalah kerana menyokong dan mendokong Kerajaan sedia ada.

Kita tengok sahajalah sejauh mana Plan C Mahathir berlangsung. Apakah akan berjaya atau nasib seperti yang pernah dihadapi oleh M.Nasir kerana bertanyakan dua patah perkataan, ‘SIAPA MAHATHIR’ akan dialami oleh golongan terbabit atas nama kebebasan bersuara dan ‘mereka pun rakyat Malaysia juga’.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons