February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KANGAR 22 Dis. – Para peminat Singa Utara dijangka boleh kembali menyaksikan perlawanan pasukan itu pada waktu malam, musim 2018, setelah Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) diyakini dapat menyelesaikan isu lampu limpah di Stadium Tuanku Syed Putra di sini sebelum sepak mula berlangsung Mac depan.

Perkara itu dinyatakan Presiden PFA, Ir. Shahruddin Ismail semasa sidang akhbar memperkenalkan Barisan Kejurulatihan dan Jersi Singa Utara serta penyampaian surat tawaran kepada seramai 14 orang pemain di sini malam tadi.

Beliau memberitahu, kerja-kerja pembaikan lampu limpah di stadium berkenaan yang menjadi punca para peminat Singa Utara terpaksa menyaksikan perlawanan pasukan itu pada waktu petang musim lepas, akan bermula Januari ini.

“Insha-Allah kita yakin dapat selesaikan isu ini sebelum sepak mula berlangsung (Mac 2018) dan kembali mendapat sokongan daripada para peminat kita,” katanya.

Yang turut hadir Naib Presiden 2 PFA, Prof. Madya dr. Mohd. Foad Sakdan dan Naib Presiden PFA 3, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan.

Dalam majlis tersebut memperkenalkan Ketua Jurulatih PFA, Manja Man iaitu bekas pemain kebangsaan; Ketua Jurulatih Pasukan Presiden PFA, Azizul Abidin dan Ketua Jurulatih Pasukan Belia PFA, Suhairi Abdul Karim.

Jersi pasukan ditaja oleh Skyhawk Apparels Sdn. Bhd. selain kemudahan stadium oleh Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu, Shahruddin berkata, Singa Utara yang akan dibarisi oleh para pemain daripada bekas kelab lain seperti Felcra FC, Sime Darby FC dan Kelantan, diyakini bakal menjadi antara pasukan tumpuan dalam Liga FAM bersama PJ Rangers.

Kata beliau, pihaknya telah menyelesaikan 80 peratus pemilihan dan menandatangani kontrak pemain selama setahun.

“Kira-kira 60 peratus pemain Singa Utara musim depan terdiri daripada anak-anak Perlis yang kebanyakannya berusia bawah 23 tahun,” ujarnya yang memberitahu, nilai keseluruhan tajaan diterima untuk ketiga-tiga pasukan pada musim depan adalah sebanyak RM300,000.

Ketika diminta mengulas kemampuan para pemain Singa Utara, Manja berkata, pihaknya yakin tiada masalah kerana kesemuanya yang terpilih mempunyai pengalaman bermain dalam kelab-kelab liga FAM dan Liga Perdana sebelum ini serta masih aktif. – UTUSAN ONLINE

 



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons