February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


DETIK DAILY

 
Oleh Alang Ibn Shukrimun

ISLAM IS TRENDING

Pasca Perhimpunan Agung Umno 2017, ramai
pemerhati politik menyuarakan komentar. Umno sekarang sudah banyak
berubah. Paling menonjol, mereka sudah banyak memperkenalkan terma-terma
dan budaya Islam dalam organisasi. Dahulu bukan tidak ada, tapi
sekarang semakin ketara.
Laungan takbir Allahuakbar, bercakap
soal kewajipan taat dan wala, bangkit membela Palestin, program-program
keagamaan berskala mega dan bermacam lagi retorik yang menampakkan
keislaman Umno. Pada mata kasar, mereka cukup terbuka dan berani
menzahirkan keislaman.

Walaupun ada yang melihat perkara ini
sebagai negatif, mempergunakan agama atau cuba menyaingi PAS, tetapi
saya lebih suka memandangnya dari sudut positif.

TRENDY

Kenapa Umno berubah menjadi semakin Islamik? Kerana mereka mahu terus
relevan dan diterima di medan politik. Mereka memiliki jentera pengkaji
dan pembanci yang kuat mewakili berbagai agensi dan lapisan. Sudah tentu
imej Islamik yang mereka tonjolkan sekarang adalah hasil daripada
dapatan kajian trend semasa pengundi di Malaysia.

Ini menunjukkan
trend semasa rakyat Malaysia adalah minat kepada agama. Islam menjadi
“trendy’. Jadi kalau Umno tidak mengikut trend beragama, mereka akan
ditinggalkan. Rakyat mahu agama, maka mereka perlu tawarkan agama.

Jika dinilai dari sudut kepentingan Islam tanpa mengambil kira untung
rugi politik kepartian, trend semasa ini adalah sangat positif.
Menunjukkan hasil usaha dakwah Islamiah yang dijalankan sejak dahulu
meningkat dengan baik. Rakyat sudah tidak seperti dulu. Kesedaran agama
telah tersebar luas hingga ke bandar-bandar besar. Dahulu, agama hanya
popular di kawasan kampung.

JANGAN PERLEKEH

Ketepikan seketika politik kepartian. Kita mesti melihat fenomena ini
daripada kacamata agama dahulu. Pandang dari perspektif seorang
negarawan. Tidak dinafikan imej baharu Umno ini akan memberi cabaran
buat PAS yang telah lama memperjuangkan agama. Tetapi amat tidak bijak
jika kita memperlekeh usaha Umno untuk mendekati agama.

Pedulikan
motif sebenar perubahan imej Umno ini. Walaupun kita percaya pasti ada
motif politik, tetapi mesti pandang dari sudut kelebihan buat negara dan
rakyat. Sikap Umno yang membuka pintu untuk agama ini pasti akan
mengukuhkan lagi kedudukan Islam di negara. Agama akan menjadi keutamaan
dalam kehidupan rakyat bernegara. Utamakan rakyat dalam berpolitik. Ia
salah satu kriteria BPMS.

Percayalah, jika kita mengkritik,
memperlekeh atau mempertikaikan keikhlasan Umno dari sudut ini, kita
akan dilihat mengamalkan politik sempit. Kita akan dipandang tidak
matang. Kita akan dikritik kembali oleh rakyat. Itu persepsi rakyat
teramai walaupun mereka juga agak skeptikal dengan Umno.
AGAMA TRENDY DI BARAT

Sebenarnya, fenomena masyarakat kembalu kepada agama tidak hanya
melanda negara kita. Bahkan negara barat juga. Islam semakin diminati di
negara besar Eropah seperti Perancis, Jerman, dan UK. Agensi kajian Pew
Research Center menjangkakan Islam akan mendominasi barat menjelang
2050, dan akan menyamai bilangan kristian di dunia jika trend
peningkatan kemasukan Islam konsisten seperti sekarang.
Di
Amerika, protestan semakin ditinggalkan. Golongan atheisme ataupun
freethinker semakin menyedari keperluan agama dalam kehidupan. Islam
menjadi popular pasca 11 September. Untuk mengekang penghijrahan
masyarakat kepada Islam, gereja protestan perlu melakukan reformasi.
Justeru, dipopularkan gerakan evangelical yang lebih bersifat
fundamental terhadap agama (kristian). Evangelical cuba mengharmonikan
antara gereka protestan dan katolik.

PERSAINGAN SIHAT

Berbalik kepada Malaysia. Jangan anggap imej Islam Umno adalah ancaman
buat PAS. Sebaliknya jadikan sebagai cabaran untuk kita lebih mara
kehadapan. Apa yang perlu PAS lakukan sekarang adalah memperkuatkan lagi
usaha menyebarkan Islam. Ambil peluang daripada ruang yang dibuka untuk
masuk menerangkan Islam secara lebih mendalam.

Kalaupun mahu
bersaing, bersainglah secara sihat. Bersaing untuk memberi kefahaman
Islam dengan benar dan jelas, bukan bersaing untuk meramaikan audiens
semata-mata. Bersaing untuk meneroka setiap ruang dakwah yang ada, bukan
bersaing untuk berebut sokongan sahaja. Jangan bersaing sehingga wujud
perpecahan sesama Islam.

JANGAN BERPALING KE BELAKANG

Apa yang dibimbangi, kita mengatur gerakerja dalam keadaan mengabaikan
trend semasa rakyat ini. Kita ghairah mencari publisiti dan populariti,
tetapi tidak melakukan kajian terperinci kecenderungan rakyat.
Menyebabkan kita melakukan tindakan yang dirasakan popular, tetapi
sebenarnya tidak.

Tidak salah mengambil pendekatan dakwah
popular. Tetapi pastikan ia benar-benar popular dan mampu mencapai
sasaran. Buat kajian sebaiknya. Jangan main hentam kromo. Politik
rasional dan profesional juga salah satu kriteria BPMS.

Jangan
bimbang. Kita akan terus kekal relevan jika konsisten dengan imej yang
fundamental. Orang tahu sejak awal keberadaan PAS di arena politik,
perjuangan dan agenda kita adalah Islam. Walaupun trend rakyat pasca
kemerdekaan masih pekat dengan pemikiran sekular, PAS tidak pernah
meninggalkan Islam.

Bahkan tidak keterlaluan jika kita nyatakan
PAS menyumbang besar kepada perubahan trend semasa rakyat sekarang.
Tanpa PAS, mungkin kesedaran Islam tidak ditahap sekarang.

Justeru jika kita kekal dengan imej fundamental, ia akan menguntungkan kita!

PERSEPSI

Umno sekarang sedang memainkan persepsi, tiada keperluan untuk mereka
beralih dari Umno kepada PAS kerana Umno sama seperti PAS sahaja
sekarang. Ujar mereka, PAS perjuangkan Islam, Umno pun ada Islam!

Walaupun kenyataan ini agak melucukan bagi yang bergelumang lama dalam
kancah politik, tetapi hasil pemerhatian yang dibuat, ramai juga yang
terpengaruh. Kerana hakikatnya majoriti rakyat Malaysia tidak
bergelumang dengan politik.

Jangan sampai orang tertukar antara
PAS dan Umno sudahlah. Kerana sudah ada ura-ura tidak enak kedengaran di
kalangan rakyat, Umno dulu adalah PAS sekarang dan Umno sekarang adalah
PAS dulu. Walaupun amat jauh dari realiti, tetapi persepsi ini sangat
mudah mendoktrinasi rakyat awam jika kita tidak berhati-hati. Media
utama negara didominasi oleh pesaing politik kita.

Kesimpulannya,
teguhlah dengan ketulenan perjuangan, bijaklah dalam berpolitik, dan
paling penting, jujurlah kepada rakyat. Inilah matlamat utama BPMS yang
digagaskan Presiden kita.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons