February 18, 2018
You can use WP menu builder to build menus


DETIK DAILY

 
Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN

SAYA tidak berhasrat untuk membalas pertikaian mengenai tulisan terbaru
Presiden PAS soal calon PM. Beliau berpandangan sikap itu tidak selari
dengan prinsip politik Islam berasaskan ijtihad, berpandukan dialog
Baginda Nabi S.A.W dengan Bani Amir sebelum peristiwa hijrah.

Cuma suka untuk saya bawakan dari naratif prinsip dan sikap dalam menguruskan perbezaan ijtihad. Juga sudut pandang politik.

Ijtihad Politik

Perkara bersifat ijtihadi sepatutnya tidak perlu dipertikaikan apatah
lagi dikecam. Sebaliknya ia perlu dihormati walaupun kita berbeza
pandangan. Sikap terbuka dan meraikan pendapat perlu diamalkan.

Kita nyatakan pandangan kita dan kalian nyatakan pandangan kalian. Kemudian bincang secara ilmiah tanpa ayat-ayat provokatif.

Tidak setuju dengan pandangan Presiden PAS bukan menjadi satu masalah
bagi pihak lain. Yang menjadi salah adalah mengatakan pandangan kita
adalah absolute truth, dan pihak lain absolute wrong. Ini jelas
menyimpang dari prinsip ijtihad.

Apatah lagi menuduh orang yang berijtihad sebagai mempergunakan agama
demi menghalalkan tindakan. Ia juga menggambarkan sikap tidak terbuka
dalam berkhilaf. Sememangnya berijtihad perlu menggunakan agama, kerana
agama sahaja yang mengajar disiplin ini. Ia tidak ada dalam disiplin
ilmu geografi apatah lagi ilmu perbidanan.

Kelayakan berijtihad

Tuan Guru Presiden PAS bukan sekadar alim dalam ilmu sejarah dan feqah,
malah beliau juga mahir dalam ilmu siasah dan menjadi tempat rujuk
berbagai gerakan Islam lain di dunia. Beliau sendiri terlibat di bidang
politik sebagai pemimpin parti dan pernah mengetuai kerajaan. Lebih jauh
dari itu, beliau turut terlibat secara langsung dalam politik
antarabangsa sudah puluhan tahun. Sudah tentu segala pandangan beliau
tidak mengambil kira literal nas semata-mata, bahkan memahaminya
berdasarkan real politics.

Justeru bagi saya, ijtihad beliau lebih pantas untuk dipersetujui
berbanding pihak lain yang hanya melihat isu politik dari jauh dan tidak
faham selok terajang apatah lagi tidak bergelumang dengan liku-liku
perjuangan politk. Pihak lain bebas berijtihad di kerusi empuk dalam
bilik berhawa dingin, tetapi ijtihad mereka yang terlibat secara
langsung lebih diyakini.

Contoh yang boleh diberikan, berkenaan ijtihad Imam Abu Hanifah
berbanding imam-imam lain dalam bab muamalat. Pandangan beliau menjadi
pilihan pakar-pakar muamalat moden kerana lebih praktikal untuk keadaan
semasa. Ini kerana beliau juga merupakan peniaga yang terlibat secara
langsung dalam bab muamalat.

Prinsip berjemaah

Bagi saya sebagai ahli jemaah, ijtihad Presiden sebagai pemimpin dalam
perkara melibatkan bidang kuasa beliau adalah wajib didokong. Pandangan
beliau mewakili pandangan jemaah. Ini prinsip berjemaah yang perlu
difahami berasaskan hadis perintah beriltizam dengan jemaah dan
pemimpinnya. Walaupun kita memiliki pandangan berbeza, kita perlu
mengenepikannya dan menyokong pandangan beliau.

Dalam isu Brexit, beberapa orang MP baik dari Parti Konservatif mahupun
Parti Buruh tidak bersetuju. Tetapi setelah referendum dicapai, semua
mereka mendokong keputusan ini di Parlimen. Apabila ditanya, mereka
menjawab bahawa walaupun berbeza pandangan, tetapi mereka berada di
Parlimen mewakili rakyat bukan mewakili diri sendiri. Nah! orang kafir
pun faham konsep ‘aqliah jamaiah’ dalam berorganisasi.

Walaubagaimanapun, ia tidaklah bermakna keputusan jemaah itu menutup
ruang perbincangan. Kita masih boleh berbincang dengan beliau secara
beradab dan mengikut saluran yang sepatutnya.

Siapa calon PM kamu?

Berbalik kepada calon PM. Walaupun ada berpandangan tidak menjadi salah
untuk menamakan calon, tetapi secara realitinya perkara tersebut tidak
membawa kebaikan apa-apa. Yang timbul hanya pertikaian yang menemui
jalan buntu. Sejak berada dalam Pakatan Rakyat lagi, PAS tidak bersetuju
membincangkan isu PM.

Kerugiannya boleh dilihat jelas hari ini. Dalam satu pakatan politik
seperti PH, masih tidak dapat menentukan siapa PM secara muktamad.
Masing-masing berebut memposisikan diri. Ada yang berpandangan Anwar
masih relevan, ada yang mengangkat bekas PM Mahathir, dan DAP pula
pernah membayangkan non-Muslim sebagai PM.

Ke mana mahu bawa isu calon PM ini? Apa untungnya kepada rakyat?

Mungkin itulah hikmahnya Nabi tidak melayan tuntutan Bani Amir, walaupun
terpaksa menggadaikan dokongan kaum tersebut terhadap Islam. Nabi
seolah sudah boleh membaca polemik yang akan tercetus.

Polemik khilafiah Mat Jenin

Siapa calon PM ibarat isu khilafiah yang perlu dihindarkan bagi mengelak
perpecahan. Perkara khilaf bukan wujud dalam kitab feqah sahaja.
Aplikasi Feqh Aulawiyat juga perlu diperluaskan ke segenap ruang
kehidupan.

Biar menang dahulu baru bincang tentang jawatan. Kalau awal-awal lagi
sudah larut dengan isu ini, ia tidak membantu ke arah kesatuan amal
menjelang PRU, bahkan boleh membawa kepada perselisihan yang merugikan
dalam pakatan. Makin menyukarkan jalan untuk menang.

Kalau pilih Anwar, penyokong Mahathir tak setuju. Kalau pilih Mahathir,
geng reformasi tak setuju. Kalau pilih Kit Siang, majoriti orang Melayu
tolak. Tak semena-mena pakatan berantakan.

Bak kata Ayah Chik suatu masa dahulu, perbincangan perkara ini hanya
ibarat angan-angan Mat Jenin. Padahnya yang dikejar tak dapat, yang
dikendong keciciran.

Barah Populisme

Dari sudut politik, tindakan menamakan calon PM hanya bersifat populis.
Oleh kerana rakyat bertanya siapa akan jadi PM, maka politikus pun
menjawab mengikut kehendak rakyat tanpa mengira apakah ianya baik atau
buruk, perlu atau tidak kepada rakyat.

Berdasarkan kriteria BPMS, PAS menentang budaya populis dalam politik.
Kerana itu fokus PAS adalah berkenaan dasar dan prinsip dalam
menguruskan negara. Siapa calon PM tidak penting kerana siapa jua yang
naik, mereka perlu menjalankan tanggungjawab berasaskan dasar dan
prinsip yang telah digariskan. Segala keputusan akan dibuat secara
kolektif dan tidak akan lari dari rangka perancangan WINS 2051.

Siapa sahaja yang naik, sama sahaja. Ini bukan zaman autokratik atau
diktator yang mana hala tuju negara ditentukan oleh individu. Justeru
dasar dan visi pemerintahan yang perlu diketengahkan kepada rakyat,
bukan siapa calon PM.

Hakikat individu

Mengetengahkan individu sebagai kempen politik adalah budaya yang tidak
kompeten dan tidak memiliki unsur sustainability. Individu adalah objek
yang sering berubah dan mudah dipengaruhi. Hari ini mereka mungkin boleh
berkata macam-macam sebelum jadi PM. Tetapi bila sudah berkuasa,
segalanya boleh berlaku. Tiada indikator yang jelas mereka akan
berpegang kepada prinsip perjuangan sampai ke akhir.

Lihat sahaja Stalin. Sebelum naik sebagai pemimpin Komunis, beliau
membawa perjuangan rakyat bawahan terutama golongan buruh. Retoriknya
adalah untuk menentang monopoli kapitalis dan membahagikan kekayaan
negara kepada rakyat secara adil. Tetapi apabila menaiki takhta, mereka
membolot harta negara dengan sangat rakus.

Lihat juga Aun San Suu Kyi. Sebelum menang, beliau memperjuangkan
demokrasi. Tetapi setelah menang, beliau menafikan hak demokrasi etnik
Rohingya. Sebelum menang beliau dianggap pejuang kebebasan. Tetapi
setelah menang, beliau begitu prejudis kepada kebebasan kaum Rohingya.

Pilihan Raya tanpa calon; Satu idea

Pencalonan PM tidak boleh disamakan dengan pencalonan wakil rakyat dalam
pilihan raya atau pemilihan parti. Kedua perkara ini merupakan tuntutan
undang-undang yang wajib dipatuhi untuk bertanding. Jika tidak
dilakukan, maka mana-mana parti politik tidak boleh diundi. Justeru ia
termasuk dalam bab kewajipan yang perlu dilakukan bagi mencapai
kewajipan sebenar, iaitu mencapai kekuasaan.

Sedangkan pencalonan PM tidak menjadi syarat dari sudut perundangan pada
peringkat ini. Justeru menyamakannya adalah sangat tersasar.

Menuju ke arah kemajuan politik, suka untuk dicadangkan satu kaedah baru
dalam pilihan raya. Pengundian berasaskan parti semata-mata tanpa
menamakan calon. Rakyat hanya menilai berasaskan dasar, idea, visi dan
manifesto parti tanpa perlu melihat kepada peribadi seseorang. Soal
siapa yang akan menjadi wakil di kawasan yang menang ditentukan sendiri
oleh parti.

Kaedah ini mirip pengundian straight-ticket yang diamalkan di beberapa
wilayah di US. Tetapi ia masih mengetengahkan calon. Idea yang saya
datangkan pula adalah berasaskan parti semata-mata, tanpa dinamakan
calon.

Ini bermakna anggota parti bertanggungjawab secara kolektif terhadap
kawasan yang dimenangi. Di dewan Parlimen atau Dun, parti boleh memilih
wakil yang dikehendaki dan boleh menukarnya.

Selain memberi kelebihan kepada parti dalam menjaga dasar dan halatuju
mereka dari digugat kepentingan individu, ia juga dapat menangani isu
lompat parti yang sering menimbulkan masalah buat negara.

Balik jadi nelayan

Ringkasnya, isu pencalonan PM tidak boleh dilihat dari sudut akademik
semata-mata. Bahkan isu-isu lain juga begitu. Ia perlu dipandang secara
holistik. Walaupun aspek akademik juga penting, tetapi ia hanyalah
sebahagian dari proses penentuan tindakan. Banyak lagi yang perlu
diteliti dan dijadikan pertimbangan.

Sebagai penutup, suka untuk saya bawakan pendirian Presiden PAS sewaktu
dalam Pakatan Rakyat dahulu berhubung siapa bakal menjadi PM. Jawab
beliau kepada wartawan,

“Terserah kepada keputusan perbincangan lepas menang nanti, siapa yang
akan jadi PM. Kalau dah ada orang yang sanggup dan boleh jadi PM, saya
balik jadi nelayan pun tak apa.”

Apapun, ia satu perbincangan yang baik ke arah kematangan berpolitik. Semoga lontaran ini memberi manfaat.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons