February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Datuk Seri Najib Razak perlu menyerahkan jawatan kepada timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelang pilihan raya umum (PRU) susulan pembongkaran pindah milik tanah Felda di Kuala Lumpur, kata seorang veteran PAS.

“Biar TPM Zahid Hamidi teruskan pimpinan menghadapi PRU. Sekalian Melayu/Islam dan Malaysia sudah penat dengan politik kacau bilau PM Najib dan tipuan demi tipuan, skandal demi skandal,” tulis bekas pemimpin kanan PAS, Subky Latif dalam portal rasmi parti itu, Harakahdaily.

Menurutnya, “timbunan skandal” sekarang merupakan alasan Umno untuk menggantikan Najib bagi menghadapi Pakatan Harapan yang dipengerusikan seteru kuatnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tengok dulu apa Zahid boleh buat bagi menyelesaikan kecurian tanah Felda dan hadapi Dr Mahathir dalam PRU14,” kata Subky, yang pernah menjadi ketua Pemuda dan pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, di samping pengasas akhbar rasmi parti, Harakah.

Minggu lalu, polis berkata pasukan khas sedang menyiasat kes Felda kehilangan hak ke atas tanahnya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, yang dipercayai mempunyai nilai pasaran beratus juta ringgit.

Ia susulan laporan Berita Harian yang Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik bernilai RM270 juta itu, susulan urusan pindah milik tanah yang mencurigakan pada 2015.

Menurut akhbar itu, sebuah lot tanah seluas 16 hektar menempatkan ibu pejabat lama Felda, Anjung Felda dan Wisma Felda, kini ditukar nama kepada syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama itu pada 21 Julai 2016.

Subky berkata Najib selaku “pegawai besar paling berkuasa” dalam Felda tidak mungkin tidak tahu mengenai transaksi itu.

“Sebagai pemimpin berwibawa, perdana menteri dibekalkan dengan semua maklumat dan nasihat oleh sekalian pegawainya. Maka tiada sesuatu dirahsiakan kepadanya.

“Jika mungkin PM ditipu seperti pencurian dalam 1MDB, maka amat rendah wibawanya unuk menjadi perdana menteri dan hilang kelayakan menjadi Raja Felda,” tulisnya.

Subky berkata sama ada Najib terlibat atau tidak, dia tidak terlepas daripada akauntabiliti mengenai skandal terkini Felda itu.

Menurutnya, adalah normal di negara lain skandal seperti itu disusuli dengan peletakan jawatan .

“Willy Brandt, canselor kafir Jerman Barat tahun 1970, meletak jawatan kerana skandal seorang menterinya. Bukan salahnya. Demi menjaga maruah politik, dia letak jawatan.

“Malulah Melayu/Islam tidak peka dengan maruah politik. Orang kafir pekakan maruah, orang Islam persetankan maruah,” tulis Subky. -FMT



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons