February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Bekas pemimpin PKR Ezam Mohd Nor dilaporkan bakal bertanding di peringkat Parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Menurut laman The Malaysian Insight, Ezam akan bertanding mewakili NGO yang dipengerusikannya iaitu Hisbah Centre for Reform (Hisbah).

“Lembaga telah meminta Ezam menamatkan khidmat beliau di Hisbah
Cabang Jakarta dan tugas pengajian di beberapa universiti di Yogyakarta
dan Surakarta serta merta dan kembali menumpukan usaha sepenuhnya di
Malaysia mulai Januari 2018,” kata Timbalan Pengerusi Hisbah Syed
Nazarudin Syed Aziz seperti dipetik.

Katanya lagi, Ezam akan menumpukan isu rasuah dan salah guna kuasa
dalam kempennya dan akan membawa isu rasuah dari sudut Islam di Dewan
Rakyat jika menang, selaras dengan bidang tumpuan Hisbah.

Ezam yang keluar PKR pada 2007 kembali kepada Umno setahun kemudian, namun keluar pada 2016 berikutan isu 1MDB.

Beliau kemudian memohon untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (BERSATU) pada Oktober 2016 namun keluar dua bulan kemudian
atas sebab mahu menumpukan perhatian kepada Hisbah.

Pada Mac lalu, beliau mengumumkan penubuhan ‘Parti Bebas Rasuah’ –
usaha penjenamaan semula Parti Generasi Baru – dan akan berdepan dengan
Datuk Seri Najib Razak di mana sahaja perdana menteri itu bertanding.

Namun beliau meninggalkan parti itu beberapa bulan kemudian atas
sebab kelewatan Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) meluluskan penukaran
nama Parti Generasi Baru kepada Parti Bebas Rasuah.

Dalam pada itu, Syed Nazarudin tidak menolak Ezam akan bertanding di kerusi Parlimen Pekan yang dipegang Najib.

“Ia diwakili anggota parlimen yang mengetuai kerajaan yang membenarkan dan mempraktikkan al-ghulul (salah guna jawatan) dalam skala kecurian terbesar di dunia.

“Namun Hisbah mengambil maklum unsur penipuan ketara dalam pola
pengundi di Parlimen Pekan di mana peningkatan pengundi mendadak lebih
seratus peratus daripada kurang 40,000 pengundi kepada lebih 80,000
pengundi,” katanya seperti dipetik.

Justeru, katanya lagi, NGO itu kini sedang menimbang kawasan Parlimen
lain yang sesuai, dengan syarat utamnya adalah kawasan bandar dan
kerusi majoriti Melayu.

Katanya lagi, ini kerana Hisbah mahu meningkatkan kesedaran terhadap
soal rasuah di kalangan orang Melayu beragama Islam dan kawasan bandar
boleh menjadi permulaan strategik bagi pengembangan usaha menentang
gejala itu.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons