February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Oleh

Awang Azman Awang Pawi

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang membenarkan permohonan
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi
membawa kepada lembaran baru kepada suruhanjaya itu dalam usaha
mengendalikan inkuiri tempatan bagi cadangan proses persempadanan semula
kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di
Selangor.

Ini akan jadi titik tolak ke arah penentuan tarikh pilihan raya umum.

Sebelum ini Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mewakili
kerajaan negeri membuat permohonan semakan kehakiman untuk mencabar
cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di
negeri Selangor atas cadangan yang dikemukakan oleh SPR.

Mahkamah membenarkan penangguhan keputusan tersebut, sekali gus
menghalang atau menggantung SPR daripada melakukan inkuiri tempatan
kawasan parlimen dan DUN terhadap aduan pemilih di Selangor. Tindakan
ini berkuatkuasa sehinggalah keputusan rayuan bakal diputuskan oleh
Mahkamah Rayuan.

Namun keputusan rayuan terkini ini memihak kepada SPR yang
berpendapat bahawa kesan perintah penggantungan akan menghalangnya
daripada menjalankan fungsinya, seperti termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan untuk pihak legislatif dan fungsi legislatif tidak boleh
dicabar di mahkamah. Dijangka keputusan ini juga mempengaruhi
persempadanan semula di negeri-negeri lain.

Implikasi politik dan PRU

Berdasarkan situasi ini, terdapat desas-desus bahawa Pilihan Raya
Umum ke-14 dijangka akan berlaku selepas urusan proses persempadanan
semula selesai. Dalam konteks SPR pula, usaha mengendalikan inkuiri
tempatan bagi cadangan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya
parlimen dan DUN di Selangor akan terlaksana dengan jayanya.

Bagi memastikan proses persempadanan semula dijayakan mengikut
lunas-lunas undang-undang, maka dijangka satu persidangan khas parlimen
akan diadakan dalam masa terdekat seawal-awalnya pada bulan Januari
2018. Perkiraan ini dibuat dengan mengambil kira bahawa keputusan rayuan
yang sudah dimuktamadkan dan rayuan ini berpihak kepada SPR.

Terdapat dua pandangan mengenai proses persempadanan semula. Yang
pertama ia perlu dibawa dan dibahaskan dan diluluskan di peringkat
parlimen sebelum diwartakan. Dengan demikian, tempoh ini akan mengambil
masa sekurang-kurangnya 3 bulan untuk diwartakan sebelum dikuatkuasakan.
Hal ini bermakna pilihan raya negeri akan diadakan pada April atau awal
Mei 2018.

Namun terdapat juga pandangan bahawa proses ini hanya perlu kelulusan
jawatankuasa kerja parlimen dan tidak perlu diwartakan kerana ini bukan
undang-undang. Sekiranya pandangan ini digunakan maka, pilihan raya
umum mungkin dapat diadakan seawalnya pada bulan Mac 2018.

Pro dan Kontra

Persempadanan semula perlu dilihat juga daripada perspektif proses
dan amalan biasa dalam demokrasi yang mencerminkan perubahan populasi,
penyusunan semula kawasan dan pembangunan setempat yang dikendalikan
oleh badan bebas SPR.

Proses ini dilakukan dalam tempoh 8-10 tahun sekali yang melibatkan
sejumlah pengundi dalam memastikan pentadbiran daerah dan kawasan dapat
lebih sistematik dan licin susun tadbir.

Apabila persempadanan dilakukan ia dapat memastikan perkhidmatan yang
lebih efisien. Ia perlu dilihat sebagai proses telus, berintergriti dan
berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai
implikasi yang jauh dari segi pola mengundi semata-mata.

Terdapat juga persepsi dan kebimbangan wujudnya manipulasi atau
gerimander dan pembahagian yang mungkin tidak saksama
(malapportionment). Namun ini tidak semestinya membawa kepada kelebihan
atau kekurangan dan ini bergantung kepada sentimen pengundi yang di luar
jangka meskipun tanggapan umum sebaliknya.

Perpindahan kawasan pengundi misalnya boleh mendatangkan rasa
ketidakpuasan hati sekiranya ditukar tempat saluran mengundi tanpa
pengetahuan atau restu pengundi sendiri.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tajuddin Abdul
Rahman, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno misalnya menolak cadangan
persempadanan semula SPR di Parlimen Pasir Salak. Beliau mendakwa
persempadanan semula itu akan menjejaskan sokongan pengundi terhadap
Umno.
Beliau membantah apabila terdapat cadangan mengeluarkan 5,000
pengundi dari kawasan Parlimen Pasir Salak untuk dipindahkan ke Teluk
Intan dan berpendapat faktor pertambahan penduduk tidak mewajarkan
pemindahan 5,000 pengundi di Parlimen Pasir Salak.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua turut mendedahkan terdapat
pertambahan tinggi pengundi di kawasannya di Petaling Jaya Utara, yang
didakwa meningkat 76.2% dan ini akan menjadikan jumlah sekitar 150,439
pengundi. Malah kawasannya akan dinamakan semula sebagai Damansara.

Parti Gerakan pula berpendapat persempadanan semula kawasan pilihan
raya oleh SPR menjejaskan kerusi Parlimen dan DUN yang bakal ditandingi
parti itu. Hal ini kerana latihan simulasi sudah di buat dengan jayanya
di beberapa DUN dan Parlimen namun persempadanan semula itu tidak
memberi kelebihan kepada Gerakan khususnya untuk menghadapi pilihan raya
umum akan datang.

Apapun, proses persempadanan semula perlu meminimakan pemisahan
pengundi dalam sempadan dan garisan etnik, walaupun sukar untuk
dielakkan realiti jumlah etnik majoriti yang ada di Malaysia.

Apabila persempadanan semula yang akhirnya perbatasan lebih
berdasarkan etnik akan dikhuatiri  mewujudkan pola perkauman yang akan
terus berlangsung. Lebih-lebih lagi pola pengundian lebih didominasikan
oleh orientasi politik etnik yang menjadi asas kepada pembentukan
politik negara.

Kawasan yang lebih pelbagai etnik diyakini untuk melakukan meraikan
kepelbagaian dalam penyatuan meskipun tidak ada undang-undang yang
menetapkan etnik tertentu dalam kawasan DUN atau parlimen dalam proses
persempadanan semula.

Persempadanan semula ini perlu dilakukan namun perlu melihat pelbagai
faktor dalam konteks pembinaan sebuah negara bangsa dan bangsa idaman.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang
percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam
adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga
menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya
politik dan budaya masyarakat.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons