February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Bukan lagi satu rahsia bilamana PKR sangat berhajat untuk menguasai Kedah buat kali pertama pada PRU akan datang. Walaupun PKR sekarang ini dilihat seperti menguasai Selangor, hakikatnya Selangor terpaksa dikongsi oleh PKR bersama-sama dengan PAS dan DAP. Dan walaupun PKR perlu akur dengan arahan serta perintah DAP agar memutuskan hubungan dengan PAS, PKR tidak mampu berbuat begitu kerana jikalau PAS keluar dari Pakatan di Selangor, bermakna PKR akan kehilangan segala-galanya.

Dalam keadaan sekarang, terutama apabila PRU semakin hampir, PKR tidak boleh sama sekali kehilangan Selangor. Lebih-lebih lagi apabila pelbagai pendedahan tentang penyelewengan dan skandal di Selangor membabitkan wang Kerajaan Negeri serta tanah sehingga membuatkan Azmin Ali tidak senang duduk.

Sebab itulah, PKR tetap terpaksa menerima PAS di Selangor meskipun pada masa yang sama, terus menerima desakan daripada DAP.

Disebabkan itulah, PKR mahu menguasai Kedah secara total, sepertimana DAP menguasai Pulau Pinang.

Walaupun pada masa yang sama, PKR tahu Kedah juga diintai oleh PPBM menerusi usaha-usaha Mukhriz Mahathir yang mahu kembali menjadi Menteri Besar Kedah, selain PAN yang mempunyai ‘dendam peribadi’ terhadap PAS di Kedah, manakala DAP pula mahu menambahkan kerusi yang akan ditandingi pada PRU akan datang, PKR sudah mula menggerakkan usaha untuk mencapai matlamat mereka.

Kerusi-kerusi DUN di Kedah Selatan menjadi sasaran utama. Padang Serai, Kulim-Bandar Bahru, Sungai Petani dan Merbok, setidak-tidaknya menjadi pemangkin kepada usaha PKR. Begitu juga beberapa DUN di bahagian utara termasuklah Pokok Sena, Kubang Pasu dan Jitra, turut dirasakan berpotensi untuk PKR.

Pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Harapan masih belum dibuat dan diputuskan. Namun itu bukanlah satu halangan untuk cita-cita besar. Pakatan Harapan pastinya akan menemui formula terbaik dalam tempoh singkat untuk menyelesaikan masalah tersebut, lebih-lebih lagi Pakatan yang diketuai oleh DAP akan hanya mengutamakan kepentingan DAP sahaja, manakala parti-parti lain perlu menurut kata-kata DAP, termasuklah di Kedah. Doktrin, ‘Tumbangkan UMNO-BN Dengan Apa Cara Sekalipun’, pasti akan digunakan sekali lagi.

Jadi, Pakatan Harapan akan mempamerkan kerjasama yang padu sehinggalah PRU-14. Kalau ada pun pergaduhan atau pertikaian, akan hanya berlaku selepas itu. Dan berbanding PAN serta PPBM, DAP lebih berpihak kepada PKR walaupun PKR mungkin akan mencuri ahli, pemimpin mahupun kawasan DAP untuk menang memandangkan kecenderungan PKR untuk meletakkan calon seramai-ramainya di DUN Kedah, sama seperti yang mereka lakukan dalam PRN Sarawak dan di negeri-negeri lain.

Tidak boleh dinafikan, besar kemungkinan taktik dan usaha PKR serta Pakatan di Kedah akan lebih berjaya pada PRU-14 kali ini. Sebabnya, PAS dan UMNO, dua buah parti tradisi yang biasanya saling berlawan antara satu sama lain, sedang berhadapan dengan beberapa masalah tersendiri.

PAS dilihat kehilangan ramai tokoh-tokoh pemimpin dan calon-calon tempatan sama ada kepada PAN, PASMA mahupun kepada PPBM. Pertelingkahan dalaman PAS Kedah terutama terhadap bekas Setpol MB Kedah pada zaman Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, Sanusi Mohd Nor memuncak. Ramai pemimpin PAS Kedah yang tidak berpuas hati dengan Sanusi. Biarpun tidak meluahkan perasaan mereka secara terang-terangan tetapi fenomena, ‘pakai baju hijau tetapi perangai oren’, semakin berleluasa di Kedah.

Manakala UMNO-BN yang berjaya merampas Kedah dari tangan PAS pada PRU-13 lalu, berhadapan dengan fenomena pemimpin-pemimpin dan calon-calon tua selain beberapa orang ADUN sedia ada yang dilihat gagal menjalankan tugas mereka dengan berkesan di kawasan masing-masing. Setakat ini, belum ada muka-muka baru yang ditampilkan oleh UMNO-BN sebagai pelapis meskipun beberapa nama seringkali disebut-sebut dan ‘diperkenalkan’ menerusi media namun tidak mempunyai atau mencetuskan sebarang faktor ‘WOW’.

Walaupun UMNO-BN Kedah berkeyakinan besar akan mempertahankan kedudukan mereka di negeri itu, namun keadaan di Kedah sebenarnya amat terbuka. Seandainya PKR, DAP, PAN dan PPBM berjaya menyelesaikan atau merundingkan masalah mereka secara lebih teratur, tidak mustahil, PAS dan UMNO-BN akan kembali menjadi pembangkang di negeri Kedah pada PRU-14 nanti.

Dalam tempoh yang amat singkat sebelum PRU-14 diumumkan, sudah tidak banyak yang mampu dilakukan kecuali kempen dan propaganda secara berterusan. Sesuatu yang penting yang perlu dilihat dan diperhalusi ialah sikap para pengundi yang sudah banyak berubah berbanding 10 PRU yang lepas. Kempen dan propaganda semata-mata, sudah tidak laku lagi kerana para pengundi akan turut menilai prestasi wakil-wakil rakyat yang mewakili parti masing-masing di kawasan mereka. Mana-mana parti politik yang mengambil mudah serta bersikap terlalu selesa, pasti akan menempah masalah!!!



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons