February 20, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KUALA LUMPUR 27 Dis. – Cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya pengasingan kelas berdasarkan tahap penguasaan akademik murid dihentikan sepenuhnya bermula tahun 2019 tepat pada masanya dan keberhasilannya bergantung kepada kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka terutama yang memasuki tahun satu di seluruh negara sudah mempunyai asas membaca, mengira dan menulis (3M).

“Jika anak-anak mereka mempunyai asas 3M ini, sememangnya tidak perlu mengasingkan murid dari tahun satu sehingga tahun enam.

“Mempunyai asas 3M ini dapat memudahkan guru untuk memberi tumpuan pengajaran sama rata kepada semua murid,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pengumuman Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin mengenai tidak perlu mengasingkan kelas berdasarkan keputusan peperiksaan murid bermula 2019.

Raduan berkata, mungkin ada pihak yang mendakwa kementerian hendak meniru sesetengah negara luar yang tidak mengamalkan pengasingan kelas seperti Finland, namun pengasingan murid bagi sesetengah sekolah masih diperlukan.

“Mungkin kita perlukan satu kelas sahaja untuk diasingkan iaitu untuk murid yang langsung tidak boleh membaca dan tidak kenal nombor iaitu murid linus tegar,” katanya.

Menurutnya, tindakan tersebut tidak meniru sesiapa malah pengasingan kelas bukanlah satu arahan bertulis sebelum ini.

“Kita hanya perlu kembali semula untuk tidak mengasing murid, namun satu kajian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan kaedah ini benar-benar berjaya dilaksanakan, sesuai dengan perkembangan semasa dan murid hari ini sangat berbeza berbanding dahulu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Datuk Mohamed Sabri Mohd. Arshad berkata, pihak sekolah perlu memastikan setiap kelas hanya mempunyai murid kurang 35 orang bagi memastikan kejayaan kaedah tanpa pengasingan murid ini.

“Semakin kurang adalah lebih baik lagi kerana melebihi 35 murid sememangnya akan menyukarkan guru walaupun mereka sangat mahir mengajar.

“Kalau terlalu ramai dalam sesebuah kelas lazimnya menyebabkan mudahnya berlaku masalah disiplin kerana pasti ada murid terlepas mendapat tumpuan guru kerana terlalu ramai.

“Jadi jika sesebuah sekolah dapat mengurangkan murid dalam sesebuah kelas maka sekolah itu sebenarnya bersedia untuk meninggalkan sistem pengasingan murid ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak berkata, kemahiran guru perlu dipertingkatkan sekiranya cadangan tiada pengasingan kelas dilaksanakan bermula tahun 2019 bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran di dalam kelas.

“Hal ini kerana ketiadaan pengasingan kelas memerlukan seseorang guru itu berkemahiran tinggi mengendalikan murid daripada pelbagai kategori.

“Guru harus pandai mengawal keadaan kelas yang mengandungi murid berbeza kebolehan supaya mereka selesa ketika sesi pembelajaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons