February 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Beberapa portal berita seperti Malaysiakini melaporkan Biro Politik PKR dalam mesyuarat mereka bersetuju untuk mengangkat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara dengan Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri menerusi beberapa syarat sekiranya Pakatan memenangi PRU-14.

Antara syarat-syaratnya ialah, Mahathir mesti berjanji jawatan Perdana Menteri yang disandangnya hanyalah jawatan sementara. Dia wajib membebaskan Anwar Ibrahim dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim dalam tempoh 6 sehingga 12 bulan selepas pembebasannya.

Anwar Ibrahim sedang menjalani hukuman penjara selama 5 tahun atas jenayah liwat. Ketua Umum PKR itu dijangka dibebaskan pada penghujung 2018.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Perkara 48 Fasal 6, seseorang yang melepaskan keahliannya dalam Dewan Rakyat, hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Parlimen selama 5 tahun.

Dalam kes Anwar Ibrahim, dia tertakluk kepada Perkara 48 Fasal 1 (e) yang menyebabkan dia terpaksa melepaskan keahliannya di Dewan Rakyat dan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen kerana telah disabitkan dengan jenayah oleh mahkamah dan telah dihukum penjara lebih setahun.

Tidak dapat dinafikan, PKR sebenarnya sedang dalam keadaan yang sangat terdesak untuk sekurang-kurangnya mengekalkan penguasaan mereka ke atas kerusi-kerusi Parlimen dan DUN pada PRU-13 lalu. Berbanding PRU-13, PKR pada PRU kali ini kelihatan tidak mempunyai arah tujuan. Ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan dan kebergantungan PKR kepada DAP adalah antara punca utamanya.

Walaupun PKR ditubuhkan kerana kebencian terhadap Mahathir tetapi untuk berhadapan dengan Najib Abdul Razak dan bagi merealisasikan cita-cita mereka untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, PKR terpaksa melupakan asas kewujudan dan prinsip mereka sendiri.

Sama ada benar atau tidak keputusan Biro Politik PKR bersetuju untuk mengangkat Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri atas restu Anwar Ibrahim, itu tidak penting lagi. Ia tidak mengubah apa-apa pun kerana selepas dibebaskan, Anwar Ibrahim tetap tidak boleh dilantik sebagai Perdana Menteri atau Menteri mahupun sebagai Ahli Parlimen kerana ‘perintah berkurung’ lima tahunnya.

Tempoh 6 sehingga 12 bulan yang diberikan kepada Mahathir adalah tempoh mimpi PKR yang menunjukkan kecenderungan mereka untuk menyalahgunakan undang-undang di negara ini bagi kepentingan peribadi walaupun pada masa yang sama, mereka seringkali bercakap tentang sistem perundangan dan mahkamah Malaysia yang kononnya telah dicemari dengan rasuah serta penyelewengan.

Persoalan yang menarik kini ialah sikap para penyokong Mahathir sendiri. Adakah mereka sanggup melihat tokoh pujaan mereka diperbudak-budakkan oleh PKR sedangkan hakikatnya, Mahathir yang telah melantik Anwar Ibrahim bahkan membawa masuk Anwar Ibrahim, mempermudahkan Ketua Umum PKR itu memperolehi pelbagai jawatan penting dan tinggi dalam Kabinet dan kerajaan tanpa memiliki latar belakang akademik dan pengalaman, bahkan mempercepatkan kedudukan Anwar Ibrahim berbanding pemimpin-pemimpin lain yang lebih kanan.

Apatah lagi, tidak ada istilah PERDANA MENTERI SEMENTARA dalam politik Malaysia meskipun ketika negara ditadbir dan diuruskan oleh MAGERAN pada tahun 1969 dahulu. Jawatan Perdana Menteri adalah konsensus daripada parti-parti atau ahli-ahli Parlimen yang membentuk pakatan atau kelompok majoriti di Dewan Rakyat.

Ada benarnya seperti yang dikatakan oleh page Penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Dah jadi Perdana Menteri, bermakna Perdana Menterilah, tidak ada istilah sementara-sementara lagi. Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri telah lama tidak relevan selepas REFORMASI dan LANGKAH KAJANG menemui ajalnya. Untuk Anwar Ibrahim kembali meraih cita-cita sebagai Perdana Menteri, hanyalah menerusi apa yang dilakukannya sebelum itu iaitu berjuang memenangi kerusi majoriti di Parlimen.

Masalahnya, PKR tanpa PAS hanyalah sebuah parti kecil. PKR tanpa DAP, hanyalah sebuah parti picisan sehinggakan Setiausaha Agung PKR sendiri pun terpaksa makan gaji dan menerima arahan daripada Lim Guan Eng!!!



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons