January 17, 2018
You can use WP menu builder to build menus


DETIK DAILY

 
Oleh Zin Mahmud

 Menjelang pilihan raya umum ke-14 tahun depan, maka disebarkan
ingatan kemungkinan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang akan menjadi
perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang.

Sudah tentu Kit Siang, DAP dan PH menafikannya dengan memandang
ingatan seperti itu bertujuan untuk menakutkan pengundi, khususnya di
kalangan Melayu.

Adalah jelas ia bertujuan untuk mempermainkan sentimen perkauman.
Maknanya orang Melayu ditakutkan dengan keadaan kalau-kalau akan berlaku
kepimpinan oleh kaum Cina di Malaysia.

Sedangkan PH sentiasa menghujahkan bahawa bilangan kawasan yang
ditandingi oleh DAP kelak, iaitu yang bermajoriti orang Cina adalah
terlalu sedikit untuk membolehkan mana-mana pemimpin parti itu untuk
disokong menjadi Perdana Menteri. Tetapi hujah ini tidak dipedulikan
kerana mereka membayangkan bahawa di belakang PH adalah DAP.

Dari segi pertimbangan umum (common sense), andai kata PH menang,
malah sesiapa saja pun, tidak berlaku pelantikan bukan Melayu sebagai
perdana menteri. Majoriti Melayu dirasakan tidak akan menerima keadaan
demikian.

Maka tidak akan ada parti di negara ini, terutama parti yang dipimpin
dan anggotanya majoriti orang Melayu, yang akan menyokong seorang bukan
Melayu sebagai perdana menteri.

Lebih-lebih lagi 3/4 anggota PH dipimpin oleh Melayu dan majoriti
ahlinya juga orang Melayu. Malah, salah sebuah parti PH iaitu PPBM
dianggotai oleh orang Melayu di samping perjuangannya jelas untuk orang
Melayu atas nama pribumi.

Ketiga-tiga parti pimpinan Melayu itu juga mmpunyai asal-usul parti
Melayu. PPBM dan PKR dianggotai oleh bekas ahli Umno. Amanah merupakan
parti yang ditubuhkan bekas ahli PAS. Ditambah pula PKR juga merupakan
hasil gabungan daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM), yang juga merupakan
parti pimpinan Melayu.

Namun begitu, Amanah dan PPBM adalah parti baharu dan kecil. PKR juga
masih boleh dikira baharu dan keanggotaan ahlinya tidaklah sebesar Umno
atau PAS, 2 parti besar Melayu yang menentang PH.

DAP pula lebih lama wujud daripada ketiga-tiga rakannya dalam PH.
Bagaimanapun ia bukan merupakan parti massa seperti MCA. Adalah
dipercayai keanggotaan ahli MCA lebih besar dan luas daripada DAP.
Tetapi DAP sebagai parti perkaderan lebih bergantung pada sokongan
pengundi daripada bilangan ahli.

Namun, Lim dianggap sebagai pemimpin paling senior dalam masyarakat
Cina. Tetapi dalam Malaysia, pemimpin paling senior ialah Tun Dr
Mahathir Mohamad, dan bukannya Lim.

Malah, Majlis Presiden PH telah juga dikeluarkan cadangan bahawa yang
akan menjadi perdana menteri jika gabungan pembangkang menang ialah Dr
Mahathir, walaupun untuk sementara.

Beliau bukan saja menjadi pengerusi PH, tetapi Lim juga tidak
memegang sebarang jawatan dalam gabungan pembangkang itu. Dalam DAP
sendiri, ketuanya ialah Lim Guan Eng melalui jawatan setiausaha agung.
Lim hanya memegang jawatan Ketua Parlimen DAP. Kalau seorang perdana
menteri dari DAP hendak dipilih, maka Guan Eng adalah calonnya, bukan
bapanya.

Sememangnya dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan
Malaysia, seorang perdana menteri dipilih daripada ahli Parlimen yang
disokong oleh majoriti ahli Dewan Rakyat, tidak kiralah kaum apa dan
sama ada partinya mempunyai majoriti atau tidak.

Sesiapapun ahli parlimen yang disokong oleh majoriti ahli Dewan
Rakyat berpeluang menjadi perdana menteri, tidak kira kaumnya atau besar
mana kerusi yang dimilikinya. Kalau dari segi ini, Kit Siang berpeluang
menjadi perdana menteri sekiranya majoriti menyokongnya.

Tetapi pada realiti dan sejarahnya, parti yang memiliki majoriti
kerusi dalam Dewan Rakyat akan menjadi perdana menteri. Secara
konsisten, sejak kemerdekaan, perdana menteri negara ini dipegang oleh
pemimpin Umno.

Lumrah kaum utama jadi PM

Orang yang menjadi pemimpin utama negara pun adalah orang Melayu
walaupun tiada peruntukan untuk itu dalam Perlembagaan Persekutuan. Di
mana-mana pun di dunia, kecenderongan untuk memilih ketua eksekutif
negara daripada kaum majoriti adalah suatu yang lumrah.

Sudah tentu perdana menteri di Singapura adalah dari kalangan kaum
Cina. Di Indonesia, presidennya adalah dari kalangan Jawa. Seperti mana
perdana menteri Britain, Australia dan Kanada adalah dari kalangan
golongan kulit putih.

Dalam parti politik pun, walaupun DAP, PKR dan Amanah mempunyai ahli
berbilang kaum, tidaklah sesiapa terfikir bahawa DAP dipimpin oleh orang
Melayu sementara PKR dan Amanah dipimpin oleh seorang Cina.

Dalam demokrasi seharusnya kriteria pemimpin bukanlah menurut kaum
atau anutan agamanya, tetapi kemampuannya untuk mengurus negara dengan
memberi kebajikan kepada rakyat, khususnya golongan susah. Namun,
walaupun pendirian perkauman sudah ditolak dalam amalan berpolitik zaman
moden tetapi sentimen perkauman adalah suatu realiti yang wajar
dipantau dan dibendung bagi memelihara keharmonian negara.

Di Malaysia, keadaannya adalah lebih sensitif, terutamanya di
Semenanjung Malaysia yang merupakan wilayah teras negara. Sejarah
penjajahan British ke atas Semenanjung Malaysia menjadikan negara ini
berbilang kaum dan agama dengan isu perbezaan kedudukan ekonomi
dicorakkan menurut kaum.

Akibatnya terdapat perasaan tidak selamat atau insecurity sentiasa
berlaku di kalangan 3 kaum terbesar negara. Orang Melayu yang menguasai
politik negara sebelum penjajahan British bimbang kehilangan kedaulatan
ke atas negeri-negeri mereka, dan seterusnya dipinggirkan sementara
orang Cina juga takut mereka akan kehilangan tempat tinggal dan peluang
untuk menyara hidup. Begitu juga dengan kaum India yang berasa tersepit
dengan dominasi politik Melayu dan dominasi ekonomi Cina.

Maka keseluruhan perkembangan politik Malaysia berkisar dalam soal
ini, baik semasa perjuangan kemerdekaan, melawan Jepun, menentang
Malayan Union, mengalahkan komunis, menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu,
mewujudkan Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru adalah kesemuanya untuk
menjawab persoalan hubungan kaum supaya warga negara dapat hidup dengan
aman dan menerima peluang politik, ekonomi dan sosial yang saksama.

Dokumen negara seperti Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan
Kemerdekaan, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara kesemuanya untuk
menjamin keselamatan semua kaum dan penganut agama yang menjadi warga
negara. Namun begitu parti politik Malaysia bergerak mengikut kaum
tertentu dan mempergunakan isu yang dihubungkan dengan sentimen
perkauman dan kagamaan untuk mendapatkan sokongan.

Sementara kebanyakan manusia mempunyai kelemahan apabila berdepan
dengan sentimen perkauman dan keagamaan, maka tidak hairanlah mereka
mudah dibuai dengan rasa bimbang terhadap penguasaa kaum lain, dan
seterusnya undi mereka juga dieksploit.

Kebimbangan lama

Kempen untuk menakutkan orang Melayu terhadap kemungkinan negara ini
akan jatuh ke tangan pemimpin bukan Melayu berlaku sejak dahulu lagi.

Apabila Malayan Union diperkenalkan, orang Melayu takut mereka kehilangan tanah air mereka.
Ketika Darurat, mereka diingatkan bahawa penguasaan komunis bermakna
negara akan dipimpin oleh kaum Cina. Sebab itu usaha Dato Onn Jaafar
untuk membuka Umno kepada pelbagai kaum juga ditolak.

Begitu juga keberatan Tunku Abdul Rahman untuk menggabungkan Malaya
dengan Singapura dan ia juga membawa kepada dakwaan bahawa pemimpin
Singapura, Lee Kuan Yew mempunyai cita-cita menjadi perdana menteri
Malaysia. Perkara ini tidak timbul lagi apabila Singapura dikeluarkan.
Tetapi masalah ini terus ditanggung oleh bekas ahli PAP di Malaysia apabila DAP ditubuhkan pada 1968.

Setiap kali pembangkang menjadi kuat, maka orang Melayu diingatkan
bahawa mereka akan kehilangan kuasa jika gabungan parti pimpinan Umno
dapat dikalahkan.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons