January 20, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Oleh : Dr. Kamarul Zaman Yusoff

Dalam ucapan penggulungan beliau pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama PPBM di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam, semalam, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah menyebut :

“Saya tertarik dengan ucapan daripada (perwakilan) Kelantan. Baru dia sedar bahawa PAS itu jual agama, bukan Parti Islam, dia parti yang memperalatkan Islam. Saya ingin bertanya kepada Mufti-Mufti yang menjadi penasihat kepada Raja kita, apabila PAS dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS adalah kafir, kenapakah Mufti-Mufti tidak membetulkan kenyataan mereka? Mereka berdiam seribu bahasa seolah-olah mereka setuju, setuju dengan pendapat Parti PAS ini. Kalau mereka setuju dengan pendapat Parti PAS, mereka tidak masuk Parti PAS, maka Mufti-Mufti kita juga kafir, dan orang yang dinasihati oleh Mufti-Mufti kita juga kafir. 


Tapi tak berani siapa cakap, senyap seribu bahasa sampaikan Amanat Hadi dikeluarkan dan pengikut-pengikutnya, Ibrahim Libya, merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan. Apa yang kita lihat ialah Peristiwa Memali yang mana pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir. Inilah hasil daripada fatwa yang dikeluarkan oleh orang politik yang tidak ditangkis oleh Mufti-Mufti. Saya fikir Mufti-Mufti patutlah bertanggungjawab. Kenapa berlakunya Peristiwa Memali? Ianya tidak akan berlaku kalau awal-awal lagi Mufti-Mufti mencabar. Kenapakah Amanat Hadi tidak disangkal oleh mereka?”

Secara ringkasnya, melalui ucapan beliau ini, Tun Dr Mahathir telah:

(1) Memfitnah PAS “dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS (termasuk Mufti-Mufti dan Raja-Raja) adalah kafir”.

(2) Memfitnah “Ibrahim Libya merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan”.

(3) Memfitnah “pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir”.

(4) Memfitnah Mufti-Mufti dengan mendakwa bahawa mereka, bukan beliau, bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali.

Suka saya tegaskan bahawa sepanjang penelitian menyeluruh saya, sebagai pengkaji PAS, ke atas dokumen-dokumen, kenyataan-kenyataan dan ucapan-ucapan PAS dan pemimpin PAS selama ini, tidak pernah saya temui mana-mana dakwaan yang dibuat oleh PAS atau pemimpin PAS bahawa “orang yang tidak menyertai PAS adalah kafir”. Jika Tun Dr Mahathir bertanggungjawab, beliau sepatutnya memberikan bukti spesifik bila, siapa dan di mana wujudnya dakwaan sebegini jika beliau tidak mahu dikatakan berbohong.

Jika yang mahu dimaksudkan oleh Tun Dr Mahathir bahawa yang mengkafirkan “orang yang tidak menyertai PAS” ini adalah ‘Amanat Haji Hadi’ maka ia jelas adalah satu pembohongan kerana apa yang terkandung di dalam ‘Amanat Haji Hadi’ hanyalah ayat “kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku agama suku” sahaja. Jika pengikut Tun Dr Mahathir tidak menerima pandangan saya maka mereka boleh sahaja merujukkan kepada Dr Maszlee Malik, seorang pengkagum Tun Dr Mahathir, yang pernah menulis pada 1 Januari 2013 bahawa beliau “tidak nampak ada isu mengkafirkan Umno dalam Amanat Haji Hadi”.

Tindakan Tun Dr Mahathir memfitnah PAS “dakwa bahawa orang yang tidak menyertai PAS (termasuk Mufti-Mufti dan Raja-Raja) adalah kafir” adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilihat cuba melaga-lagakan PAS dengan Mufti-Mufti dan Raja-Raja kerana tidak pernah dalam sejarahnya PAS mengkafirkan Mufti-Mufti dan Raja-Raja. Cubaan mengheret Mufti-Mufti dan Raja-Raja di dalam isu politik ini, khusus bagi membolehkan PAS dihentam, adalah satu perbuatan yang sangat tidak sihat, apatah lagi bila yang bermasalah dengan Mufti-Mufti dan Raja-Raja bukanlah PAS, tetapi Tun Dr Mahathir.

Tindakan Tun Dr Mahathir memfitnah “Ibrahim Libya merancang untuk kononnya mengguna pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkan kerajaan” juga adalah satu perbuatan tidak bertanggungjawab kerana ia tidak disertakan sebarang bukti. Malah, OCPD Baling waktu Peristiwa Memali ini berlaku, iaitu Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim, telah menulis di dalam buku “Memali: A Policeman Remembers” bahawa Ibrahim Libya bukan seorang penjenayah dan bukan seorang pengganas komunis (“was not a criminal nor was he a communist terrorist”) tetapi adalah seorang ahli politik yang dihormati dan seorang pemimpin agama yang disanjungi (“a respected politician and revered religious leader”).

Surat Ketua Polis Kedah/Perlis kepada Ketua Polis Negara pada waktu itu juga menyebut bahawa “sasaran (Ibrahim Libya) bukanlah ‘criminal fugitive’ yang mesti ditangkap dengan apa cara dan kekerasan beserta dengan ‘harbourer’nya yang sama bersalah, tetapi sasaran adalah sasaran politik yang sudah tidak lagi ada pengaruh dan tidak boleh bergiat lagi di luar kawasan rumah yang lebih terseksa daripada orang yang kena sekatan tempat kediaman”.

Tindakan Tun Dr Mahathir memfitnah “pengikut Ibrahim telah bunuh empat orang polis kerana pada mereka polis ini adalah kafir yang bekerja dengan kerajaan kafir” pula adalah jelas satu tuduhan liar yang turut tidak disertakan sebarang bukti. Soal siapa yang memulakan tembakan dan atas motif apa, serta siapa yang bunuh empat orang polis dan atas motif apa, adalah isu-isu yang memerlukan kepada wujudnya suruhanjaya siasatan diraja.

Tindakan Tun Dr Mahathir memfitnah Mufti-Mufti dengan mendakwa bahawa mereka, bukan beliau, bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali juga adalah jelas satu lagi tuduhan liar yang merupakan satu tindakan untuk melepaskan tanggungjawab ke atasnya.

Bahawa pihak polis tidak bertanggungjawab ke atas berlakunya Peristiwa Memali ini juga tergambar di dalam buku Tunku Muszaffar Shah itu yang menyebut cubaan menangkap Ibrahim Libya di kampung beliau sendiri (Kampung Memali) adalah tindakan bodoh (“had been foolhardy”) dan bukan satu langkah yang baik (“was not a wise move”).

Begitu juga dengan surat Ketua Polis Kedah/Perlis itu yang menyebut bahawa “tindakan lanjut terhadap sasaran (Ibrahim Libya) perlulah dirancang dengan penuh kebijaksanaan supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’ dan kesan-kesan negatif tidak dipikul oleh polis serta tidak mendatangkan sebarang ancaman keselamatan” dan yang hanya mengesyorkan supaya “sasaran (Ibrahim Libya) ditangkap bila dia keluar dari kawasan rumahnya di tempat dan masa yang sesuai yang tidak mendatangkan huru-hara atau pertumpahan darah”.

Sangatlah tidak munasabah bahawa Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri pada waktu berlakunya Peristiwa Memali tidak terlibat di dalam insiden ini kerana beliau sendiri pernah mendedahkan, dalam satu majlis tertutup dengan pemimpin tempatan di Kuala Terengganu pada 26 Ogos 2017, bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sepatutnya telah ditahan di bawah ISA selepas berlakunya Peristiwa Memali, malah Tun Dr Mahathir sendiri telah direkodkan memberikan amaran untuk menahan Datuk Seri Abdul Hadi (lihat umpamanya “Amaran kepada pengikut PAS di Rusila”, dalam Berita Harian, 31 Januari 1986).

Malah, dalam sidang Dewan Rakyat pada 25 Mac 2002, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, menyatakan bahawa Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika Peristiwa Memali berlaku, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, pernah mendedahkan bahawa “arahan untuk operasi serangan (terhadap Ibrahim Libya di Memali) itu dibuat secara direct, terus oleh Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) kepada pihak yang berkuasa”.

Kenapa sehingga sekarang Tun Dr Mahathir gagal memberikan sebarang maklum-balas kepada dakwaan Datuk Mahfuz dan Tan Sri Mohd Radzi bahawa beliaulah yang sebenarnya memberikan arahan untuk operasi serangan terhadap Ibrahim Libya di Memali ini?



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons