April 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Semalam, empat plaza tol telah dihentikan kutipan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau (Shah Alam), Bukit Kayu Hitam (Kedah) dan Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) (Johor Bahru) atas inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018, 27 Oktober lepas.

BN terbukti mengotakan janji dalam perkara ini apabila dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lepas, BN berjanji untuk menangani masalah kos sara hidup yang merupakan teras utama dalam manifesto BN.

Lain ceritanya di pihak pembangkang, kerana janji untuk hapus tol ini adalah janji yang paling susah untuk mereka tunaikan dan ia mungkin jadi janji yang dikategorikan sebagai harapan palsu sahaja. Dalam 10 janji Pakatan Rakyat (PR) pada PRU13, janji kedua ialah menghapuskan tol tapi satu pun tidak dilaksanakan di negeri-negeri yang dikuasai mereka.

Di Selangor, dua tol yang dimansuhkan semalam adalah atas inisiatif kerajaan BN bukannya Kerajaan Negeri PKR, pimpinan Azmin Ali. Di Pulau Pinang, Ketua Menteri, Lim Guan Eng terus lepas tangan kepada janji yang dibuat pada PRU ke-12 lagi iaitu untuk hapuskan tol Sungai Nyior. Kini, sudah hampir hendak diadakan PRU14, sudah 10 tahun berlalu, tapi janji mansuh tol tidak lagi dimansuhkan.

Janji DAP masa berkempen PRU12, ialah hendak hapuskan kutipan tol di Jambatan Pulau Pinang dengan kadar RM7, dan Sungai Nyior yang kadar kutipannya 50 sen.

Mahathir yang dikenali sebagai Bapa Segala Tol pula menjadi Pengerusi Pakatan Harapan (PH), pakatan baru selepas PR berkubur. Dalam belanjawan alternatif PH untuk tahun ini, disenaraikan sekali lagi janji mansuhkan kutipan tol.

Berjanji apa lagi? Janji 10 tahun lepas pun masih belum tunai lagi.

Mahathir dalam sejarah beliau jadi Perdana Menteri selama 22 tahun hanya memansuhkan satu plaza tol sahaja iaitu di Plaza Tol Slim River pada 11 Januari 1993.

Majoriti perjanjian konsesi tol yang berat sebelah ditandatangani ketika zamannya. Zaman Najib jadi Perdana Menteri, beliau sudah mansuhkan kutipan di tujuh plaza tol.

Plaza tol METRAMAC dimansuhkan pada 16 Mei 2011, Plaza Tol Teluk Kapas (NNSB) dimansuhkan pada 21 Disember 2009, Plaza Tol Batu 9 Cheras kedua-dua laluan dimansuhkan pada 2 Mac 2012 dan empat yang dimansuhkan pada tengah malam tahun baru 2018.

Bukti Najib lebih bersungguh memansuhkan tol bila dia berkuasa. Tidak seperti Mahathir, masa berkuasa 22 tahun hanya mansuh 1 plaza tol sahaja.

Bila sudah tiada kuasa, bercita cita pula hendak mansuhkan tol. Ini cerita karut sama sekali. Boleh percayakah? Orang kalau hendak buat sesuatu masa dia ada kuasa bukan masa tiada kuasa.

Rakyat janganlah mudah percaya janji manis pembangkang ini. Mereka mungkir janji dan hipokrit semata mata.

Zaman Mahathir, beliau tidak sibuk hendak fikir hendak mansuhkan tol sebaliknya merancang hendak buat lagi banyak perjanjian tol untuk membebankan rakyat demi kesenangan kroninya sahaja.

Lebuh raya Maju Expressway dan Denai Desaru Highway dibina pada 2004, kedua-duanya memperolehi surat perjanjian konsesi yang sudah ditandatangani sebelum Mahathir letak jawatan pada Oktober 2003.

Lebuh Raya Utara-Selatan pula dibina pada awalnya oleh kerajaan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia setelah dirancang pada tahun 1977 ketika Allahyarham Tun Hussein Onn jadi Perdana Menteri. Ia mula dibina setahun sebelum Mahathir mengambil alih iaitu pada tahun 1980.

Sepanjang tahun 1980 hingga 1985, LLM telah membina sepanjang 366 km atau 41% daripada cadangan 823 km lebuhraya dengan kos sebanyak RM3.2 bilion yang ditanggung oleh kerajaan.

Pada tahun 1986, seluruh projek diserahkan kepada Halim Saad dari UEM, pembida yang tawarkan harga tertinggi walaupun mereka tidak ada pengalaman dalam pembinaan lebuh raya. Akibatnya, lebuh raya PLUS diserahkan lewat dua tahun dari tarikh sebenar dan kerajaan pada ketika itu telah membiayai separuh daripada bajet RM3.5 bilion.

Tahun 2011, pentadbiran Najib ambil alih PLUS dan perjanjian konsesi dirangka semula dan kenaikan tol yang sepatutnya berlaku dalam perjanjian era Mahathir dapat dihalang.

Sampai bila-bila pun pembangkang takkan mahu hapuskan tol kerana mereka lebih pentingkan kroni dari rakyat. Tengok apa DAP buat di Pulau Pinang, hendak mansuh tol bernilai RM50 sen pun tidak boleh.

10 tahun sudah, cerita hendak mansuh tol ini kalau keluar dari mulut pembangkang, jangan percayalah. Hipokrit sahaja.

Tulisan :
Beruang Biru
BB722, Selasa
2 Januari 2018



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons