January 17, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KUALA LUMPUR 3 Jan. – Pemain skuasy wanita negara, Low Wee Wern, yang dikhabarkan sudah pulih daripada kecederaan ligamen lutut (ACL), akan hanya beraksi pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April ini, jika mendapat ‘lampu hijau’ daripada Institut Sukan Negara (ISN).

Presiden Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM), Huang Ying How, berkata keutamaan untuk bekas pemain nombor dua negara itu adalah untuk mempertahankan pingat emas acara berpasukan wanita dan perak (individu) pada Sukan Asia di Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini.

“Dia masih dalam proses pemulihan. Kami tidak mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dia di Sukan Komanwel…sasaran kami untuknya adalah Sukan Asia.

“SRAM akan hanya menyenaraikannya untuk Sukan Komanwel jika mendapat kebenaran ISN. Kami mahu dia pulih sepenuhnya sebelum beraksi pada kejohanan-kejohanan besar.

“Kami tidak mahu mengambil risiko dengan menyenaraikannya pada Sukan Komanwel nanti kerana jika dia mengalami kecederaan ACL, ia akan membunuh kariernya,” katanya kepada media selepas majlis jamuan tengah hari penghargaan media oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini.

Pemain berusia 27 tahun itu, yang mengalami kecederaan ACL buat pertama kali pada April 2015, djangka kembali semula beraksi buat kali kedua bulan depan, selepas lebih setahun berehat.

Huang, yang bakal menggalas tanggungjawab selaku Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel, yakin Malaysia berada di landasan yang betul untuk memperbaiki pencapaian enam emas, tujuh perak dan enam gangsa selepas gagal mencapai sasaran tujuh emas pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

“Semasa temasya Sukan Komanwel nanti, kita dapat melihat bagaimana atlet Program Podium bersaing dengan antara atlet terbaik dunia,” katanya.

Sementara itu, Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata pihaknya tidak akan meletakkan sasaran pingat kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2018 bagi mengelak tekanan kepada atlet.

Menurutnya, senarai muktamad kontinjen negara ke Sukan Komanwel akan diputuskan semasa mesyuarat pemilihan terakhir minggu depan.- BERNAMA





Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons