January 20, 2018
You can use WP menu builder to build menus


SEPANG 6 Jan. – Biar pun hampir diminta untuk menarik diri kerana mengalami gejala frostbite atau gigitan fros, penjelajah Grand Slam pertama negara, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin tetap nekad untuk menamatkan misi penjelajahan sejauh 111 kilometer di Kutub Selatan.

Muhammad Muqharabbin, 36, ketika mengimbas semula detik berkenaan berkata, pada hari ketiga terakhir sebelum misi itu berjaya ditamatkan, jurupandu yang mengiringinya telah memintanya menghentikan misi tersebut jika dua jari kirinya bertukar warna hitam akibat frostbite.

Namun, katanya, beliau bernasib baik selepas membuat rawatan dengan memanaskan bahagian jari tersebut, tanda-tanda frostbite telah hilang.

“Jurupandu telah berpesan sekiranya kecederaan tersebut tidak pulih saya perlu menarik diri daripada misi ini.

“Bagaimanapun, saya telah meminta dia memberi ruang untuk saya menamatkan misi ini. Alhamdulillah selepas lima jam rawatan dilakukan keadaan jari dan kesihatan saya lebih baik dari hari sebelum itu sekali gus dia membenarkan saya meneruskan misi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Emirates EK342 dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Penasihat Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) merangkap Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal.

Menurut Muhammad Muqharabbin, pendorong utamanya bagi menamatkan misi tersebut ialah demi mengharumkan nama negara di persada dunia di samping untuk memberi dorongan kepada rakyat Malaysia yang lain untuk turut sama mencipta nama di pentas antarabangsa.

Katanya, kejayaannya muncul sebagai rakyat Malaysia pertama menempa nama sebagai penjelajah Grand Slam selain diiktiraf sebagai individu kedua di Asia Tenggara serta umat Islam ketiga dan termuda di dunia meraih gelaran tersebut membuktikan tiada perkara yang mustahil untuk dilakukan.

Menurutnya, selain perlu menamatkan misi itu, syarat lain untuk diiktiraf sebagai penjelajah Grand Slam ialah dengan menamatkan pendakian tujuh puncak tertinggi di tujuh benua dunia, berski ke titik 0 darjah Kutub Utara dan berski ke titik 90 darjah Kutub Selatan.

Katanya, kesemua ekspedisi itu berjaya ditamatkan dalam tempoh 13 tahun dengan ekspedisi pertama mendaki puncak tertinggi dunia, Gunung Everest (benua Asia) pada 2004, Kosciuszko (Australasia, 2006), Kilimanjaro (Afrika, 2010), Aconcagua (Amerika Selatan, 2010), Vinson Massif (Antartika, 2011), McKinley (Amerika Utara, 2012) Elbrus (Eropah, 2012) dan Carstenzs Pyramid (Oceania, 2014).

Sementara itu, Akmar Hisham berkata, susulan kejayaan Muhammad Muqharabbin itu pihaknya berhasrat untuk membuat satu pameran khas dengan mengumpulkan semua kisah kejayaan peserta di bawah KE7B di Muzium Negara pada Ogos ini.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons