April 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KUALA LUMPUR 6 Jan. – Setelah sekian lama, dua bintang besar Kollywood, `Superstar’ Rajinikanth dan `Ulaga Nayagan’ Dr. Kamal Hassan sekali lagi berkongsi pentas mewarnai Nachathira Vizha 2018 yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Dibanjiri hampir 30,000 peminat tegar yang rata-rata terdiri daripada anak-anak muda, kehadiran dua pelakon tersohor itu bersama kira-kira 300 artis gabungan pelakon filem Tamil, Telugu, Malayalam, penyanyi dan pengarah muzik berjaya memukau penonton dengan pelbagai persembahan hebat.

Terdahulu, kedua-dua pelakon mega star tersebut diterbangkan dalam helikopter khas dan mendarat di atas padang Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menemui peminat dan pemain kriket pada acara ini.

Menariknya, kedua-dua bintang dunia mengenakan kurta hitam (Rajinikanth) manakala Kamal Hassan pula berwarna putih dan kelihatan begitu mesra serta saling memuji antara satu sama lain.

Dalam ucapannya, Rajinikanth yang juga digelar sebagai `Thalaivar’ melahirkan rasa gembiranya kerana dapat mengunjungi Malaysia sekali lagi selepas pembikinan filem Kabali, pada Oktober tahun lalu.

“Saya gembira dapat berkunjung ke negara ini dan kali ini bersama isteri saya, Latha. Bagi saya, Malaysia ibarat ‘rumah kedua’ kerana dapat merasai kasih sayang semua peminat di sini.  

“Meskipun, saya jarang ke Malaysia, namun kehadiran saya masih diterima. Saya cukup kagum dengan rakyat dan negara ini,” katanya.  

Dalam pada itu, beliau yang kini membintangi filem Robo 2.0 yang akan menemui peminat pada 25 Januari depan, meluahkan rasa hatinya secara terbuka.  

“Sepanjang hidup, saya telah menghiburkan jutaan peminat pelusuk dunia tetapi hidup saya tidak harus berhenti setakat ini. Sebaliknya, saya mahu melakukan sesuatu lebih daripada itu.

“Saya mahu mendedikasikan hidup ini untuk rakyat Tamil Nadu yang telah banyak berjasa kepada saya” ucapnya.

Ucapan ini seolah-olah mempunyai maksud tersirat kerana baru-baru ini Rajinikanth mengumumkan dirinya akan menceburi bidang politik.

Dalam pada itu, Kamal Hassan pula menyatakan rasa terharu melihat sokongan peminat Malaysia.

“Saya rasa bertuah dapat bertemu dengan semua peminat saya di negara ini, terima kasih kerana mengalu-alukan kedatangan keluarga kami ke Malaysia,” katanya.

Pada acara itu, pelakon-pelakon filem yang lain turut muncul berceloteh dengan penonton menyatakan penghargaan terhadap para peminat negara ini.

Nachathira Vizha 2018 yang disifatkan sebagai acara India terbesar di Asia, dianjurkan oleh Persatuan Artis India Selatan (SIAA) dengan kerjasama MyEvents International serta mendapat sokongan sepenuhnya oleh Malaysia Major Events, anak syarikat di bawah Kementerian Pelancongan.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons