January 17, 2018
You can use WP menu builder to build menus


THE MALAYSIAN TIMES

 

KUALA LUMPUR:
Keputusan Pakatan Harapan memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon
perdana menteri membuktikan pembangkang mengakui pemerintahan Barisan
Nasional (BN) selama ini tidak mempunyai masalah sebagaimana kerap
didakwa mereka, menurut penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara
Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata, keputusan itu turut membuktikan
bahawa pihak pembangkang adalah ‘raja drama’ dan isu-isu yang
ditimbulkan sewaktu Dr Mahathir menjadi perdana menteri hanya direka
untuk memperoleh undi rakyat.

“Kalau pada era Dr Mahathir, beribu isu mereka boleh timbulkan, dan
hari ini dia mereka angkat jadi calon perdana menteri, saya percaya
isu-isu yang mereka timbulkan ke atas (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib
Tun Razak juga hanya sandiwara, dan akan hilang sekiranya Najib memihak
kepada mereka, ” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas pengumuman Pakatan Harapan semalam yang memutuskan Dr
Mahathir yang merupakan pengerusi Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM)
sebagai calon perdana menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana
menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya umum ke-14.

Md Shukri menyifatkan pembangkang sebagai ”neo-Zimbabwe” atau
“neo-Mugabelism” kerana menamakan bekas perdana menteri paling lama
memerintah Malaysia itu sebagai perdana menteri sekali lagi di usianya
menjangkau 90-an.

“Di Zimbabwe mereka tolak presidennya Robert Mugabe kerana faktor
usia dan kurangnya kepekaannya terhadap perubahan semasa. Kini
seolah-olah Malaysia mahu pergi ke arah negara mereka pula. Tak akan
mereka tak ada calon lebih muda untuk ditampilkan sebagai perdana
menteri?,” soalnya.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis
Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata
pembangkang berdepan situasi bahaya apabila memutuskan Dr Mahathir
sebagai calon perdana menteri mereka.

“Pakatan sepatutnya sedar tujuan Dr Mahathir bergabung dengan
pembangkang… sekarang dia setuju Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

“Tapi itu cerita dan janji sekarang… dia belum jadi perdana menteri
lagi dia setujulah dengan semua syarat. Sebaik sahaja Dr Mahathir
berkuasa nanti Pakatan itu sendiri yang mula-mula dihancurkan,” katanya.

Abdul Halim berkata perjanjian untuk menaikkan Ketua Umum Pakatan
Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara
sebagai calon perdana menteri ke-8 juga merupakan bayangan yang samar
dan sukar direalisasikan.

“Perlu ingat… sebaik sahaja Dr Mahathir memerintah negara dia boleh
lantik sesiapa sahaja yang dia mahu, tiada siapa mampu menghalangnya.
Selama 22 tahun dia jadi perdana menteri, dia memang penuh dengan helah
licik,” katanya.

Menurutnya keadaan Pakatan Harapan ketika ini adalah goyah dan kucar
kacir walaupun mereka kelihatan ‘sepakat’ tetapi hakikatnya mereka hanya
terpaksa duduk bersama-sama.

“Kesepakatan yang mereka tunjukkan ketika ini hanyalah syarat… mereka
mesyuarat ini pun bukan bukti mereka bersatu tetapi untuk penuhi syarat
RoS kalau tidak masing-masing dalam pakatan itu tidak boleh
bertanding,” katanya.

Sementara itu, jurucakap publisiti MCA Datuk Seri Ti Lian Ker
menyifatkan pengumuman itu sebagai pengkhianatan nyata DAP terhadap
anggota dan penyokongnya.

Katanya DAP mungkin sengaja memilih untuk melupakan prinsip dan janji
yang dibuat kepada rakyat khususnya komuniti Cina akibat ketamakan
mereka untuk berkuasa dan menguasai Putrajaya, tetapi mereka tidak
sepatutnya melayani penyokong dan mereka yang bersimpati dengannya
seperti ‘mayat hidup politik”.

Ti berkata pemimpin DAP sebelum ini mendakwa Dr Mahathir telah
mengkhianati dan memperdayakan masyarakat Cina dengan menyetujui
tuntutan SUQIU (Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan
Cina Malaysia) bagi Keharmonian Nasional sebelum pilihan raya umum 1999
dan selepas beliau menang, beliau berpaling tadah dan mengecap mereka
yang mendesak dan menyokong SUQIU sebagai komunis, ekstremis dan tidak
tahu berterima kasih.

Senada dengan pandangan Ti, Ketua Pemuda MIC Datuk Sivaraajh Chandran
berpendapat kembalinya Dr Mahathir sebagai perdana menteri pastinya
merupakan berita buruk buat kaum India kerana mereka yang paling
terjejas oleh dasar-dasar berasaskan kaum yang diamalkan Dr Mahathir
semasa menjadi perdana menteri.

Sivaraajh berkata kaum India perlu ingat bahawa dasar-dasar
ditetapkan oleh Dr Mahathir semasa mentadbir negara selama 22 tahun
telah secara beransur-ansur menghakis hak kaum India dalam perkongsian
ekonomi negara ini.

“Beliau berjanji untuk lakukan lebih baik kali ini, tetapi jika
beliau gagal menjamin bantuan dan peruntukan sampai kepada kaum India
sedangkan ketika itu parti kaum India sebahagian komponen BN
diterajuinya, bagaimana beliau dapat melakukannya apabila menerajui
barisan Pakatan Harapan yang tidak mempunyai satu parti pun yang
mewakili kepentingan kaum India,” tegasnya.– Bernama



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons