January 17, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Oleh : Malaysiakini 

Suasana sedih menyelubungi pertemuan pemimpin Parti Amanah Nasional (AMANAH) bersama anggota parti bahagian Wilayah Persekutuan yang berlangsung pada semalam.

Walaupun dengan suasana pilu itu, perjumpaan yang berlangsung kira-kira dua jam itu berjalan secara harmoni.

Perjumpaan itu diadakan berikutan AMANAH tidak diperuntukkan walau satu kerusi parlimen di Kuala Lumpur pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, yang mungkin akan dijalankan dalam masa seratus hari lagi.

Menurut sumber yang enggan namanya disiarkan, suasana hiba bermula apabila seorang anggota parti menitiskan air mata ketika menyuarakan rasa terkilannya terhadap keputusan pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

“Ada yang telah berkempen sejak AMANAH ada di wilayah (Kuala Lumpur). Saya rasa (mereka) menangis bukan sebab marah, tetapi kerana telah berkorban begitu banyak,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut seorang lagi sumber yang hadir pada pertemuan semalam, hampir semua anggota wanita dan sebahagian anggota lelaki menangis ketika individu itu sedang bercakap.

Para pemimpin pula kelihatan sebak dan mencatat cadangan yang diberikan individu itu dan mereka menerima secara terbuka perkara yang dibangkitkan, kata sumber itu lagi.

Antara pemimpin yang hadir adalah Presiden Mohamad Sabu; Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Dr Hatta Ramli; Pengarah Strategik Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Komunikasi Khalid Samad, Ketua Pemuda Mohd Sany Hamzan dan Ketua AMANAH Wanita Dr Siti Mariah Mahmud.

Terdahulu, AMANAH Wilayah Persekutuan menggesa sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen di Kuala Lumpur diberikan kepada parti itu.

Selain AMANAH Wilayah Persekutuan, turut tidak berpuas hati adalah AMANAH Perak yang diperuntukkan empat kerusi Parlimen dan AMANAH Johor dengan dua kerusi Parlimen.

Konvensyen Ahad lalu mengumumkan BERSATU akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, manakala PKR bertanding di 51 kerusi dan AMANAH 27 kerusi.

Bukan menangis berjemaah

Khalid Samad ketika dihubungi berkata, beliau turut sedih semasa pertemuan semalam.

“Mereka (anggota parti) menangis sebab tak ada kerusi di Wilayah. Sedih memanglah sedih tapi tak adalah sampai kita semua menangis berjemaah,” katanya (gambar) berseloroh.

Sementara itu, Pengarah komunikasi AMANAH wilayah persekutuan Datuk Tarmizi Mohd Jam berkata, dalam pertemuan itu Mohamad atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu memberi penjelaasn tentang kehilangan kerusi Parlimen Setiawangsa.

“Presiden menjelaskan hilangnya kerusi Titiwangsa menyebabkan AMANAH tiada satu kerusi pun di Kuala Lumpur untuk PRU ke-14.

“Beberapa resolusi dicapai bagi mencari jalan keluar, presiden dan pasukan perunding kerusi akan mengambil tanggungjawab secara langsung,” katanya di Facebook.

AMANAH Wilayah Persekutuan dijangka akan membuat sidang media mengenai hasil pertemuan bersama pimpinan mereka berhubung kerusi parti itu di Wilayah Persekutuan.

Ketika konvensyen, Mahathir dalam ucapannya selaku pengerusi HARAPAN secara terbuka memuji AMANAH yang menurutnya punca agihan kerusi berjaya dilakukan.

“(AMANAH) tuntut kerusi lama (ketika bertanding di bawah tiket PAS), payah kita nak bagi.

“Tetapi mereka bermurah hati, akhirnya, yang menjayakan agihan kerusi di kalangan empat buah parti ini ialah AMANAH,” katanya.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons