April 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KUALA LUMPUR 11 Jan. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan melihat pelbagai cara termasuk merangka strategi bagi mengurangkan negara daripada terus bergantung kepada produk tenusu yang diimport.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ketika ini, Malaysia mengimport hampir RM3 bilion produk-produk berkaitan susu, setahun.

Malah, kata beliau, Malaysia juga hanya mengeluarkan kira-kira 36 juta liter susu segar setahun.

“Ini tidak mencukupi, kita masih memerlukan lebih kurang 20 juta liter susu segar yang mana pada ketika ini, kita mengimportnya. Ini adalah satu jumlah besar dan akan terus meningkat dengan pertambahan penduduk dari semasa ke semasa yang dianggarkan mencecah hampir 40 juta pada tahun 2020.

“Keperluan untuk susu segar dan produk-produk berkaitan susu amat besar pada masa hadapan. Justeru, kementerian akan melihat pelbagai cara untuk membangunkan industri tenusu negara,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan ke Institut Penyelidikan Tenusu Kebangsaan di Haryana, India sempena lawatan kerja beliau ke negara itu.

Jelas Tajuddin, langkah itu juga selaras dengan hasrat membudayakan rakyat negara ini terutama kanak-kanak generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) meminum susu segar.

“Jadi, jika kita tidak mula dari sekarang, Malaysia mungkin akan menjadi sebuah negara pengimport selama-lamanya akibat pengeluaran wang asing ke luar negara yang juga akan merugikan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Tajuddin memberitahu, pihaknya akan mengkaji cadangan menyediakan bekalan susu segar untuk murid sekolah.

“Kita mahu menggalakkan murid-murid sekolah supaya minum susu segar, Ini akan menjadi satu tabiat yang baik. Mungkin kerajaan juga akan memikirkan cara untuk memperluaskan skim sedia ada (Program Susu 1Malaysia).

“Ketika ini, sebanyak 12 juta liter sahaja yang dibekalkan kepada murid sekolah dan jumlah itu tidak mencukupi, malah susu tepung yang digunakan dan bukannya susu segar,” katanya. – UTUSAN ONLINE.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons