February 20, 2018
You can use WP menu builder to build menus


THE MALAYSIAN TIMES

MELAKA:
Sindiket pengedaran dadah di negara ini dikesan menyasarkan institusi
pengajian tinggi swasta (IPTS) sebagai antara pasaran semasa yang mudah
ditembusi, khususnya untuk penjualan dadah sintetik.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ini
kerana kebanyakan penuntut IPTS mempunyai kuasa membeli yang tinggi
dengan kebanyakan mereka datang daripada keluarga berpendapatan tinggi,
selain dadah tersebut sukar dikesan berdasarkan sifatnya tanpa
penggunaan teknologi canggih.

Beliau berkata ramai antara mereka mengambil dadah tersebut untuk
berhibur atau ketahanan diri seperti berjaga pada waktu malam untuk
belajar, terutama menjelang musim peperiksaan.

“Fenomena penagihan dadah dalam kalangan pelajar institusi pengajian
tinggi (IPT) telah berubah berbanding sebelum ini, termasuk jenis dadah
yang diambil dan kesannya terhadap penagih terlibat.

“Kalau mereka mengambil dadah jenis ganja atau heroin kesan fizikal
khususnya perubahan sikap dan keadaan khayal yang dialami akan lebih
ketara berbanding dadah jenis sintetik,” katanya yang ditemui selepas
melancarkan Kelab Mahasiswa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam)
Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Pemadam Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif KAYM Datuk Saroni Judi.

Nur Jazlan yang juga Yang Dipertua Pemadam berkata kegiatan
penyalahgunaan dadah pada peringkat sekolah juga dilihat amat
membimbangkan kerana rekod terkini Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
menunjukkan kira-kira 2,100 murid sekolah rendah dan menengah daripada
178 sekolah di seluruh negara, didapati positif dadah.

Beliau berkata justeru, usaha bersepadu dan lebih agresif perlu
dilaksanakan antara Pemadam dan AADK bagi mengekang penglibatan golongan
itu dalam penyalahgunaan dadah secara berterusan.

Katanya antara usaha yang dilaksanakan termasuk melatih lebih ramai
kader dalam kalangan anggota Kelab Mahasiswa Pemadam yang telah dan
sedang diwujudkan di IPT seluruh negara secara berperingkat.

“Kader ini akan dilatih dengan ilmu berkaitan dadah dan cara
menangani atau memulihkan individu terlibat dengan penyalahgunaan
khususnya pada peringkat sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Sementara itu, Saroni berkata sebanyak 50 pelajar KAYM telah
menyertai Kelab Mahasiswa Pemadam yang ditubuhkan di kolej berkenaan
pada tahun lepas dan mereka akan membantu membanteras penyalahgunaan
dadah dalam kalangan penuntut kolej tersebut serta masyarakat setempat.

“Kita akan mewujudkan subjek kokurikulum Pemadam, yang bakal
dilaksanakan pada peringkat diploma dan dijangka lebih 100 penuntut akan
menganggotai kelab ini dalam masa terdekat,” katanya.—Bernama



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons