April 23, 2018
You can use WP menu builder to build menus


KUBANG PASU 26 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membidas sikap bekas pemimpin tertentu yang disifatkannya sebagai tidak berprinsip sehingga sanggup melakukan perkara yang bertentangan dengan perkara pernah diucapkan mereka ketika berkuasa satu ketika dulu.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima kerana sebagai seorang pemimpin, seseorang individu itu perlu beristiqamah dan konsisten dalam memegang prinsip perjuangan.

“Satu perkara yang saya tak boleh ‘tahan’ adalah dulu cakap lain, hari ini buat lain. Kalau dulu ada pendirian, hari ini kita mesti tidak berganjak dan itu baru namanya ada prinsip dan moral dalam berjuang.

“Ahli Parlimen anda, Datuk Seri Mohd. Johari Baharom dalam ucapannya sudah nyatakan tadi bahawa di dewan inilah bekas pemimpin itu pernah mengingatkan supaya kita tidak melupakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana tiada parti lain boleh membela Melayu dan kaum lain tetapi hari ini, lain pula yang dibuatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 5,000 hadirin yang menghadiri Majlis Jamuan Rakyat Bersama Perdana Menteri di Dewan Wawasan, Jitra, dekat sini malam ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta bekas Menteri Besar, Tan Sri Osman Aroff.

Pada majlis itu beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta untuk pembinaan pasar baharu di Jitra selain RM400,000 bagi membaiki gelanggang tenis untuk pembangunan sukan itu di daerah ini.

Mengulas lanjut katanya, beliau sendiri pernah mendengar nasihat daripada individu dimaksudkannya itu yang menyatakan seorang bekas pemimpin wajib menyokong pemimpin baharu kerana sewaktu mereka di atas, orang baharu inilah yang sentiasa menyatakan sokongan.

“Itu satu nasihat yang amat baik tetapi hari ini apa yang beliau buat? Terus terang saya katakan saya ini tidak kuat dan saya menjadi Perdana Menteri kerana orang UMNO dan BN sokong, angkat serta pertahan saya.

“Begitu juga dengan Mahathir. Selama 22 tahun dalam susah dan senang, dalam keadaan ribuan orang hendak tolak beliau, saya sebagai Pemuda UMNO pada masa itu, kita-kita inilah yang menjadi wira mempertahankan kepemimpinan beliau sebagai presiden parti dan Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu Najib berkata, selaku Perdana Menteri beliau tidak sanggup sama sekali untuk mempertaruhkan masa depan negara semata-mata untuk menabur gula-gula atau ‘dedak’ seperti didakwa pembangkang kerana tanggungjawab dipikulnya amat besar.

“Saya sentiasa amat sedar bahawa diri ini memikul harapan 30 juta rakyat Malaysia mengharapkan masa depan Malaysia dapat dijulang ke tahap yang jauh lebih tinggi.

“Sebab itu saya buat perancangan jangka panjang Transformasi Nasional (TN50) dan dalam masa sama tidak melupakan keperluan seharian untuk tempoh terdekat atau sehari dua ini. Semuanya saya fikirkan termasuklah kemudahan kesihatan, peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, keselamatan dan masa depan lebih cemerlang berbanding hari ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan rakyat supaya membuat keputusan tepat serta bijak yang tidak dipengaruhi emosi serta nostalgia semata-mata pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita kena fikir bukan sehari dua ini saja tetapi kena fikir satu jangka waktu yang agak lama sebab nak bangunkan sebuah negara bangsa apatah lagi sebuah peradaban, tentu sekali memerlukan lebih dari setahun dua untuk membuat perancangan jitu serta menjadikannya kenyataan,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons