April 20, 2018
You can use WP menu builder to build menus


1. Negara Malaysia sudah merdeka selama 60 tahun, tetapi nama baik Malaysia tidak pernah dicemar dengan begitu teruk seperti sejak Dato Sri Najib menjadi Perdana Menteri.

2. Ya, memang pun negara pernah dikecam kerana ISA. Memang pun ada rasuah yang berlaku dalam Kerajaan di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein dan juga saya.

3. Tetapi perbuatan-perbuatan ini tidaklah sampai Malaysia digelar negara rasuah bersama dengan sepuluh buah negara di dunia yang amalan rasuah amat tinggi – tidaklah sampai digelar negara kleptokrasi pimpinan penjenayah, pencuri.

4. Tidak juga pernah ada tuduhan, bahkan dakwaan bahawa Perdana Menteri Malaysia sendiri adalah perasuah yang terlibat dengan penyelewengan berbillion duit Kerajaan, dengan namanya disebut dalam kes-kes pembersihan wang berbillion yang dicuri dari syarikat 1MDB.

5. Laporan-laporan dalam akhbar dan T.V. seluruh dunia jelas dan terbuka mendedah akan pembelian rumah mewah di London, New York dan Hollywood, pembelian pesawat jet, kapal layar gergasi, intan berlian berjuta ringgit untuk isteri Perdana Menteri, berjudi di Las Vegas, hadiah bermillion kepada gadis cantik, sebagai cara untuk bersihkan wang yang dicuri dari dana 1MDB.

6. Dalam negeri pula berbillion wang Ringgit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dana pencen dari Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), wang dari gadaian ladang Felda dan Tabung Haji hilang begitu sahaja. Wang 42 billion Ringgit yang dipinjam oleh 1MDB hilang entah ke mana dan laporan audit 1MDB dari 2013 hingga 2017 tidak dibuat seperti dikehendaki oleh undang-undang.

7. Akhbar dan T.V. dalam negara tidak dibenar lapor berkenaan wang 2.6 billion Ringgit yang berada dalam akaun peribadi Najib. Demikian juga ahli BN, UMNO dilarang bercakap berkenaan masalah-masalah ini.

8. Penyokong-penyokong Najib, terutama Menteri dilarang bertemu dengan pemimpin parti lawan, walaupun mereka adalah kawan lama dan biasa bekerja dalam Kerajaan dan parti yang sama.

9. Perlembagaan dan undang-undang tidak dihormati sehingga laporan kepada polis akan salahguna kuasa oleh Perdana Menteri tidak disusuli dengan siasatan oleh polis. Sebaliknya orang yang membuat laporan ditahan, disoal, dimasuk penjara dan dituduh sebagai pengganas.

10. Proses perlantikan dan penamatan khidmat pegawai tinggi Kerajaan tidak dituruti, bahkan Yang Di-Pertuan Agong dibohongi kononnya pegawai berkenaan sakit dan perlu dihentikan. Pegawai ganti juga dilantik tanpa proses perlembagaan. Aturan serta peraturan untuk melanjutkan khidmat hakim tidak dipedulikan.

11. Polis, SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri diguna untuk ugut dan menekan rakyat. Cukai tambahan dikenakan, dikira sehingga 10 tahun ke belakang walaupun tidak ada bukti cukai ini diperuntukkan dalam undang-undang.

12. SPRM menuduh peniaga telah lakukan pembersihan wang yang dicuri atau hasil dari rasuah. Mereka ditahan dan di penjara. Ramai pemimpin parti lawan dituduh terlibat dengan rasuah dan lain-lain tanpa bukti dan didera dan diganggu.

13. Sebaliknya berbillion Ringgit yang ada dalam akaun Perdana Menteri yang tidak dapat disahkan puncanya selain dari pengakuan PM yang ianya tidak bersalah ditutup kes oleh Pendakwa Raya dan laporan diletak dibawah undang-undang rahsia Kerajaan. Dakwaan bahawa PM tidak melakukan apa-apa kesalahan tidak disertai dengan dokumen-dokumen walaupun segala urusan wang yang berbillion perlu dicatit dalam dokuman dan buku-buku akaun bank.

14. Sesungguhnya Dato Sri Najib telah rosakkan Kerajaan dan pentadbiran negara serta institusi-institusinya. Pemerintahan Najib tidak diasaskan kepada Perlembagaan dan undang-undang. Pengagihan kuasa antara pembuat undang-undang, pelaksana pemerintahan dan kehakiman sudah dihapuskan dan seluruh kuasa dibolot oleh Perdana Menteri.

15. Kewangan Negara disalahguna untuk projek-projek yang amat merugikan. Di masa yang sama Najib meminjam berbillion Ringgit untuk projek yang tidak mampu memberi pulangan yang cukup untuk bayar balik hutang.

16. Rakyat dan anak cucu mereka akan tanggung beban hutang ini berpuluh tahun.

17. Inilah warisan peninggalan Najib. Jika ia dipilih oleh rakyat untuk terus menjadi Perdana Menteri, maka percayalah demokrasi tidak akan kembali kepada negara ini. Sebaliknya pemerintahan kleptokrasi akan berterusan dan negara akan hancur kerana tidak ada pemerintahan mengikut undang-undang. Dengan itu keselamatan rakyat akan menjadi lebih teruk.

18. Ada yang berpendapat Pakatan Harapan tidak dapat membuat apa-apa untuk pulih keadaan. Tetapi kehancuran negara tetap menjadi lebih teruk jika Najib dapat mengekalkan kleptokrasinya. Beban hutang akan bertambah dan wilayah-wilayah negara akan dijual.

19. Tidak mudah untuk PH pulih negara tetapi apabila kami memerintah Najib tidak akan dapat rosakkan negara lagi. Dan kami berkemahiran dalam menyelamat dan memulih ekonomi, kewangan dan sosio-politik negara. Ini kami yakin. Tolaklah kleptokrasi Najib. ~ sumber



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons